Jemaah umrah boleh masuk Sabah dengan syarat ujian RT-PCR
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan rakyat negeri itu yang melakukan perjalanan bagi tujuan umrah dan ke luar negara sebelum 28 Disembe...
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan rakyat negeri itu yang melakukan perjalanan bagi tujuan umrah dan ke luar negara sebelum 28 Disember lalu, boleh memasuki Sabah dengan syarat ujian RT-PCR yang dijalankan di Kuala Lumpur adalah negatif.
Gambar Hiasan / Sabah Taim |
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, mereka yang kembali ke negeri ini selepas melakukan perjalanan dalam tempoh yang ditetapkan masih perlu melalui kuarantin sebaik sahaja tiba di Sabah.
Katanya, kerajaan Sabah akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar untuk mereka menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum tarikh berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada rakyat Sabah yang disahkan positif COVID-19 dan perlu menjalani tempoh kuarantin di Kuala Lumpur.
"Kita akan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah dan akan diselaraskan bersama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengenai rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember, Hajiji berkata, mereka diwajibkan menjalani kuarantin tujuh atau 10 hari di Kuala Lumpur.
Katanya, kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya ditanggung oleh jemaah umrah atau ejen pelancongan umrah masing-masing.
Disamping itu, beliau turut menegaskan ejen pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuklah penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan.
"Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri, " katanya.
Hajiji berkata, syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.
"Bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang sedia ada," katanya.