Salji luruh di Sayat-Sayat berhampiran puncak Gunung Kinabalu
RANAU: Pendaki dan malim Gunung Kinabalu menikmati pengalaman luar biasa 'bermain' salji, ketika berada di kawasan Sayat-Sayat berd...
RANAU: Pendaki dan malim Gunung Kinabalu menikmati pengalaman luar biasa 'bermain' salji, ketika berada di kawasan Sayat-Sayat berdekatan puncak Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi, lapor Berita Harian.
Fenomena salji di kawasan Sayat-Sayat berdekatan puncak Gunung Kinabalu, pagi tadi. |
Fenomena itu sempat dirakam pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki turun dari puncak Gunung Kinabalu.
Hajiri berkata, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.
"Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji luruh tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.
"Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia berlaku sehingga kawasan puncak gunung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hajiri berkata, ia memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu sebelum ini.
"Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat," katanya.
Jelasnya, sejak 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, itu bukan pertama kali ia berlaku dan dia pernah saksikan fenomena yang sama pada 2018.
Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid, menjelaskan kawasan yang dituruni salji berlaku di sekitar kilometer 7 hingga ke puncak gunung.
Katanya, keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kebiasaannya dipercayai menjadi punca fenomena berkenan
"Kalau ikut rekod suhu dari jam 2 hingga 10 pagi, ia sekitar 6.9 hingga 12.3 darjah selsius, manakala tahap kelembapan pula ialah 52 hingga 62 peratus.
"Kejadian kali ini sememangnya luar biasa kerana kebiasaannya hanya hujan ais atau pembekuan di sekitar kawasan puncak, apa yang dilihat pagi ini, ia benar-benar salji," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Justinus berkata, mengikut rekod sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku pada 1975 dan 1993.
Sementara itu, rakaman kejadian salji di Gunung Kinabalu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, memaklumkan situasi atau fenomena salji bukanlah perkara mustahil boleh berlaku di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Beliau berkata, keadaan berkenaan boleh berlaku apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celsius, selain terdapat kelembapan yang mencukupi.
"Kebiasaannya kita boleh melihat proses pembekuan dan hal ini adalah menghasilkan ketulan ais di permukaan biasanya di batu-batu yang sejuk.
"Tetapi ada kalanya ketika dalam keadaan tertentu, salji boleh terbentuk apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan kelembapan mencukupi, selain keadaan angin yang agak perlahan di sesuatu kawasan.
"Fenomena ini jarang kita lihat tapi ia boleh berlaku," katanya menerusi kenyataan video berkaitan fenomena salji di Gunung Kinabalu, hari ini.
Sumber: Berita Harian