Dari Negeri di Bawah Bayu ke Negeri Kata-Kata
Kepala Dinas Kebudayaan P rovinci Kepulauan Riau, Dr HM Juramadi Esram (barisan depan, tengah) mengabadikan kenangan dengan penyair dari ra...
Festival Sastra Internasional Gunung Bintan (FSIGB) 2022 berlangsung di Kota Kijang, Bintan Timur, Kabupaten Bintan, Tanjung Pinang, Provinsi Kepulauan Riau, Indonesia pada 24 hingga 26 September lalu.
Sebanyak 100 buku puisi dilancarkan sempena FSIGB 2022, iaitu karya peserta sendiri, manakala karya 300 penyair nusantara yang tersiar puisi mereka dalam antologi puisi Jazirah Sebelas: Laut dan Kembara Kata-kata turut diluncurkan pada festival itu.
Acara pembukaan diisi dengan pembacaan puisi oleh peserta negara serumpun, antaranya Prof Madya Haryatie Abd Rahman dan Roslan Madun dari Malaysia, selain Teja Alhab dari Tanjungpinang yang juga Penerima Jembia Emas, dan Presiden Penyair Perempuan Indonesia (PPI), Kunni Masrohanti.
Pengisian festival yang mengangkat tema Sastra Melayu dan Budaya Kemaritiman adalah penyerahan Anugerah Jembia Emas, Ziarah Sejarah dan Budaya dan Seminar Sastera.
KOLUMNIS
Oleh Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin
PERJALANAN penulis ke Negeri Kata-kata bermula sehari lebih awal, yakni pada 23 September lalu. Perjalanannya amat panjang sekali. Bermula di rumah di Tuaran, perjalanan ke Kota Kinabalu mengambil masa sejam, penerbangan ke Senai, Kulai mengambil masa dua jam dan perjalanan ke Johor Bahru mengambil masa lebih kurang 40 minit.
Perjalanan ke bandar raya Singapura mengambil masa lebih kurang 40 minit lagi tidak termasuk masa pemeriksaan imigresen, kastam dan kesihatan di sempadan Malaysia-Singapura dan masa berjalan kaki dari stesen bas ke stesen kereta api transit aliran sederhana (MRT) dan seterusnya ke tempat penginapan. Penulis bermalam di Chinatown di tengah-tengah bandar raya Singapura sebelum meneruskan pelayaran ke Tanjungpinang pada pagi berikutnya.
Perjalanan dari tempat penginapan ke Terminal Feri Tanah Merah mengambil masa lebih kurang sejam dengan berjalan kaki, menaiki MRT dan menaiki bas. Pelayaran menggunakan feri ke Negeri Kata-kata mengambil masa dua jam. Cuaca pada pagi itu agak mendung, sekali-sekala ada hujan yang turun.
![]() |
Rombongan Malaysia di lobi Comforta Hotel & Resort, Batu X, Tanjungpinang Timur, Riau, Indonesia. |
Tetapi, keadaan di tengah laut tenang sekali sehingga perjalanan feri melintasi Pulau Bintan dan Pulau Batam menjadi mudah sekali. Di atas feri yang meluncurkan penulis dan rakan-rakan pengembara, bendera Singapura dan Indonesia berkibar dengan megah sekali.
Negeri Kata-kata yang dimaksudkan ialah Pulau Bintan, tepatnya di bandar Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia. Seperti empat siri sebelumnya, bandar Tanjungpinang merupakan tuan rumah Festival Sastra Internasional Gunung Bintan (FSIGB) 2022 yang diadakan pada 24 hingga 26 September 2022. FSIGB 2022 dianjurkan oleh Yayasan Jembia Emas dengan kerjasama Dinas Kebudayaan Provinsi Kepulauan Riau (Disbud Kepri), Kantor Bahasa Provinsi Kepulauan Riau, Universitas Maritim Raja Ali Haji (UMRAH) dan Pemerintah Kabupaten Bintan.
Penulis hanyalah salah seorang daripada 23 orang penyair Malaysia yang disempatkan menyertai FSIGB 2022. Tetapi, penulis juga merupakan satu-satunya penyair dari Negeri di Bawah Bayu yang disempatkan membawa nama negeri dalam festival tahunan tersebut. Rombongan Malaysia yang diketuai oleh Mohd Rosli Bakir daripada Persatuan Penulis Johor (PPJ) merupakan sebahagian daripada 300 orang penyair rantau Asia Tenggara yang tersiar puisi mereka dalam antologi puisi Jazirah Sebelas: Laut dan Kembara Kata-kata terbitan Yayasan Jembia Emas, Indonesia.
![]() |
Sebahagian daripada peserta FSIGB 2022 bergambar kenangan di depan Comforta Hotel & Resort, Batu X, Tanjungpinang Timur, Riau, Indonesia.
|
Nama mereka semua telah diumumkan oleh Ketua Pembina, Yayasan Jembia Emas, Dato Seri Lela Budaya Rida K. Liamsi, pada 16 Jun yang lalu. Begitu pun, selain penulis, penyair Sabah yang turut tersenarai nama dan karyanya dalam Jazirah Sebelas ialah Mabulmaddin Shaiddin dan Rozeline Vitalis, kedua-duanya ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Ketibaan penulis di Pelabuhan Sri Bintan Pura, Tanjungpinang Kota disambut hangat oleh penduduk setempat, termasuklah salah seorang pelaksana FSIGB 2022, Bapak Moel Akhyar yang telah sudi memandu saya ke Comforta Hotel and Resort, Batu X, Tanjungpinang Timur. Dato Rida, Bapak Irwanto Daud dan para pelaksana yang lain turut menyambut penulis dan para peserta lain dengan hangat di hotel tersebut.
Oleh kerana rangkaian acara FSIGB 2022 hanya bermula pada malam 24 September, penulis memanfaatkan masa senggang yang ada di sebelah petangnya untuk bersiar-siar di pekan Batu X bersama dengan rakan-rakan ahli rombongan Malaysia yang tiba lebih awal daripada penulis seperti Sahar Misron (Samsa Harris), Salimah Shamsuddin (Eima Shams) dan Roslan Madun.
FSIGB 2022 bermula dengan jamuan selamat datang yang diadakan di restoran Dapoer Melayoe di Tanjung Unggat, Bukit Bestari. Jamuan yang dihoskan oleh pemilik restoran yang juga pemenang Anugerah Jembia Emas 2022, Dato Wira Teja Alhabd itu menampilkan hidangan asli Tanjungpinang, termasuk Kopi Sekanak yang mengandungi 11 jenis herba. Selain daripada itu, para peserta dan pelaksana FSIGB turut dihidangkan dengan persembahan puisi oleh sebahagian daripada mereka termasuklah Kepala Kejaksaan Negeri Tanjungpinang, Joko Yuhono.
Acara tersebut menjadi lebih bermakna dan meriah apabila Gubernur Provinsi Kepulauan Riau, Ansar Ahmad, telah sudi hadir memeriahkan acara walaupun baru sahaja selesai mengikuti acara lain sempena Hari Jadi Provinsi Kepulauan Riau yang ke-20. Penulis dan Mohd Rosli merupakan antara peserta yang diberi penghormatan untuk membaca puisi di hadapan Bapak Gubernur.
Selain daripada membacakan puisi bertajuk ‘Senyumlah Duhai Tanah Airku’ dalam bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Brunei, penulis turut berbesar hati menyerahkan buku kumpulan puisi ‘Catatan buat Teman Setia’ karya penulis sendiri dan buku antologi puisi ‘Suara Bayu di Puncak Biru’ karya para penyair Sabah kepada Bapak Gubernur. Keramahan Bapak Gubernur terhadap para pelaksana dan peserta FSIGB 2022 telah banyak menceriakan suasana acara walaupun sudah menghampiri lewat malam.
FSIGB 2022 turut diisi dengan Seminar Sastra Internasional di Auditorium UMRAH Kampus Dompak, Tanjungpinang pada sepanjang hari 25 September. Di samping ucaptama oleh Direktur Pengembangan dan Pemafaatan Kebudayaan, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Riset dan Teknologi (Kemendikbudristek), Dr. Restu Gunawan, seminar yang mengangkat tema ‘Kesusastraan Melayu dan Tradisi Kemaritiman’ turut menampilkan sembilan orang pemakalah termasuk Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Dr. Shamsuddin Othman.
Seminar yang diadakan secara hibrid ini turut diikuti oleh para peserta dari luar Tanjungpinang melalui aplikasi Zoom dan siaran langsung di YouTube. Turut diadakan dalam seminar tersebut ialah bacaan puisi daripada beberapa orang penyair, termasuk penyair Singapura, Hamed Ismail.
Malam 25 September diisi dengan Majlis Perasmian Pembukaan FSIGB 2022 di Gedung Daerah Kepulauan Riau, Tanjungpinang Kota. Hadir menyempurnakan pembukaan bagi pihak Gubernur ialah Pelaksana Tugas (Plt.) Asisten II, Sekretariat Daerah Provinsi Kepulauan Riau (Setdaprov Kepri), Misbardi. Roslan Madun merupakan antara peserta FSIGB 2022 yang telah membuat persembahan lagu puisi. Selain Misbardi, turut menyaksikan ialah pemimpin-pemimpin tempatan peringkat provinsi dan kota.
Peserta kemudian kembali semula ke Universitas Maritim Raja Ali Haji (UMRAH) Kampus Dompak pada pagi 26 September untuk menyaksikan majlis pelancaran 100 buah buku puisi peserta FSIGB 2022 dan perasmian Bustan al-Katibin di Pelataran berhadapan dengan bangunan Rektorat UMRAH. Majlis tersebut disempurnakan bersama oleh Rektor UMRAH, Profesor Dr. Agung Dhamar Syakti dan Kepala Disbud Kepri, Dr M Juramadi Esram.
![]() |
Awang Abdul Muizz bergambar sambil memegang Jalur Gemilang bersama penyair dari Indonesia di Dapoer Melayoe, Bukit Bestari, Riau, Indonesia.
|
Sebahagian lagi peserta menyambung bacaan puisi di tempat acara, termasuklah Ustaz Shairazi Muhammad dari Kelantan yang turut membacakan puisi dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. Selain daripada itu, majlis tersebut menjadi istimewa kerana Omar Anqasa, 3, turut ditampilkan oleh bapanya yang juga penyair dari daerah Karimun, Rudi Rendra, untuk sama-sama membaca puisi bertajuk ‘Omar dan Mobil Peronda Polisi Italia’ di depan para hadirin.
Turut membaca puisi selain beliau ialah penyair muda dari Selangor, Arif Hardi Japri dan penyair veteran Singapura, Yatiman Yusof. Di sisi acara tersebut, Mohd. Rosli dan rakan-rakan PPJ menyerahkan beberapa buah naskhah buku karya penulis Johor kepada Yayasan Jembia Emas dan Perpustakaan UMRAH.
Peserta FSIGB 2022 turut dijemput menyaksikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Anggota-anggota Dewan Pengurus Masyarakat Sejarawan Indonesia (MSI) Cabang Kepulauan Riau di Auditorium UMRAH. Majlis yang diadakan secara hibrid ini menyaksikan buat pertama kalinya persatuan sejarah dibentuk di Provinsi Kepulauan Riau. Pelantikan disempurnakan oleh Ketua Umum MSI, Dr. Agus Mulyana yang mengikuti majlis tersebut secara dalam talian.
Petang tersebut sepatutnya diisi dengan jalan-jalan ke tengah bandar Tanjungpinang. Namun, keadaan tidak mengizinkan. Hujan mencurah-curah membasahi Pulau Bintan. Hanya setelah hujan reda, Arif Hardi mengajak saya untuk membeli buah tangan untuk rakan-rakan di tanah air di beberapa buah tempat di sekitar bandar Tanjungpinang. Rakan penulis seperti Ahmad David Kholilurrahman dari Jambi pula berkesempatan menziarahi rakan penulis yang lain di daerah bersebelahan, tepatnya di Kijang, Bintan, Riau.
![]() |
Festival Sastra Internasional Gunung Bintan 2022 yang dibuka secara rasmi di Gedung Daerah Tanjungpinang, Riau, Indonesia.- Gambar Ihsan Alang Dilaut (kutipan.co). |
Malam 26 September diisi dengan jamuan penutup di Kedai Kopi Sarang Sembilang, Tanjungpinang Barat. Para peserta dihidangkan dengan masakan laut termasuk siput gonggong rebus yang boleh dimakan dengan cicahan lada hijau. Para peserta turut dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu rakyat dan lagu puisi yang dinyanyikan oleh penyanyi tempatan dan antarabangsa. Penulis sendiri berkesempatan mempersembahkan lagu ‘Bahtera Merdeka’ nyanyian asal Dato’ Wan Aishah Wan Ariffin dan ‘Titip Rindu buat Ayah’ nyanyian asal Ebiet G. Ade.
FSIGB 2022 ditutup dengan Majlis Perasmian Penutupan yang diadakan di Gedung Aisyah Sulaiman yang terletak tidak jauh dari Kedai Kopi Sarang Sembilang. Penutupan yang disempurnakan oleh Kepala Disbud Kepri, Dr HM Juramadi Esram turut diserikan dengan bacaan puisi daripada tokoh-tokoh tempatan seperti Kepala Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Kota Tanjungpinang, Wan Samsi dan Kepala Kantor Perwakilan Kementerian Agama Kabupaten Bintan, Ustaz Erman Zaruddin Usman. Menariknya dalam bacaan puisi ini, seorang lagi penyair Malaysia dari Kelantan, Ezani Daud menyanyikan lagu puisi bertajuk ‘Kolek Usang’ ciptaannya.
Sementara penulis menunggu perjalanan pulang ke tanah air, penulis dan rakan-rakan berkesempatan mengikuti acara Run with Peppy yang dipimpin sendiri oleh Dato Rida di Taman Tepi Laut, Tanjungpinang Kota. Menariknya, acara ini turut diiringi dengan acara gotong-royong yang dianjurkan oleh Dinas Pariwisata Provinsi Kepulauan Riau, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (Disbudpar) Kota Tanjungpinang dan Disbudpar Kabupaten Bintan.
Di samping ramah mesra dengan para pegawai dan kakitangan ketiga-tiga jabatan tersebut, penulis dan rakan-rakan turut berkesempatan bersua dengan Asisten II Setdaprov Kepri yang juga Plt. Kepala Dinas Pariwisata Kepulauan Riau, Luki Zaiman Prawira dan Kepala Disbudpar Kota Tanjungpinang, Meitya Yulianti.
Menghampiri jam 8.15 pagi Waktu Indonesia Barat, 27 September, tanpa sempat menikmati hidangan Mie Lender di kedai kopi dekat Jalan Bintan, penulis bersiap meninggalkan Pulau Bintan menaiki feri menuju ke Singapura. Walaupun penulis merasa sedih kerana banyak lagi yang ingin beliau rasai dan hayati di Pulau Bintan, penulis turut bersyukur kerana telah dapat mengembara ke Indonesia buat kedua kalinya setelah mengembara ke Pulau Belitung di Provinsi Kepulauan Bangka Belitung pada penghujung tahun 2019.
Pengembaraan ke ini merupakan yang kedua buat penulis sejak Malaysia membenarkan perjalanan rakyat dan penduduknya ke luar negara selepas berlalunya fasa pandemik COVID-19. Mac lalu, penulis dan keluarga berkesempatan mengembara ke Makkah, Taif dan Madinah, Arab Saudi kerana menunaikan umrah dan melaksanakan ziarah. Penulis telah berhasil mengembara ke empat buah negara di luar Malaysia sejak tahun 2017 dan bercita-cita untuk mengembara ke negara lain suatu hari nanti.
![]() |
Awang Abdul Muizz bersama 100 buah buku puisi peserta FSIGB 2022 yang diperkenalkan dan dilancarkan di UMRAH Kampus Dompak, Bukit Bestari, Riau, Indonesia.
|
Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin adalah Ketua Satu Ikatan Penulis
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pengarang Sabah Taim.