ASEAN kena bersatu lonjak pendidikan

  Dari Kutubkhanah Azrone   Headline: ASEAN kena bersatu lonjak pendidikan   Publication: BH Date of publication: Jul 12, 2012 Section headi...

 Dari Kutubkhanah Azrone

 


Headline: ASEAN kena bersatu lonjak pendidikan

 

Publication: BH

Date of publication: Jul 12, 2012

Section heading: Main Section

Page number: 033

Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin

 

Tiga mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN dan Asia Timur yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia pada 4 dan 5 Julai lalu memberi impak yang cukup besar dalam sejarah rantau ini kerana buat julung kalinya menumpukan kepada agenda menyeluruh pembangunan sektor pendidikan.

Selain Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN (ASED) yang kini memasuki edisi ke-7, dua mesyuarat yang julung kali diadakan ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran (EMM) ASEAN+3 pertama dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Peringkat Menteri Pelajaran pertama.

ASEAN+3 ialah pakatan kerjasama negara anggota ASEAN bersama China, Korea Selatan dan Jepun untuk kerjasama serantau, manakala EAS dianggotai ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Malaysia diwakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran serta diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa.

Muhyiddin berkata, negara anggota ASEAN mesti bersatu untuk meningkatkan kualiti pendidikan di rantau ini menerusi Jendela Tunggal ASEAN, iaitu satu mekanisme untuk merealisasikan komuniti ASEAN menjelang 2015.

 



 Sedia kongsi kepakaran

 

Katanya, Malaysia akan lebih bersedia untuk berkongsi pengalaman dan menawarkan kepakaran dalam membangunkan rangka kerja menerusi keperluan pembangunan dan penyerapan nilai kerja dalam proses mengantarabangsakan pendidikan.

Beliau berkata, ia sepatutnya menjadi lebih menarik dan boleh diakses oleh semua, mengandungi kualiti kecemerlangan dalam pendidikan dengan pasaran buruh yang bertaraf tinggi serta relevan dengan perkembangan semasa.

"Program mobiliti pelajar dengan sistem pemindahan kredit antara universiti di Malaysia, Indonesia dan Thailand adalah satu inisiatif yang berpandangan ke hadapan di bawah rangka kerja itu.

"Semua negara anggota ASEAN hendaklah memastikan program yang dibangunkan dapat membantu mempertingkat kualiti guru, kepemimpinan, kurikulum dan sistem penilaian yang relevan serta melahirkan individu kreatif dan inovatif," katanya.

Muhyiddin turut menyuarakan perasaan bangganya atas usaha dan inisiatif berterusan yang diambil oleh negara anggota dan negara peserta dalam mempromosikan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).

Katanya, Malaysia menyokong ESD kerana ia mendidik generasi kita masa kini agar hidup secara harmoni dengan alam semula jadi dan memastikan bahawa generasi akan datang tidak akan dinafikan hak mereka untuk kehidupan yang selamat dan sihat.

Beliau berkata, Malaysia giat bekerjasama dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam menggerak pembangunan yang akan membantu menyebarkan pengetahuan dan kesedaran mengenai pembangunan mapan yang lebih berkesan di seluruh sekolah Malaysia.

"Pelbagai cabaran di luar rantau ini memerlukan lebih banyak program bersama untuk melancarkan rangka kerja perkongsian ke arah meningkatkan kualiti pendidikan. Malaysia mengalu-alukan inisiatif bersama oleh negara anggota ASEAN untuk meningkatkan kualiti pendidikan," katanya.

Pada mesyuarat itu, Malaysia menyuarakan kesediaannya mengambil peranan utama dalam projek Pengharmonian Sistem Pemindahan Kredit Serantau dan berminat memulakan projek dengan negara anggota dan institusi pengajian tinggi yang berminat.

 

Kerjasama negara ASEAN

 



Untuk itu, negara kita akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan institusi serantau yang lain untuk menjayakan program itu serta negara serantau harus bekerjasama untuk melengkapi dan menambahbaik antara satu sama lain.

Hubungan bukan saja memberi penekanan kepada keperluan dalam sebuah perkongsian yang kukuh dan mapan di peringkat makro, tetapi juga mempunyai hala tuju yang jelas serta memenuhi kehendak semua 10 negara anggota ASEAN.

Tidak dapat dinafikan, kepesatan sains dan teknologi mendekatkan negara anggota yang jauh pada jarak untuk meningkatkan persamaan keperluan dan visi sebagai masyarakat global, yang dapat dipenuhi melalui perkongsian yang kukuh untuk pendidikan dan kemanusiaan.

Muhyiddin berkata, Malaysia amat yakin mengenai kepentingan menggabungkan nilai kemanusiaan dalam sistem pendidikan. Ini jelas termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara bertujuan mewujudkan intelektual, moral, fizikal dan emosi individu seimbang.

 

 

 

INFO

 

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dan Asia Timur (4-5 Julai 2012)

- Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean (ASED) ke-7

- Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran (EMM) ASEAN+3 pertama

- Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Peringkat Menteri Pelajaran pertama

- ASEAN+3 Pakatan kerjasama anggota ASEAN bersama China, Korea Selatan dan Jepun

- EAS dianggotai ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand

- Kurikulum Buku Rujukan dilancarkan digunakan oleh guru dan pelajar untuk mempelajari identiti ASEAN

- Penduduk ASEAN kini berjumlah 600 juta orang meliputi sembilan peratus daripada penduduk dunia.

 

Related

Terkini 8623691259872454072

Catat Ulasan

emo-but-icon

item