Dulu sukar lulus RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan, sekarang mudah
Tangkap layar dari Kutubkhanah Azrone bertarikh 30 Julai 2018. KHAMIS lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) ...
![]() |
Tangkap layar dari Kutubkhanah Azrone bertarikh 30 Julai 2018. |
KHAMIS lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
Ini mengingatkan penulis kepada Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 selepas bacaan kali ketiga, tetapi ditolak di Dewan Negara yang ketika itu dikuasai wakil blok pembangkang dalam persidangan pada 12 September 2018.
Bagaimanapun, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 mengenai larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dijangka tidak berhadapan sebarang masalah untuk diluluskan di Dewan Negara kerana RUU itu yang buat julung kalinya digubal sendiri Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri optimis RUU itu dapat dikuatkuasakan mengikut jadual, September ini.
![]() |
Keratan akhbar dari Kutubkhanah Azrone bertarikh 30 Julai 2018. |
Dari Kutubkhanah Azrone
Dewan Negara dikuasai pembangkang, sukar lulus RUU
Mohd Azrone Sarabatin - Julai 30, 2018 @ 9:44pm
azrone@bh.com.my
SETIAP Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Rakyat perlu dibentang dan dibahaskan semula di Dewan Negara untuk proses sama (diluluskan), sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk diperkenankan.
Secara realitinya, setiap RUU lebih mudah diluluskan di Dewan Rakyat kerana Dewan itu dikuasai wakil kerajaan, selain kemungkinan mendapat sokongan parti politik keluar daripada Barisan Nasional (BN), terutama di Sarawak yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Namun, ia berdepan kesukaran untuk diluluskan di Dewan Negara yang masih dikuasai pembangkang, khususnya wakil daripada BN dan PAS.
Berdasarkan maklumat daripada laman web Parlimen Malaysia, Dewan Negara dianggotai 70 ahli dengan 43 daripada BN, lapan daripada Pakatan Harapan (PH) dan lima Bebas.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk lima Senator yang mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ini termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) Senator P Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).
Empat lagi Senator yang mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri didahului Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pulau Pinang, Senator Marzuki Yahya sebagai Timbalan Menteri Luar dan Ketua (BERSATU Bahagian Ketereh, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Dua lagi senator yang mengangkat sumpah ialah Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Ching Tong, sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Bersidang 11 hari
Dewan Negara dijadualkan bersidang selama 11 hari mulai 20 Ogos hingga hingga 12 September ini, iaitu sebaik selesai Sidang Dewan Rakyat.
Seorang bekas Speaker Dewan Negara yang enggan namanya disiarkan berkata, memang sukar meluluskan RUU tanpa kelulusan Dewan Negara.
Katanya, mengikut peraturan Dewan, RUU berkenaan akan dikembalikan kepada Dewan Rakyat untuk dibentang, dibahas dan diluluskan semula jika tidak diluluskan di Dewan Negara.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk memastikan RUU berkenaan diluluskan.
Difahamkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan April lalu akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu untuk dimansuhkan.
Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2018 yang diluluskan pada April 2014 juga dijangka dibentangkan untuk dimansuhkan, sejajar Manifesto Pakatan Harapan (PH) Janji 100 Hari.
Pada 7 Jun lalu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar daripada BN menerusi laman Twitter peribadinya berkata, BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara.
Menerusi catatannya, beliau berkata, sebarang rang undang-undang perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara jadi, atas prinsip kepentingan negara dan 'maslahah al-ammah', BN mesti menyokongnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam wawancara bersama RTM turut yakin Ahli Dewan Negara atau Senator yang mewakili pembangkang akan menyokong RUU demi kepentingan rakyat dan negara.
Daripada 70 Ahli Dewan Negara yang bergelar Senator, seramai 26 dipilih melalui pengundian di peringkat negeri dengan dua Senator setiap negeri, manakala 44 lagi dilantik dan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa veto
Tugas Dewan Negara ialah mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dihantar oleh Dewan Rakyat.
Kedua-dua dewan perlu meluluskan rang undang-undang yang dibuat sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan baginda.
Dewan Negara mempunyai kuasa dan pengaruh yang lebih besar dalam hal ehwal sesuatu RUU yang bertujuan membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Dewan Negara mempunyai kuasa untuk menolak dan membatalkan sebarang RUU untuk meminda Perlembagaan yang memerlukan kelebihan suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.
Pindaan Perlembagaan bukan saja mesti diluluskan oleh majoriti di Dewan Rakyat, tetapi juga hendaklah diluluskan dengan majoriti Ahli Dewan Negara yang berhak menggunakan kuasa vetonya, jika sesuatu RUU itu ditolak.
Kuasa veto yang dimiliki Dewan Negara berkenaan RUU untuk meminda Perlembagaan diperuntukkan mengikut Artikel 68(5) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, demi kepentingan negara, semua Ahli Dewan Negara tanpa mengira fahaman politik wajar menyokong setiap RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat, asalkan ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.