Perjuangan Mat Sator

TEWASNYA dan jatuhnya kubu terakhir Mat Salleh di Tambunan tidak melemahkan semangat perjuangan para pengikutnya untuk menentang penguasaan...

TEWASNYA dan jatuhnya kubu terakhir Mat Salleh di Tambunan tidak melemahkan semangat perjuangan para pengikutnya untuk menentang penguasaan British di Borneo Utara. (Arkib Negeri Sabah, 2007).

 

Mat Sator.- Gambar Google

Pengikut Mat Salleh seperti Mat Sator dan Mat Daud telah meneruskan perjuangan Mat Salleh. Kematian Mat Salleh pada 31 Januari 1900 memberi tanggapan pihak kolonial tentang tamatnya pemberontakan di Tambunan.

Akan tetapi, sangkaan tersebut meleset apabila berita serangan tercetus pula di Kudat yang diketuai pengikut Mat Salleh iaitu Mat Sator. Mat Sator merupakan seorang pemimpin suku kadazandusun di Tambunan.

Mat Sator atau dikenali juga Mat Jator merupakan orang kanan dan Ketua Leftenan Datu Paduka Mat Salleh untuk melindungi kota perjuangan Mat Salleh di Tibabar.

Mat Sator mempunyai kubu ataupun yang dikenali sebagai Kota Mat Sator yang terletak di Kampung Kapayan Lama, Tambunan yang terletak juga berdekatan dengan Kota Mat Salleh kira-kira 122 meter dari tapak Kota Mat Salleh di Tibabar.

Seperti yang sedia maklum, Kota ini adalah kubu kedua terbaik di antara kubu yang pernah didirikan oleh Mat Salleh. Kedudukan Kota ini dikatakan strategik kerana terletak di tebing sungai Sunsoron yang membekalkan sumber air.

Menurut sumber daripada Muzium Mat Sator, kota ini mencerminkan kepintaran rakyat tempatan ketika itu dalam merancang, merekabentuk dan membina struktur yang begitu canggih sehingga hampir tidak dapat dikesan dan sukar dijatuhkan penjajah Inggeris.

Kota ini merupakan fungsi utama sebagai pusat tinjauan dan singgahsana isteri Mat Salleh tetapi Kota Mat Sator telah jatuh ke tangan British pada 21 Januari 1900.  

Kejatuhannya dijelaskan oleh Owens (1922: 206) seperti berikut: “The forts were shelled by the 7-pounder on January 21, and by a stroke of luck the second shell set light to a roof of a house in Mat Jator’s fort. A strong wind was blowing and the whole fort was burnt to the ground.”

Kejatuhan Kota Mat Sator dijelaskan dengan agak meluas oleh Dunlop dalam buku catatan beliau (m.s, 152). Walaupun Kota itu telah musnah namun Mat Sator serta beberapa pengikut beliau sempat melarikan diri melalui tebing Sungai Sunsuron. Perjuangan mereka diteruskan dengan mengumpul kekuatan dan menetapkan sasaran seterusnya.

Mat Sator bersama Mat Daud melancarkan serangan terhadap Inggeris di Kudat pada April 1900. Mat Sator dikatakan telah berjaya mengumpul kekuatan dan memimpin seramai 300 hingga 400 orang Bajau, Illanun dan Dusun menyerang Kudat. 

Ketika itu, Kudat merupakan penempatan terbesar di pantai antara Sandakan dan Labuan, dan dikawal oleh tiga puluh orang Sikh. 

Serangan tersebut telah membawa kejayaan penawanan kawasan Kudat. Namun, penguasaan Mat Sator tidak berkekalan kerana terpaksa berhadapan dengan serangan balas dari pihak British. British bertindak menggabungkan Polis Dayak bersama tentera Sikh.

Gabungan tersebut berjaya menumpaskan Mat Sator dan pengikutnya yang hanya sempat menguasai kawasan tersebut dalam masa yang sangat singkat. Mat Sator dan rakannya iaitu Mat Daud telah terkorban dalam perjuangan di Kudat. Baki pengikut Mat Sator dikatakan melarikan diri dalam keadaan yang panik.

Perjuangan Mat Sator dikenang dalam sejarah perjuangan rakyat Sabah. Sebuah Muzium didirikan bagi memperingati perjuangan Mat Sator yang terletak berhampiran dengan kubu lama beliau. Keberanian Mat Sator wajar diteladani kerana tidak mudah menyerah kalah walaupun selepas Mat Salleh terbunuh. Perjuangan diteruskan sehingga ke titisan darah yang terakhir membutikan beliau seorang pejuang yang sejati.

 

Rujukan:

Arkib Negeri Sabah. 2007. Datu Paduka Mat Salleh Pahlawan Sabah (1894-1900). Arkib Negeri Sabah.

Sarjit S. Gill. 2007. Sejarah Penglibatan Orang Sikh Dalam Pasukan Constabulari Bersenjata Borneo Utara, 1882-1949 Dan Kesan Terhadap Identiti, diubahsuai dari Fourth International Malaysian Studies Conference (MSC4) pada 3-5 Ogos 2004 di Universiti Kebangsaan Malaysia. Anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia.

https://tokohtokohpejuangsabah.tumblr.com/post/107608616718/mat-sator: tarikh capai 10 Oktober 2021

http://tokohtokohpejuangsabah96.blogspot.com/2015/02/mat-sator.html: tarikh capai 10 Oktober 2021

Johan Aziz. 6 Jul 2017. Muzium Mat Sator di Kampung Kapayan Lama Tambunan. Utusan Borneo (Sabah).

Artikel ini adalah pemenang kedua Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia bertema ‘Tokoh yang tak didendang’ anjuran portal berita, Sabah Taim dengan kerjasama Ikatan Penulis Sabah (IPS) secara dalam talian pada 18 Ogos  hingga 18 Oktober 2021.



Penulis adalah Guru Cemerlang Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, Menggatal, Kota Kinabalu dan pemenang pingat emas peringkat global dalam International Invention Fair 2019  anjuran Korea Invention News di Chung Mu Art Hall Seoul, Korea pada 2 hingga 3 November 2019.

 

 

 

 

Related

Terkini 8828028342546447554

Catat Ulasan

emo-but-icon

item