SK Pulau Mabul 'Sekolah Pelancongan' dalam kawasan perintah berkurung dan kisah roti balik kampung

SK Pulau Mabul, Semporna berkonsepkan sekolah pelancongan. KELIBAT  seekor penyu hijau muncul di permukaan air menyambut kehadiran rombongan...

SK Pulau Mabul, Semporna berkonsepkan sekolah pelancongan.


KELIBAT seekor penyu hijau muncul di permukaan air menyambut kehadiran rombongan Jelajah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) 33 Teknik Amalan Penyampaian Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) Guru Cemerlang (GC) dan Pensyarah Cemerlang (PC) serta Program Outreach Pedagogi Sukar di pulau-pulau di Semporna, sebaik menuju sebuah jeti berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul, Semporna.


Timbalan Rektor, IPGM, Dr Yazid Abdul Manap menyampaikan sumbangan roti Gardenia kepada Guru Besar SK Pulau Mabul, Lawaddin Jammaal sambil disaksikan rombongan di SK Pulau Mabul, Semporna.

Walaupun kelibat spesies penyu yang sering bertelur di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan itu kurang 30 saat, sebelum menyelam ke dasar laut, namun memberi kepuasan kepada sekumpulan 13 PC dan GC yang mengunjungi SK Pulau Mabul.

MURID SK Pulau Mabul, Semporna aktif dalam Kokurikulum.


Berkonsepkan sekolah pelancongan berikutan lokasinya di kawasan pelancongan bertaraf global, tidak hairanlah semua murid di SK Pulau Mabul, terdedah dengan dunia luar sejak usia bayi, berikutan kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa, selain saintis dan penyelidik dalam bidang penyelidikan penyu serta spesies marin terancam dari serata dunia. 

Kewujudan komuniti Bajau Laut yang hidup nomad dalam perahu serta sering singgah di pulau itu turut menarik perhatian pelancong dan penyelidik tempatan dan antarabangsa.

  

Jelajah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) 33 Teknik Amalan Penyampaian Pengajaran Dan PdPR PC dan GC dan Program Outreach Pedagogi Sukar yang mengkhususkan sekolah-sekolah pulau di Semporna.

Boleh dikatakan rata-rata murid ditemui kurang berminat belajar kerana peluang pekerjaan mudah diperoleh khususnya dalam sektor pelancongan berikutan kewujudan banyak resort di pulau peranginan itu.

Penyu hijau merupakan spesies yang sering bertelur di Pulau Mabul.- Gambar Pembaca 


Sejak kecil mereka terbabit kegiatan menjual hasil perikanan seperti ikan, ketam dan udang kepada pelancong, selain kelapa muda serta kuih tradisional  Bajau Semporna iaitu 'gerigit' dan 'tabid' yang dengan sendirinya setiap kanak-kanak mempunyai tabungan secara konsisten yang menyumbang kepada penyusutan minat belajar.



Selain itu, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jabatan dan agensi kerajaan ke pulau itu memberi pelbagai bantuan seperti makanan, kewangan dan pakaian.

 

Timbalan Rektor IPGM, Dr Yazid Abdul Manap menyampaikan roti Gardenia kepada murid SK Pulau Mabul, Semporna.

Selain SK Pulau Mabul, sebuah sekolah yang masih menggunakan bangunan lama diperbuat daripada kayu di tepian laut, di pulau peranginan itu juga ada Pertubuhan Pendidikan Kanak-Kanak Mabul Sabah atau Mabul Kids Education Society Sabah.

SK Pulau Mabul menggunakan padang berpasir untuk sukan seperti bola sepak pantai, bola tampar dan Dodgeball yang baru diperkenalkan Persekutuan Dodgeball Malaysia atau Malaysia Dodgeball Federation (MDF) di sekolah pelancongan itu.

Walaupun tempoh di pulau itu agak singkat berikutan lokasinya di kawasan Perintah berkurung kawasan perairan tujuh daerah dalam  Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), di antara jam 6 petang hingga 6 pagi, namun kunjungan ke pulau itu amat bermakna kepada rombongan.

Jelajah PLC 33 Teknik Amalan Penyampaian PdPR Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang serta Program Outreach Pedagogi Sukar menyantuni sekolah di pulau-pulau di Semporna yang serba mencabar kerana murid dan guru terdedah kepada cabaran ombak besar serta bot bocor ketika pergi dan balik dari sekolah.


Perintah berkurung sejak 19 Julai 2014 bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas, yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan, selain pelancong domestik dan global yang melawat pulau peranginan berkenaan.

 

Padang sekolah berpasir untuk bermain bola sepak pantai dan Dodgeball.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, dilaporkan berkata, maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) (penculikan untuk tujuan tebusan) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ESSZONE untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Berikutan faktor keselamatan, rombongan perlu keluar dari pulau berkenaan selewat-lewatnya jam 5 petang. Sesi PLC dan Program Outreach Pedagogi Sukar di Semporna berakhir di SK Pulau Mabul.

 

Klinik Sukan Dodgeball dilaksanakan Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) di Padang SK Pulau Mabul Semporna.- Gambar SK Pulau Mabul 

Jelajah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) 33 Teknik Amalan Penyampaian Pengajaran Dan PdPR PC dan GC dan Program Outreach Pedagogi Sukar di Semporna pada Isnin hingga Khamis, minggu lalu mengkhususkan sekolah-sekolah pulau di Semporna yang menggunakan bot sebagai perhubungan utama dengan tanah besar Semporna.

Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia, Bahtiar Sukkor membelah buah kelapa yang dibeli daripada komuniti Bajau Laut yang berperahu menjual kelapa muda di Pulau Mabul.


Program inisiatif Majlis Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Majlis Guru Cemerlang Malaysia serta berkolaborasi dengan IPG Kampus Tawau, dan Pejabat Pendidikan Daerah Semporna berlangsung empat hari.



Rombongan seramai 13 orang diketuai oleh Timbalan Rektor, IPGM, Dr Yazid Abdul Manap, dan  Dr Munira Mohsin yang mewakili Pengarah IPGKIK.

Bangunan papan SK Pulau Mabul, Semporna.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah IPGM, Dr Nor Ain Sulaiman; Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, Abdul Nasir Paisal; Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia, Bahtiar Sukkor dan Pengurus Program Outreach Pedagogi Sukar IPG Kampus Ilmu Khas ke Semporna, Norani Abd Rahim.

Jarak Pulau Mabul dari tanah besar  Semporna adalah kira-kira 27 kilometer (KM) dengan perjalanan sekitar 45 minit hingga sejam mengikut keadaan cuaca dan kelajuan bot, manakala jarak pulau itu ke pulau antara tercantik di dunia, Pulau Sipadan sekitar 15 KM atau perjalanan bot sekitar 15 hingga 20 minit.

Guru Besar SK Pulau Mabul, Lawaddin Jammaal menyambut rombongan di jeti milik sebuah pengusaha resort berhampiran SK Pulau Mabul.

Beliau mengalu-alukan ketibaan rombongan dan berharap ia membuka peluang untuk bekerjasama khususnya untuk peningkatan prestasi guru dan murid.

Bangunan Prasekolah SK Pulau Mabul, Semporna.


"Kami bertuah kerana menjadi pilihan Pensyarah Cemerlang dan Guru Cemerlang yang pastinya membuka ruang kerjasama antara kedua-dua pihak dan bagi sekolah kami pastinya ia memberi manfaat jangka panjang," katanya. 

INFO

 

Roti Gardenia balik kampung

Roti Gardenia diangkut menggunakan kereta sorong dikenali 'karitun' dalam kalangan masyarakat di Semporna.


ROTI ‘berasal dari Sabah’, Gardenia menjadi ole-ole kepada murid di setiap sekolah yang menjadi persinggahan Jelajah PLC 33 Teknik Amalan Penyampaian PdPR GC dan PC dan Program Outreach Pedagogi Sukar mengkhususkan sekolah-sekolah pulau di Semporna.

Kenapa penulis kata ‘Roti Gardenia balik kampung?'. Roti bakeri terkenal itu yang diberikan kepada murid terbabit dibawa dari kilangnya di Shah Alam, sedangkan roti menggunakan slogan ‘Gardenia, Sungguh enak… Dimakan begitu sahaja!’ sebenarnya mula bertapak di Sabah pada tahun 1969, dan dari Negeri di Bawah Bayu pembuatan dan pemasaran roti itu  berkembang ke Singapura, Semenanjung dan disusuli beberapa negara ASEAN.

International Executive Service Corporation (IESC) sebuah firma perniagaan persendirian yang terbabit  pembangunan ekonomi berpangkalan di Amerika Syarikat diasaskan oleh David Rockefeller mahu membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dunia.

Syarikat itu kemudian berminat membangunkan cabang perniagaan roti di Malaysia pada tahun 1968 dan matlamat itu tercapai setahun kemudian apabila seorang pembuat roti terkenal, Horatio Sye Slocumm yang lebih dikenali Uncle Slocum dihantar ke Malaysia dengan memilih Kota Kinabalu sebagai lokasi pertama kilang pembuatan roti bakeri resepi Amerika.



Slocum tiba di Malaysia dengan dana bantuan IESC untuk memulakan perniagaannya dan menjalinkan kerjasama dengan ahli perniagaan terkenal di Sabah iaitu pemilik Tong Hing Holdings, Wong Tze Fatt. Slocum turut menjemput  seorang lagi rakannya iaitu Jim Humphries yang berkepakaran membuat krim pastri.

Pada tahun 1978, ketiga-tiga ahli perniagaan itu membuka syarikat di Singapura yang dikenali sebagai Gardenia International Pty. Ltd dan  sebuah kedai roti kecil di Plaza Bukit Timah, mula menjual roti itu pada tahun sama.

Bila Gardenia memasuki Semenanjung?. Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd melancarkan roti pertamanya pada tahun 1986.  Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd adalah anak syarikat konglomerat tersenarai di Bursa Saham Singapura, iaitu QAF Ltd, yang turut mengendalikan Gardenia Singapura dan Filipina.

BOT membelah samudera Tongtalun (nama lama Semporna)   untuk membawa kotak berisi roti Gardenia sempena program Jelajah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) 33 Teknik Amalan Penyampaian Pengajaran Dan PdPR PC dan GC dan Program Outreach Pedagogi Sukar yang mengkhususkan sekolah-sekolah pulau di Semporna 



Bagaimanapun, Gardenia Kuala Lumpur dan Sabah hanya menggunakan jenama sama, tetapi berbeza pengurusannya kerana Gardenia Sabah diurus pengedar barangan pengguna Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC).

Pada 24 Januari 2020,  KTC menandatangani perjanjian pelesenan dengan syarikat pemilik asal Gardenia, Tong Hing Holdings untuk mengurus jenama roti bakeri terkenal itu di Sabah, Sarawak dan Indonesia.

Menerusi perjanjian itu, KTC akan menjadi pengusaha tunggal Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd berkuatkuasa 22 Januari 2020 dan merupakan anak syarikat 100 peratus milik Kim Teck Cheong Consolidated Berhad.

Roti Gardenia yang dijual di outlet roti bakeri popular itu di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) menjadi pilihan rakyat Sabah dan Sarawak  untuk dijadikan ole-ole balik kampung.

Sumber: Wikipedia, Google, BERNAMA dan Facebook Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.

REAKSI



"Terima kasih Gardenia KL atas tajaan roti yang diterbangkan khusus untuk Program PLC 33 Teknik Amalan Penyampaian PdPR Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang serta Program Pedagogi Sukar di Semporna. 

"Naik kereta, kapal terbang, bas dan bot, kemudian diangkut meniti jambatan kayu di pulau dan menggunakan 'karitun' (kereta sorong) untuk membawa kotak berisi roti Gardenia. Dari Shah Alam roti bakeri popular itu sampai ke Pulau Mabul. Pengalaman indah untuk dikenang," - Norani Abd Rahim. 


Related

Terkini 969688370673807208

Catat Ulasan

emo-but-icon

item