ATM bersiap siaga hadapi ancaman pengganas

PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memandang berat setiap isu yang boleh mengganggu gugat kedaulatan Malaysia dan bersedia ...

PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memandang berat setiap isu yang boleh mengganggu gugat kedaulatan Malaysia dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

 
Seramai 600 tentera Sulu yang didakwa mahu menyerang Sabah. - Gambar Air Times


Demikian penegasan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang sambil terus mengulangi keutamaan pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga dalam sebarang masa.

“Ditegaskan ATM sentiasa lihat serius setiap isu yang timbul susulan laporan media berkaitan plot gerakan tertentu mahu menceroboh Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar ternama berpusat di Hong Kong, China mendakwa Tentera Diraja Sulu bakal menyerang negeri itu dengan 600 anggota bersenjata menjelang Februari depan.

Kumpulan pengganas dari wilayah selatan Filipina itu malah telah mengerahkan 200 orang perisiknya menyusup masuk ke Sabah dengan mahir menyamar sebagai penduduk tempatan.

Isu itu turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu semalam dan Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor sedia menyiasat dakwaan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis negeri itu, Datuk Idris Abdullah namun menyangkal laporan media tersebut sebagai tidak berasas dan sengaja dicetus bagi menjejaskan pemulihan ekonomi Sabah.

Mengulas lanjut, Affendi menambah, pada masa kini, tiada petunjuk ketara atau bukti kukuh melalui pelaksanaan operasi dan perisikan ATM terhadap laporan eksklusif akhbar asing itu.

“Bagaimanapun pihak ATM kekal bersiap siaga dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara termasuk Sabah daripada sebarang bentuk ancaman luaran,” jelas beliau.

Langkah ini selaras dengan apa digagaskan melalui peranan utama ATM iaitu terus melindungi kepentingan negara dan keutuhan wilayah sama ada ancaman tradisional atau pun bukan.

ATM ujarnya, sentiasa meningkatkan kerjasama dengan agensi lain terutama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memperkasakan pertahanan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Justeru tegasnya, penduduk Sabah diingatkan supaya tidak panik dengan sebarang maklumat tidak pasti kesahihannya demi mengelak berlaku ketidaktenteraman dalam komuniti setempat.


Sumber:  Utusan Online


 

Related

Terkini 6877209274397733499

Catat Ulasan

emo-but-icon

item