Tegudon permata tersembunyi
Panorama Gunung Kinabalu menjelang terbitnya mentari di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. T EGUDON Tourism Village atau Perkampungan P...
![]() |
Panorama Gunung Kinabalu menjelang terbitnya mentari di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
TEGUDON Tourism Village atau Perkampungan Pelancongan Tegudon di Pedalaman Kota Belud bagaikan permata yang hilang di Sungai Wariu.
![]() |
Mandi-manda di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Dihiasi dengan pemandangan menakjubkan berlatarkan Gunung Kinabalu, sungai yang jernih, padi huma dan jambatan gantung merentangi Sungai Wariu menjadikan percutian di Perkampungan Pelancongan Tegudon kenangan terindah dalam hidup.
![]() |
Tenangnya arus Sungai Wariu pada awal pagi di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Bagaimanapun, kehadiran kami pada petang Rabu tidak dapat menyaksikan panorama Gunung Kinabalu yang ketika itu ‘diselimuti’ kabus tebal dan yang kelihatan hanya Gunung Nungkok yang dikatakan kembar ‘Aki Nabalu’ (Gunung Kinabalu).
Kami memilih berkhemah di tebing Sungai Wariu bertilamkan ‘batu’.
Selain tapak perkhemahan, pengusaha pelancongan Tegudon Tourism Village, Kota Belud turut menyediakan kemudahan pondok tradisi dikenali ‘sulap’ yang sesuai kepada pencinta alam yang gemarkan 'experiential tourism' dan memilih kelainan.
![]() |
Rumah tradisi atau 'sulap' di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Penginapan moden iaitu Rest N Joy Guest House turut disediakan.
![]() |
Panorama waktu pagi di tebing Sungai Wariu, Kampung Tegudon, Kota Belud. |
Kira-kira jam 5.50 pagi iaitu menjelang terbitnya mentari, Gunung Kinabalu yang tersergam indah muncul di depan mata. Tiada lagi kabus yang menghalang panorama indah gunung tertinggi di Malaysia.
![]() |
Tapak perkhemahan di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Sesekali kelihatan petani menggalas padi dan buah-buahan menggunakan wakid merentasi jambatan gantung. Wakid adalah beg galas tradisional masyarakat Kadazandusun diperbuat daripada buluh.
![]() |
Panorama Gunung Kinabalu, sawah, sungai dan jambatan gantung di Tegudon Tourism Village, Kota Belud.- Gambar Sabah Tourism Board. |
Selain itu, kelibat petani menunggang kuda padi ke kebun dan sesekali kelihatan kerbau merentas sungai yang menjadi daya tarikan tambahan kepada pencinta ekopelancongan.
![]() |
Mentari terbit di Kampung Tegudon, Kota Belud. |
Perkampungan Pelancongan Tegudon juga menjadi pilihan kepada pengunjung yang gemar melihat pelbagai spesies burung termasuk ‘Whiteheads Broadbill’, ‘Green Broadbill’ dan ‘Longtailed Broadbill’.
![]() |
Sungai berlatarkan Gunung Kinabalu di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Perkampungan pelancongan terletak kira-kira 18 Kilometer dari pekan Kota Belud turut dikenali kerana keindahan langitnya yang menjadi kegilaan pencerap bintang.
![]() |
Pemandangan dalam 'sulap' di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Permata tetap berharga walaupun terbenam di dasar sungai 'dikawal' bongkah batu dan penduduk Kampung Tegudon ternyata berjaya melimbang permata yang menakjubkan untuk santapan pelancong seluruh dunia khususnya menerusi ekopelancongan, 'experiential tourism' dan sektor pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).
![]() |
Pemandangan tapak perkhemahan waktu malam di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
![]() |
Pengalaman berjalan di atas jambatan gantung di Tegudon Tourism Village, Kota Belud. |
Justeru, selain CoBT, Perkampungan Pelancongan Tegudon juga sesuai untuk 'experiential tourism' iaitu konsep pelancongan yang memberikan pengalaman menarik kepada pelancong dan semakin popular di seluruh dunia.
FAKTA
“CoBT perlu diperluaskan kepada komuniti rumah atas air bagi membangunkan produk pelancongan baharu dengan pengalaman tersendiri.”. - Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.