Ramlan pembuat parang tradisional Bajau bangga pertahan khazanah moyang
Dari Kutubkhanah Azrone Oleh Mohd Azrone Sarabatin DAERAH Kota Belud di utara Sabah sememangnya popular di seantero dunia dengan peraraka...
Dari Kutubkhanah Azrone
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
DAERAH Kota Belud di utara Sabah sememangnya popular di seantero dunia dengan perarakan kuda berhias Bajau sehingga gelaran 'Koboi Timur' menenggelamkan imejnya sebagai pengeluar produk tradisi iaitu parang tradisional Bajau.
Parang tradisional Bajau diakui mempunyai seni ukiran estetika tinggi nilainya mencakupi parang, sarung dan hulu.
Uniknya, pembuatan parang diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang seperti yang diakui seorang pengusaha peralatan itu, Ramlan Salon, 54, dari Kampung Siasai Jaya, Kota Belud.
![]() |
Penulis bersama pengusaha Parang Bajau, Ramlan Salon di Kampung Siasai Jaya, Kota Belud pada 17 Disember 2016.- Gambar Kutubkhanah Azrone |
|
Parang Bajau merangkumi pelbagai nama mengikut bentuk, ukiran, saiz dan lazimnya diperbuat daripada besi spring kereta, galas bebola kereta dan rantai mesin gergasi. Rantai mesin gergasi dikategorikan sebagai parang kelas satu dan terbaik dalam semua jenis besi.
Sarung dan hulu parang pula diperbuat daripada pokok tempatan Sabah dikenali ‘getis’, ‘baruk’ dan ‘rengas’, selain acasia magium atau dalam bahasa tempatan, ‘kayu sapuda’.
Ramlan berkata, pada era 1950-an hingga 2003 pembuatan parang bergantung kepada kaedah tradisional dan manual tetapi kini lebih cepat dan cekap kerana menggunakan mesin moden yang memudahkan pembuatannya.
Beliau mengakui penggunaan mesin moden menjimatkan masa dan tenaga kerana sebelum kedatangan teknologi itu, sebilah parang mengambil masa sehingga sebulan untuk disiapkan, tetapi kini 10 bilah dapat dihasilkan dalam tempoh itu.
![]() |
PARANG Bajau turut dipasarkan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2020 di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 26 Februari hingga 9 Mac 2020.- Gambar Kutubkhanah Azrone |
|
“Teknologi moden ini tidak menghakis kesenian dan keindahan parang Bajau kerana reka bentuk dan ukiran masih dikekalkan, cuma ia menerima impak sains, teknologi dan inovasi menepati perkembangan semasa.
“Motif ukiran seperti ‘sarimpak’ (mahkota), ‘tanjak’ (tengkolok) dan ‘lemba’ serta ‘selisir’ (tenunan tradisi Bajau) mempunyai kaitan rapat dengan kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat Bajau. Ia masih dikekalkan.
“Saya tidak pernah menyesal menjadi pembuat parang tradisional Bajau biarpun ketika ini peralatan itu bukan lagi senjata penting untuk menuntut kemerdekaan tanah air, sebaliknya saya bangga kerana dapat mempertahankan warisan nenek moyang.
“Jika dulu parang adalah senjata penting untuk menentang penjajah atau mempertahankan keluarga, kini ia menyumbang kepada peningkatan ekonomi kerana dijadikan cenderamata popular untuk dibawa pulang pelancong atau dihadiahkan kepada orang kenamaan,” katanya.
Parang dijual pada harga dari RM50 sehingga RM500 sebilah bergantung kepada panjang, kualiti sarung dan jenis besi serta kayu untuk membuat parang, sarung dan hulu.
Kira-kira 85 peratus daripada 800 penduduk Kampung Siasai Jaya mahir dalam pembuatan parang tradisional Bajau termasuk golongan wanita.
Industri pembuatan parang tradisional juga semakin mendapat perhatian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang menyalurkan peruntukkan menerusi pendekatan ‘Satu Daerah Satu Industri’ (SDSI) yang mampu meningkatkan keupayaan pembuatan parang tradisional Bajau.
Peruntukan itu meliputi penyediaan sebuah pusat sehenti dilengkapi mesin berteknologi, penyelidikan pasaran dan khidmat serta strategi pemasaran lebih sistematik.
Kepakaran yang disalurkan menerusi Sirim Berhad itu berupaya meningkatkan kualiti dan jumlah parang yang dihasilkan, sekali gus memastikan keaslian terus dipelihara serta diyakini pada masa depan, setiap corak yang dihasilkan boleh dipatenkan sebagai lambang eksklusif produk berkenaan.
Bagi Ramlan, usaha kementerian itu tidak akan menggugat keaslian parang yang dihasilkan, sebaliknya akan menambah nilai produk berkenaan.
“Nenek moyang kami pernah berpesan supaya pembuatan parang dipertahan dan disesuaikan dengan keadaan semasa yang dengan sendirinya membuktikan semua pembaharuan yang dilakukan tidak bertentangan dengan prinsip mereka asalkan tidak mengubah motif parang, sarung dan hulu,” katanya.
FAKTA
![]() |
- Gambar Kutubkhanah Azrone |
PARANG turut dijual di Pekan Karak, Bentong, Pahang yang dirakamkan pada Januari 2013.