KKYS permulaan kerjaya ku dalam kewartawanan
JUMAAT l alu penulis menggunakan jalan pintas ke Bukit Sepanggar melalui kawasan berhampiran kampus Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) Telu...
JUMAAT lalu penulis menggunakan jalan pintas ke Bukit Sepanggar melalui kawasan berhampiran kampus Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Ini mengingatkan penulis kenangan indah ketika mengikuti pengajian di kolej itu dalam program Sijil Kewartawanan (KW) pada 1997.
Ketika itu KKYS memiliki ramai pensyarah kewartawanan antara terhebat di Malaysia seperti Sir Nicholas Palikat, ayah kepada artis Nikki Palikat dan Edward Sung Borongoh.
Tidak hairanlah kolej itu memiliki ramai graduan berjaya dalam bidang kewartawanan termasuk menjadi wartawan dan editor media di peringkat nasional dan antarabangsa.
Testimoni graduan KKYS. |
Dalam pertemuan dengan bekas Pengetua KKYS, Dr Liddy Salun di Inanam, Kota Kinabalu, baru-baru ini, beliau mengakui program kewartawanan antara kehebatan kolej itu ketika diterajui beliau.
Katanya, ketika itu ada syarikat media menghubungi beliau bertanyakan formula kejayaan kolej itu melahirkan graduan setaraf institusi pengajian tinggi awam dan swasta peringkat ijazah sarjana muda sedangkan mereka hanya mengikuti pengajian peringkat sijil.
“Ada syarikat akhbar dan media elektronik yang meminta kebenaran menawarkan pekerjaan kepada penuntut KKYS sebelum tamat pengajian. Malah ramai yang diterima bekerja sebaik tamat mengikuti latihan amali,” katanya.
Sudah 25 tahun berlalu. Ketika itu KTYS menggunakan nama Kolej Komuniti Yayasan Sabah (KKYS).
KKYS, alma mater penulis. |
Penulis bersama, Dr Liddy Haji Sallun bekas Pengetua KKYS. |
KTYS ditubuhkan pada 1990 dengan nama asal Institut Pembangunan Insan serta dijenamakan semula kepada Kolej Komuniti Yayasan Sabah pada 1994.
Pada 2002, kolej itu telah dijenamakan semula menjadi Kolej Yayasan Sabah (KYS) dan didaftar di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 1966 (Akta 555) dan Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 (Akta 556) serta dirurus oleh KKYS Sdn Bhd.
Sejajar dengan perkembangan semasa yang memberi tumpuan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pada 2016 kolej itu diberi imej baharu dengan turut memberi fokus kepada pendidikan teknikal dan vokasional.
Hala tuju ini membawa pertukaran nama kolej kepada KTYS.
Di sebalik semak ada alma mater penulis, KKYS. |
Ini bermakna KTYS sudah melalui empat generasi iaitu Institut Pembangunan Insan, KKYS, KYS dan KTYS.