Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan semarak Uniti Keluarga Malaysia Kota Kinabalu
SEBAHAGIAN hadirin yang menjayakan Program Uniti keluarga Malaysia-Hayati Sejarah Melalui Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di sebuah paw...
![]() |
SEBAHAGIAN hadirin yang menjayakan Program Uniti keluarga Malaysia-Hayati Sejarah Melalui Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di sebuah pawagam di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. | |
KOTA KINABALU: Filem 'box office' Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diyakini mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, sekali gus melahirkan komuniti pelbagai kaum yang bersatu padu.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah, Delin Liet Blaun, berkata, filem genre epik itu mengajak masyarakat menghargai pengorbanan pahlawan terdahulu yang sanggup berkorban nyawa demi kemerdekaan negara.
Katanya, bagi generasi muda pula, filem hasil garapan sutradara muda, Syamsul Yusof, menanamkan semangat mempertahankan jati diri dan menentang anasir jahat perosak negara seperti menjadi tali barut musuh.
![]() |
AHLI KRT berpakaian tradisi yang menjayakan Program Uniti Keluarga Malaysia -Hayati Sejarah Melalui Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di sebuah pawagam di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. |
“Filem itu mampu memperlihatkan gambaran sejarah mengenai penentangan masyarakat tempatan terhadap penjajah dan mempertahankan tanahair daripada campur tangan penjajah yang sesuai dengan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai program menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sempena Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia-Hayati Sejarah Melalui Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di sebuah pawagam di Jalan Lintas, di sini, semalam.
Seramai 156 peserta menjayakan program itu membabitkan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Bandaraya Kota Kinabalu meliputi Ahli Jawatankuasa (AJK) induk, Jiran Muda, Jiran Wanita, Sekretariat Rukun Negara (SRN) dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah.
![]() |
AHLI KRT sekitar Bandaraya Kota Kinabalu yang menjayakan Program Uniti Keluarga Malaysia-Hayati Sejarah Melalui Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di sebuah pawagam di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. |
|
Turut sama menonton filem itu ialah Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Sabah, Jessica Basat; Pegawai Perpaduan Zon Bandaraya Kota Kinabalu, Normalawati Hassim dan Pengerusi-pengerusi KRT Zon Bandaraya Kota Kinabalu.
Filem arahan Pengarah Terbaik Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57, Syamsul Yusof itu membariskan pelakon-pelakon handal seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Tamby, Namron, A Galak, Khir Rahman, Ellie Suriaty dan pelakon dari Indonesia, Yayan Ruhian yang mencipta nama d Hollywood.