Nostalgia seorang kawan nyaris dikejar Using Boong
Dari Kutubkhanah Azrone Awan waktu senja di Pulau Bum-Bum, Semporna yang digambarkan mirip Using Boong.- Gambar Kutubkhanah Azrone U sing ...
Dari Kutubkhanah Azrone
Awan waktu senja di Pulau Bum-Bum, Semporna yang digambarkan mirip Using Boong.- Gambar Kutubkhanah Azrone
Using Boong
25 Mei 2011 jam 9.53 pagi
KENANGAN melihat seorang kanak-kanak berlari dalam keadaan ketakutan konon dikejar `using boong' ketika menjalankan program komuniti di Kota Marudu, Sabah masih segar dalam ingatan biarpun sudah tiga tahun berlalu.
`Using boong' adalah kucing berwarna hitam dan bertanduk satu di bahagian tengah kepala dalam cerita rakyat etnik Bajau.
![]() |
Gambaran Using Boong.- Gambar Google |
Ketika itu aku belajar dalam semester akhir di Universiti Malaya (UM) dan terbabit menjalankan aktiviti kemasyarakatan untuk melengkapkan pengajian.
Sukar dipadamkan dalam kotak ingatan dan sehingga kini aku tidak pasti sama ada itu kenangan pahit, manis atau lucu.
Aku bersama 39 rakan bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada jam 10 pagi dan pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, Sabah jam 12.30 tengah hari.
Tepat jam 1 petang kami bertolak ke Kampung Ungus Sebayan, Kota Marudu di utara Sabah iaitu sejauh 150 kilometer (km) dari bandaraya Kota Kinabalu.
Kami singgah sebentar untuk makan tengah hari di Alamesra, Kota Kinabalu yang betul-betul menghadap Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Teluk Sepanggar.
Selepas menjamu selera, kira-kira jam 2.30 petang kami meneruskan perjalanan ke Kota Marudu menaiki bas milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah.
Pemandangan indah di kiri kanan jalan menjadikan perjalanan yang ada kalanya menempuh kesan tanah runtuh dan jalan terputus akibat tanah mendap seperti tidak terasa.
Di Tuaran aku menyaksikan panorama indah Sungai Mengkabong disusuli pepohon getah dan akasia magium manakala di Tenghilan pula petani menuai padi menggunakan sabit tradisi dikenali `linggaman'.
Using Boong turut ditafsirkan sesuatu yang positif, tapi bukan dari perspektif sastera rakyat etnik Bajau.
Kami kemudian memasuki kawasan Kota Belud yang melalui bukit curam dikenali Penebaan Pipit dan kelihatan laut Teluk Ambong saujana mata memandang dihiasi pulau.
Kemudian muncul kawasan sawah yang berpanorama Gunung Kinabalu, gunung tertingi di Malaysia setinggi 4,905.2 meter dari aras laut yang merentangi Banjaran Crocker.
Biarpun jaraknya lebih 66 km iaitu terletak di Kundasang, Ranau namun gunung itu jelas kelihatan seperti berada hanya 100 meter di depan mata. Apatah lagi ketika itu cuaca cerah.
Sesekali ada lembu melintas di jalan raya dan kelihatan petani tua tekun membanting tulang di sawah mereka.
Tertanya-tanya juga ke mana perginya anak-anak mereka.
Panorama indah hutan hujan Khatulistiwa kembali muncul di depan mata ketika memasuki kawasan Ulu Kukut masih dalam daerah Kota Belud.
Di sini kami menempuh jalan yang terputus sejauh 20 meter dan dilencongkan ke kawasan lain.
Kini perjalanan memasuki kawasan Kota Marudu, di kiri kanan ada penjual kacang tanah dan jagung bakar.
Juga ada warung kraf tangan etnik Kadazandusun yang menjual tampi, `sirung' (topi diperbuat daripada sembilu buluh) dan gelas kayu dihasilkan menggunakan akar pohon tongkat ali.
Kira-kira jam 5.30 petang kami sampai ke lokasi dituju iaitu Kampung Ungus Sebayan, Kota Marudu.
Kami akan menjalankan program komuniti selama seminggu di kampung berkenaan dan menjadi anak angkat kepada penduduk kampung terbabit.
Antara program kami jalankan adalah membersihkan surau dan membaiki rumah penduduk yang sudah usang.
Kami turut disajikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat setempat di kampung berkenaan iaitu Rungus dan Bajau.
Kebudayaan etnik Rungus adalah tarian `mongigol’ yang dipersembahkan lelaki manakala wanita menampilkan `sumundai’ .
Etnik Bajau pula mempersembahkan acara `betitik' yang menggunakan alat muzik tradisi iaitu sepasang gong, gendang, `babandil' (canang) dan seunit `kulintangan' (caklempong).
Ketika membaiki rumah keluarga miskin, tiba-tiba seorang kanak-kanak berusia dalam lingkunan enam tahun berlari sambil meraung meminta tolong konon sedang dikejar `using boong'.
Abang kanak-kanak itu turut berlari sambil menakut-nakutkan adiknya.... `na! jogo kau using boong nembet' (bahasa Bajau bermaksud, Berwaspada ada kucing hitam ganas bertanduk mengejar).
Kami berhenti seketika, tertanya-tanya apa yang sedang diperkatakan kanak-kanak itu dan kenapa abangnya mengejarnya sambil bertempik.
Pemilik rumah Mah Tooh Simun, kemudian menterjemahkan perkataan kanak-kanak itu dan abangnya, konon kanak-kanak itu sedang dikejar `using boong’.
Kami serentak berkata, `using boong'!. Mujur kanak-kanak itu tidak meminta pertolongan kami, sudah tentu kami pun akan dikejar 'using boong'.
Lucu dan marah, kenapa agaknya abang kanak-kanak itu sampai hati melemahkan semangat adiknya.
Si abanglah sebenarnya `using boong'.
Aku kini belajar peringkat sarjana di UM dan tidak dapat melupakan kejadian itu.