Lagu Endiam Sengkaban angkat kearifan tempatan etnik Bajau Sama
KOLUMNIS Oleh Wan Noorazwa Azeri Pantai Bue' Merengin, Kota Belud pada waktu senja ketika mentari terbenam. DALAM perjalanan b...
KOLUMNIS
Oleh Wan Noorazwa Azeri
![]() |
Pantai Bue' Merengin, Kota Belud pada waktu senja ketika mentari terbenam. |
DALAM perjalanan balik ke kampung di Kota Belud, petang tadi penulis dan keluarga sangat terhibur mendengar lagu Bajau Sama, ‘Endiaam Sengkaban’ lantunan suara, Rubisa Tiasin atau lebih dikenali Rubisa AF7 menerusi pelantar Youtube.
‘Arrangement’ muzik atau penggubahan dan penyusunan muzik telah menyegarkan melodi lagu Bajau Sama dan sangat sedap sebagai santapan halwa telinga. Tahniah Douglas Henri Monis dan komposer, Izzi Taip.
Penulis tidak berhasrat mengulas vokal Rubisa kerana peminat seni suara tanahair lebih tahu kekuatan dan kemerduannya.
![]() |
Bilang-bilang Bue' Merengin, Kota Belud menjelang terbitnya matahari. |
Dalam ruangan ini penulis ingin mengulas kearifan tempatan, Sastera Bajau Sama dan perlambangan yang dimanfaatkan sepenuhnya penulis lirik lagu ini, Mohd Azrone Sarabatin.
Penerima Hadiah Sastera Sabah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak dua kali masing-masing tahun penilaian 1996/1997 dan 2014/2015 menggunakan sepenuhnya kekuatan seni yang ada khususnya kearifan tempatan untuk menulis lirik lagu terbitan S Nazri Kausar Production.
Mohd Azrone yang juga Pengarang Kamus Bajau Sama dan dapatan kajiannya termuat dalam Glosari Leksikal Bahasa Sukuan, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP, selain terlibat dalam penerbitan entri Bahasa Bajau Sama dalam Wikipedia @ Wikimedia kelolaan Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sama Sabah.
![]() |
Beriu toro atau hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa dalam lirik lagu Endiam Sengkaban sangat dekat di hati etnik Bajau Sama khususnya yang mendiami kawasan sekitar 10 Kilometer dari laut kerana ia dikaitkan dengan musim penyu naik ke darat untuk bertelur.
![]() |
Muara kuala Bue' Merengin, Kota Belud. |
Masyarakat Bajau Sama di perkampungan tradisi akan mengutip telur penyu di tepian pantai termasuk di atas ‘bilang-bilang’ atau bukit pasir pantai Bue’ Merengin di Kota Belud atau istilahnya nete’ untuk dijadikan lauk atau dijual.
Bagaimanapun, mereka tidak lagi menjalankan kegiatan itu selepas pelaksanaan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan memiliki hidupan liar termasuk telur penyu yang dilindungi di bawah undang-undang itu.
Ini bermakna Beriu toro yang diulang tiga kali dalam lirik lagu berkenaan adalah perlambangan kepada angin yang tenang dan mendamaikan seperti angin malam dalam lagu penyanyi legenda, Broery Marantika.
![]() |
Payung Ubur-ubur. |
Musim beriu toro
kiti boi sekeloo
Diam buan pernomo
musim beriu toro
rumbungan malad teko.
‘Musim beriu toro, kiti boi sekeloo’ merujuk kepada perkenalan ketika musim angin yang tenang, manakala ‘Diam buan pernomo, musim beriu toro rumbungan malad teko’ bermakna pada bulan purnama ketika angin yang mendamaikan rombongan ‘malad’ atau menyerahkan hantaran perkahwinan dan menentukan tarikh perkahwinan sampai ke rumah bakal mempelai perempuan.
Penulis lirik seterusnya menggunakan simpulan bahasa ‘kaban mentio’ dan ‘pelamin mentio’ yang masing-masing merujuk kepada kotak kayu yang dipenuhi permata sebagai simbolik kepada seorang gadis jelita dan ‘hari bahagia’.
‘Pekepa’ ta' singo tengkatai ku’ tidak boleh diterjemah secara harfiah sebagai ‘Hinggap di ranting limpa’, sebaliknya peribahasa Bajau Sama itu bermaksud ‘sehati dan sejiwa'’, manakala ‘Somo-somo ngelamak guyak’ jika diterjemah secara terus bererti ‘bersama-sama belayar di laut’, sedangkan ia bermaksud ‘susah senang bersama’.
Perlambangan seterusnya adalah ‘Teko no masa niagad titikan tigad-tigad’. Tigad-tigad adalah muzik tradisional dalam acara betitik warisan etnik Bajau Sama untuk menyambut kehadiran pengantin lelaki, malangnya angin yang mendamaikan bertukar taufan, menerusi bait-bait ‘beriu toro jaji barat’.
Tali sambulayang bekat
tanda nia’ alap
payung ubur-ubur lemiang
katup endia’ timbang.
![]() |
Panji Sambulayang simbolik menyambut mempelai lelaki yang dipayungi payung ubur-ubur di atas usungan.- Gambar Kutubkhanah Azrone |
Dalam budaya masyarakat Bajau Sama rumah pengantin perempuan akan dipasang panji dikenali ‘Sambulayang’ dan agak sukar talinya terputus dan jika terputus ia dikaitkan majlis meriah bertukar bencana.
‘Payung ubur-ubur’ atau dalam bahasa Melayu payung obor-obor mengikut laman sesawang http://www.dirajapahang.my/ adalah lambang kebesaran dan kehormatan dalam adat-adat Raja Melayu dan ia sama dengan masyarakat Bajau Sama terutama berdarah bangsawan bergelar Datu.
Pemilihan diksi 'payung ubur-ubur lemiang, katup endia’ timbang' berhubung kait dengan kepercayaan masyarakat Bajau Sama pada zaman silam, iaitu jika payung kebesaran itu terbang dan terkatup bermakna majlis perkahwinan terbatal pada hari persandingan.
Judul lagu, ‘Endiam Sengkaban’ merujuk kepada lubang besar pada bahagian bawah tebing dalam dasar sungai yang biasanya menjadi tempat buaya menyembunyikan mangsa terutama manusia.
Sangat tragis apabila hari bahagia bertukar bencana, majlis perkahwinan yang sepatutnya meriah berganti malapetaka kerana pengantin perempuan berubah hati pada hari persandingan dengan memilih jejaka lain.
Penulis Wan Noorazwa Azeri adalah juara Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia bertema ‘Tokoh yang tak didendang’ anjuran portal berita, Sabah Taim dengan kerjasama Ikatan Penulis Sabah (IPS) 2021.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pengarang Sabah Taim.