Penjajahan COVID-19 jangan sampai runtuhkan tembok kebaikan

ADAKAH pandemik COVID-19 satu bentuk penjajahan baharu? Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil  secara  dalam talian sempena  sambutan Hari Kemerdek...

ADAKAH pandemik COVID-19 satu bentuk penjajahan baharu?

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil secara dalam talian sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke- 64, anjuran Pusat Alumni dan Sahabat Alumni Mahasiswa dengan kerjasama Majlis Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) serta Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB).

Jika ia penjajahan bentuk baharu jangan sampai ‘serangan secara ghaibnya’ meruntuhkan fokus terhadap usaha mengubah dan membangunkan  kehidupan kepada lebih baik dan cemerlang sejajar tuntutan Islam.

Walaupun pengisian Bulan Kebangsaan tidak lagi secara fizikal di lapangan, sebaliknya lebih kepada secara maya dalam norma baharu, masyarakat khususnya mahasiswa perlu kekal menghargai nikmat kemerdekaan, kedaulatan, dan keamanan negara.

Sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba tidak berapa hari lagi, masih boleh dihayati walaupun sedang terkurung dalam rumah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat ‘dijajahCOVID-19.

Pengarah Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Rahman, berkata selepas 64 tahun menikmati kemerdekaan, mahasiswa UPSI seperti universiti lain juga berhadapan pandemik COVID-19 menyebabkan tidak dapat pulang ke kampus.

Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Rahman


Namun, katanya, keputusan kerajaan melaksanakan PKP adalah tepat kerana faktor keselamatan dan kesihatan rakyat perlu menjadi keutamaan sejajar tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64, iaitu  ‘Malaysia Prihatin.

Beliau berkata ia selaras dengan tuntutan bersederhana seperti firman Allah SWT: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.". Surah al-Furqan: ayat 67.

“Sebagai warganegara Malaysia, generasi pasca merdeka hari ini termasuk mahasiswa tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, umur dan jantina,  perlu menyumbang kesetiaan dan memelihara kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan masa kini termasuklah penjajahan minda, budaya, sosial, ekonomi, politik dan terbaru yang sedang melanda di seluruh dunia iaitulah 'penjajahan' oleh wabak virus COVID-19, “katanya.  

Ustaz Tarmizi berkata, model dan contoh terbaik yang ditunjukkan oleh  Nabi Muhammad SAW lebih  1400 tahun yang lalu khususnya dalam menghadapi kepelbagaian latar belakang masyarakat, budaya dan agama pada ketika itu, amat sesuai dan relevan untuk diaplikasikan dalam negara Malaysia hari ini yang berkonsepkan Keluarga Malaysia.

Prinsip Keluarga Malaysia itu sendiri, katanya, menepati falsafah rukun negara Malaysia iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluruhan Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan, sebagai asas dan kekuatan utama untuk seluruh warganegara bersatu hati dalam memelihara dan mempertahan nama baik Malaysia.

Ustaz Tarmizi memetik pandangan Allahyarham Prof Dr Hamka, ulama dan sasterawan Indonesia yang menyatakan bahawa iman dan takwa kepada Allah SWT membukakan pintu rezeki, melapangkan fikiran, mendatangkan ilham dan menyuburkan silaturrahim sesama manusia.

Lantaran itu, katanya, timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi dan denganya akan turunlah rahmat dari langit dan suburlah berkat dari rumah.

Justeru, katanya, masyarakat perlu terus utuh, lestari serta bertanggungjawab  memainkan peranan masing-masing dengan semaksimum mungkin tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama agar negara Malaysia  kekal menjadi negara yang aman dan sentosa serta diberkati Allah.

Dalam pada itu, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke- 64, Pusat Alumni dan Sahabat Alumni Mahasiswa dengan kerjasama Majlis Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) serta Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil secara dalam talian melalui platform webex.

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil yang diketuai  Dr Mohd Hisyam Surgi  turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk  Dr Md Amin Md Taff;  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Suriani Abu Bakar; Presiden PASB, Datuk Seri Ahmad  Burak; dan Pengerusi Majlis Aumni AKSB, Mohd Ariff Hairoman.

Prof Dr Md Amin dalam ucapannya menghargai penganjuran majlis itu kerana menyatukan warga UPSI bersama alumninya.

“Saya harap alumni sentiasa mendoakan kesejahteraan universiti agar dapat menjadi pemacu kegemilangan pendidikan negara,” katanya.

 

 

 

Related

Agama 8892604701130205417

Catat Ulasan

emo-but-icon

item