Sekolah yang diisytiharkan kluster COVID-19 di Sabah akan ditutup
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengarahkan semua sekolah yang diisytiharkan sebagai kluster COVID-19, ditutup , lapor Berita Harian...
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengarahkan semua sekolah yang diisytiharkan sebagai kluster COVID-19, ditutup, lapor Berita Harian.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata arahan itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah, kelmarin.
Beliau berkata, tempoh penutupan selama dua hingga tiga minggu, bergantung kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Sabah.
"Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah yang bermesyuarat pada 26 Januari 2022 memutuskan supaya pelaksanaan tindakan itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.
"Keputusan itu sudah disampaikan melalui surat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 27 Januari 2022," katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pelajar, termasuk guru dan kakitangan sekolah terbabit.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa kluster COVID-19 membabitkan institusi pendidikan yang meningkat sejak 1 Januari lalu.
Katanya, sejak tarikh itu sehingga 26 Januari, sebanyak enam kluster institusi pendidikan dilaporkan aktif di negeri ini di enam lokaliti di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Sabah, membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, sebanyak 10 kluster membabitkan institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan dilaporkan di Sabah setakat ini.
Semalam, katanya, satu kluster baharu dilapor membabitkan murid dan guru sekolah rendah serta ahli keluarga mereka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas, Kota Belud.
Sebelum ini, sebanyak sembilan sekolah menengah dikenal pasti terbabit dalam kluster institusi pendidikan di Sabah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan; SMK Ranau; SMK Sandakan; SMK Kundasang; SMK Tun Fuad Stephen, Kiulu; SMK Balung, Tawau; SMK Keningau; SMK Terusan, Lahad Datu dan SMK Tandek 2, Kota Marudu.