Pementasan secara maya teater cerita rakyat etnik Bajau dalam bahasa Inggeris
KENINGAU: Teater ‘ Kanang and the Serimpak’, sebuah cerita rakyat Sabah komuniti Bajau akan dipentaskan secara maya sempena Festival Seni ...
KENINGAU: Teater ‘Kanang and the Serimpak’, sebuah cerita rakyat Sabah komuniti Bajau akan dipentaskan secara maya sempena Festival Seni Kebangsaan ArtsFAS pada 22 hingga 27 November ini.
Pementasan dalam bahasa Inggeris, namun beberapa dialog dalam bahasa Bajau/Samah bertepatan skrip yang diangkat berkisar budaya masyarakat berkenaan.
Skrip berkenaan adalah karya asli Sirhajwan Idek, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau.
Pementasan adalah sebuah projek di bawah inisiatif program seni ‘Dau Dau’ yang telah diasaskan olehnya bersama seorang lagi guru Bahasa Inggeris kolej itu, Nurazilah Othman, yang juga merupakan jurulatih tarian tradisional.
Ia mengisahkan seorang gadis, Kanang, yang telah mewarisi Serimpak, iaitu aksesori mahkota perempuan yang biasanya dipakai pada majlis persandingan, keramaian dan menyambut tetamu, daripada ibunya yang telah meninggal dunia.
Kanang menggunakan Serimpak tersebut yang memiliki kuasa sakti untuk membantu meringankan beban tugas yang telah diberikan kepadanya oleh ibu tirinya semasa ketiadaan ayahnya.
Ibu tirinya mula curiga dan akhirnya mengetahui keajaiban Serimpak tersebut dan merancang untuk menggunakannya bagi tujuan peribadi.
Teater tersebut dikendalikan oleh persatuan seni, KL Shakespeare Players dengan tajaan Yayasan Hasanah.
Selain kerjasama melaksanakan teater ini, projek Dau Dau telah membantu ramai pelajar menghasilkan pelbagai seni persembahan, karya penulisan serta hasil seni visual sejak tahun 2020.