Keluarga Sanggi tepati aspirasi Keluarga Malaysia

Salasilah Keluarga Besar Sanggi mewakili tiga etnik terbesar di Kota Belud, iaitu Bajau, Kadazandusun dan Iranun. KOTA BELUD:  Keluarga Sang...

Salasilah Keluarga Besar Sanggi mewakili tiga etnik terbesar di Kota Belud, iaitu Bajau, Kadazandusun dan Iranun.

KOTA BELUD: Keluarga Sanggi yang menghimpunkan tiga etnik terbesar di daerah ini, iaitu Bajau, Kadazandusun dan Iranun menepati aspirasi Keluarga Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penasihat Keluarga Sanggi, Haji Ladim Haji Abdul Rahman, berkata, maklumat diperolehnya daripada ayahnya, Haji Abdul Rahman @ Haji Usa Lawi yang berusia lingkungan 120 tahun ketika meninggal dunia, Januari lalu, Sanggi berbangsa Kadazandusun berasal dari Kampung Rosok, di sini dan mempunyai lima orang anak iaitu Lebak, Ikoi, Indui, Tiangga dan Tianggangau.

Katanya, anak sulung beliau seorang lelaki diberi nama Lebak yang mempunyai tujuh orang anak kebanyakannya menetap di perkampungan Iranun seperti Kayu Putih, Tamau, Pintasan dan Rampayan Ulu di sini.

Beliau berkata, anak kedua pula seorang perempuan iaitu, Ikoi mempunyai empat cahaya mata  majoritinya menetap di perkampungan Bajau seperti Kampung Labuan dan Jawi-Jawi.

 

Pengerusi Persatuan Keluarga Sanggi, Badery Suod (kiri) bersama kaum kerabat dari etnik Iranun.

Seterusnya, anak ketiga iaitu seorang perempuan dikenali Indui  mempunyai lima orang anak majoritinya menetap di perkampungan Iranun seperti Kampung Pantai Emas dan Kota Peladok.

“Dua lagi adalah anak lelaki iaitu Tiangga yang dikesan mempunyai seorang anak majoritinya tinggal di perkampungan Kadazandusun, Kampung Rosok. Anak lelaki bongsu pula adalah Tianggangau yang sedang dikesan jurai keturunannya di perkampungan Kadazandusun, Kampung Rosok.

“Dalam susur galur keluarga kami ada Embo, Apu dan Aki, iaitu bahasa Bajau, Iranun dan Kadazandusun yang masing-masing bermaksud moyang. Denakan (Bajau), Pagari (Iranun) dan Tompinai (Kadazandusun), bahasa ketiga-tiga etnik merujuk kepada saudara.

"Hasil perkahwinan campur salasilah keturunan Keluarga Sanggi kini terus berkembang kepada kaum Melayu, Cina, Murut, Rungus dan lain-lain kaum di seluruh negara yang dengan sendirinya menjadi contoh terbaik aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya berucap pada majlis pertemuan Keluarga Sanggi di Kampung Kayu Putih, di sini semalam.

 

Keluarga Malaysia, Laimin Lihanan (dari kiri), Mohd Azrone dan Asbin Haji Usa tiga jurai keturunan Sanggi masing-masing berbangsa Kadazandusun, Bajau dan Iranun.

Seramai 30 jurai keturunan Embo Sanggi menghadiri majlis silaturahim secara santai itu.

Haji Ladim adalah generasi keempat keturunan Sanggi berdasarkan salasilah, Haji Ladim bin Haji Usa @ Haji Abdul Rahman bin Lawi bin Lebak bin Sanggi.

Pada majlis itu, ahli perniagaan, Badery Haji Suod dari salasilah keturunan Embo Ikoi dipilih sebagai Pengerusi, manakala penasihat, Ladim dari jurai keturunan Apu Lebak.

Timbalan Pengerusi pula Kopli Andalan mewakili etnik Iranun dari salasilah keluarga Lebak dan Laimin Lihanan (Kadazandusun) dari jurai keturunan Tiangga.

Editor Portal Berita, Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin dari susur galur keluarga Ikoi dilantik Setiausaha dan Nurdinah Aminin (Bendahari) dari jurai keturunan Apu Indui.

Ahli Jawatankuasa mewakili etnik Kadazandusun pula adalah,  Yonton @ Justinah Sokok, KK Andrew Masaka dan Norobot  Sokok.

Komuniti Iranun diwakili Imam Khatab Haji Ekin,  Jainun Aminin dan Asli Bukara, manakala wakil kaum Bajau adalah Masmud Haji Suod, Masdi Maji dan Serin Langan.

 

Antara jurai keturunan Embo Sanggi yang menghadiri pertemuan keluarga di Kampung Kayu Putih, Kota Belud,

Sementara itu, Badery dalam ucapannya, berkata, setiap keluarga akan mengisi borang ‘Keluarga Besar Sanggi’ yang diedarkan secara ‘serahan tangan’ dan dalam grup WhatsApp Keluarga Sanggi untuk memastikan semua ahli keluarga dapat disatukan.

Katanya, beliau mahu menggabungkan idea dan kerjasama daripada semua ahli keluarga dan akan berusaha menjalankan amanah besar itu kerana Allah dan demi silaturahim Keluarga Besar Sanggi.

Beliau mahu semua ahli khususnya Jawatankuasa Keluarga Besar Sanggi tidak menjadikan penyatuan keluarga sebagai medan berpolitik dan mengukuhkan pengaruh dalam parti politik tertentu serta tidak menjadikan grup WhatsApp keluarga untuk berkempen dalam pilihan raya umum.

“Kita memilih penggunaan Bahasa Malaysia sebagai perhubungan dalam grup WhatsApp kerana ada ahli hanya menguasai bahasa ibunda sahaja, selain bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Tapisan khusus setiap ahli akan kita laksanakan bagi memastikan hanya keturunan Embo Sanggi menyertai persatuan keluarga. 

“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya memikul amanah besar mempengerusikan Jawatankuasa Keluarga Sanggi 2022,” katanya.

Related

Terkini 4272438409410463540

Catat Ulasan

emo-but-icon

item