Peranan ahli sufi dalam gerakan kemerdekaan di Sabah

Dari Kutubkhanah Azrone SEORANG ahli sufi terkenal di Ranau, Sabah pada 1940-an, Mandur   Syarif Adiwinata, dikatakan tidak mati digilis jen...

Dari Kutubkhanah Azrone

SEORANG ahli sufi terkenal di Ranau, Sabah pada 1940-an, Mandur Syarif Adiwinata, dikatakan tidak mati digilis jentera penggelek jalan atau 'steamroller' yang digunakan tali barut penjajah British untuk membunuh tokoh itu.

Ilmu kebal atau ilmu batin dimilikinya merintis kepada penyebaran Islam di kalangan penduduk tempatan berbangsa Dusun di daerah yang terkenal sebagai lokasi Gunung Kinabalu itu.

Selain menyebar Islam, ahli sufi ini turut membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan pengikutnya untuk memerdekakan Borneo Utara daripada penjajahan British.

Mandur Syarif Adiwinata merintis kepada penyebaran Islam di Ranau.- Gambar Masjid Daerah Ranau.- Google 

Dalam tempoh dua dekad berdakwah di Ranau dan daerah pedalaman Sabah pada 1940-an, dianggarkan seramai 63,000 orang berjaya diIslamkan oleh Mandur Syarif Adiwinata dan pengikutnya.

Nama sebenar Mandur Syarif Adiwinata ialah Muhammad Sarip Adiwinata Ambik atau Syeikh Saib. Bagaimanapun, di kalangan masyarakat Dusun yang menjadi pengikutnya, tokoh itu dikenali Bapa Tua atau Bapa Sarip’.

Mandur Syarif Adiwinata dilahirkan di Gagak Jaluh, Manjala, Bandung, Jawa Barat, Indonesia pada 1884 dan dipercayai meninggal dunia di Cicadas, Bandung pada 1969 ketika berusia 115 tahun.

Sebelum berhijrah ke Sabah atau ketika itu Borneo Utara pada 1930-an, beliau pernah menetap di beberapa negeri di Semenanjung iaitu Melaka, Selangor dan Terengganu, selain selatan Thailand.

Kurator Muzium Tamadun Islam Sabah, Arif Abdul Hamid ketika diwawancara penulis pada 2009, berkata kajian mengenai Mandur Syarif Adiwinata ada dalam koleksi muzium itu, tetapi belum didokumentasikan kerana penyelidikan mengenainya masih dijalankan.

Bekas Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Datuk Awang Sahari Abdul Latif, berkata peringkat awal Mandur Syarif Adiwinata berhijrah ke ladang getah Sapong dan Melalap, Tenom di Pedalaman Sabah.

Selepas itu, katanya tokoh itu dipindahkan oleh pengurusan ladang itu ke Ladang Lobou, Tuaran yang bersempadan dengan Ranau serta beliau memilih berdakwah di Ranau yang ketika itu penduduknya belum menerima ajaran Islam.

Sebelum itu, gerakan dakwah Islamiah hanya tertumpu di pesisir pantai dan kawasan sekitarnya dan sukar berkembang ke kawasan pedalaman akibat bentuk muka bumi Sabah yang bergunung ganang, selain diliputi sungai.

Beliau berkata, tokoh itu mula berdakwah sejak awal kedatangannya ke negeri ini dan kegiatan itu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh pada 1943 terutama di kalangan masyarakat Dusun tidak beragama atau Pagan.

"Dakwah berbentuk nasihat dan bimbingan diterima baik kumpulan sasar yang belum beragama, sekali gus menimbulkan kemarahan penjajah beragama Kristian," katanya kepada penulis di Putatan, pada 2009.

Sementara itu, Awang Sahari berkata, peringkat awal berdakwah di Ladang Lobou, Mandur Syarif Adiwinata mendapati ramai penduduk setempat di ladang itu dan daerah sekitarnya berminat memeluk Islam.

Katanya, penduduk terbabit majoritinya berbangsa Dusun dari Telipok, Menggatal, Tamparuli, Kota Belud dan Ranau.

Beliau berkata, ketika bekerja di Melalap, tokoh itu turut berdakwah di daerah itu, selain Tenom, Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu atau ketika itu dikenali Jesselton.


 Mandur Syarif Adiwinata.- Gambar Google

"Biarpun nama Mandur Syarif Adiwinata asing dalam gerakan dakwah di Sabah tetapi sumbangan beliau amat besar dalam perkembangan Islam terutama di daerah pedalaman yang belum menerima Islam," katanya.

Seorang pengkaji Sejarah Islam di Sabah, Dr Muhidin Yusin, yang berasal dari Ranau, berkata Mandur Syarif dihukum bunuh oleh British dengan menggilisnya menggunakan jentera penggelek jalan.

Bagaimanapun, katanya, tokoh itu tidak mati yang membawa kepada dimensi baru gerakan dakwah Islamiah di daerah pergunungan yang sebelum itu terpisah dengan agama Islam.

Beliau berkata, sekumpulan lelaki yang diarah melaksanakan hukuman itu oleh penjajah lari lintang-pukang selepas mendapati tubuh tokoh itu tiada sebarang kecederaan selepas digilis jentera berat berkenaan.

"Keperibadian mulia dan kekebalan Mandur Syarif Adiwinata mengukuhkan keyakinan masyarakat setempat untuk memeluk Islam dan menyertai gerakan penentangan penjajah.

"Kekebalan ahli sufi itu mengukuhkan lagi semangat pengikutnya untuk berjuang di medan perang untuk memerdekakan Borneo Utara," katanya.

Dr Muhiddin berkata, beberapa kampung di Ranau mirip Lubnan iaitu di utara beragama Islam dan di selatan Kristian atau sebaliknya yang terpisah oleh sebuah sungai, tetapi ia tidak menghalang gerakan dakwah Islamiah.

Katanya, gerakan dakwah yang diasaskan oleh Mandur Syarif Adiwinata merintis kepada perkembangan Islam di daerah yang turut dikenali dengan Kolam Air Panas Poring iaitu kawasan pelancongan alam semula jadi.

Beliau berkata, antara pemeluk Islam terawal di Ranau ialah Muhammad Ali Kandalis, Daud Beringkok, Roman Limbongot dan Naiman Aru.

"Gerakan dakwah dijalankan Mandur Syarif Adiwinata menjadi ancaman kepada penganut agama lain menyebabkan gerakannya dipantau pihak penjajah yang membawa kepada hukuman bunuh terhadap tokoh itu.

"Bagaimanapun, tokoh itu tidak meninggal dunia ketika digilis menggunakan jentera penggelek jalan yang menimbulkan kepercayaan sebahagian penduduk Ranau terhadap Islam," katanya.

Seorang graduan dari Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, Fatimah Sulaiman, berkata Mandur Syarif Adiwinata memiliki ilmu kebatinan berlandaskan Islam.

Katanya, tokoh itu meletakkan syarat untuk mempelajari ilmu kebatinan seseorang itu hendaklah beragama Islam yang menyebabkan ramai penduduk daerah itu memeluk Islam untuk membolehkan mereka menuntut ilmu berkenaan.

"Ajaran dipelajari pula hendaklah ke arah kebaikan merangkumi keselamatan diri dan keluarga serta mengubati penyakit yang sukar dikesan melalui teknologi perubatan moden," katanya yang membuat kajian mengenai tokoh itu.

Fatimah berkata, ilmu kebatinan yang disampaikan Mandur Syarif Adiwinata dipercayai masih diamalkan penduduk kampung di Ranau antaranya Kampung Libang, Lohan, Tagudan Baru, Tagudan Lama, Ratau, Putatan, Kundasang, Limpasu dan Kinapulidan.

"Purata pengamal ilmu kebatinan itu bagi setiap kampung adalah antara tiga hingga empat orang," katanya.

Justeru, Mandur Syarif Adiwinata adalah seorang tokoh yang tidak seharusnya dipinggirkan dalam senarai pendakwah yang berjuang menegakkan syiar Islam di negeri di Bawah Bayu.

 Bapa Tua pikat penduduk dengan rawatan tradisi

SEORANG pengkaji sejarah Islam Sabah, Abdul Naddin Shaiddin, berkata ramai datang menemui Mandur Syarif Adiwinata untuk berubat secara tradisional.

Pada masa sama, tokoh itu menjadi buruan penjajah kerana menyebarkan ajaran Islam, sekali gus menimbulkan kemarahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).

"Berdasarkan pandangan beberapa pengkaji Sejarah Islam Sabah, Mandur Syarif Adiwinata adalah seorang tabib yang menggunakan ilmu batin untuk merawat pesakit yang ramai  bukan Islam kemudian memeluk agama itu.

"Majoriti anak murid tokoh itu berpegang kepada wasiatnya supaya tidak mengabaikan solat dan mendalami al-Quran," katanya yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga Zaini Palembang iaitu pendakwah di Ranau selepas Mandur Syarif Adiwinata.

Abdul Naddin berkata, biarpun Mandur Syarif Adiwinata sudah meninggal dunia tetapi jasanya tetap dikenang. Tujuh muridnya menziarahi keluarga tokoh itu di Cicadas, Bandung, Jawa Barat, Indonesia pada 1989. Mereka juga menziarahi pusara Allahyarham di situ.

Prof Mohd Sarim Mustajab dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, penjajah berusaha keras mematahkan gerakan dakwah di Sabah termasuk meluluskan undang-undang melarang pengislaman.

"Pada 15 April 1935, Dewan Undangan Negeri Borneo Utara yang diterajui SBBUB meluluskan Ordinan Pentadbiran Kampung yang menyekat gerakan dakwah Islam di kalangan penduduk pribumi bukan Islam di pedalaman.

"Bagaimanapun, undang-undang itu tidak menghalang perkembangan Islam, malah agama kita berkembang menerusi pengislaman oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) yang turut bertapak di pedalaman.

"Usia merintis kewujudan organisasi Islam dan dakwah di Sabah," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Sejarah Kedatangan Islam di Sabah dan Implikasinya terhadap Pembinaan Institusi Masyarakat', pada 2009.

Ketokohan ulama dan ahli sufi mencetuskan penentangan berterusan rakyat Sabah yang menonjolkan tokoh terbilang seperti Datu Paduka Mat Salleh, Datu Tating, Datu Baginda Putih, Pengiran Syahbandar Hassan, Pak Musa, Syarif Usman, Embo Ali dan Panglima Ali.

Kuasa penjajah bertapak di Borneo Utara pada 1761 apabila pegawai Syarikat Hindia Timur Inggeris di Madras, India, Alexander Dalrymple, mendarat di Pulau Balambangan, Kudat selepas dibenarkan Sultan Sulu.

 Artikel penulis mengenai Mandur Syarif Adiwinata. dijadikan bahan rujukan siswazah Universiti Malaya.


Justeru, ahli sufi dan ulama mempunyai peranan mengembangkan Islam di Sabah dan memulakan gerakan menuntut kemerdekaan yang membawa kepada kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963, disusuli pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

 

 

 

Related

Agama 6677857424791705867

Catat Ulasan

emo-but-icon

item