Yunus Perin penulis lirik terbaik lagu popular Bajau dua musim berturut-turut

HAJIJI  menerima cenderamata daripada Nor'ain selepas merasmikan malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Popular Bajau Sabah Vfm Musim Ke-8 d...

HAJIJI menerima cenderamata daripada Nor'ain selepas merasmikan malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Popular Bajau Sabah Vfm Musim Ke-8 di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran.

 


KOMPOSER lagu Bajau Sama, Yunus Perin mencatat sejarah tersendiri apabila muncul penulis lirik terbaik dua musim berturut-turut pada malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Popular Bajau (ACLPB) Sabah Vfm iaitu musim ke-7 dan ke-8.

 

NEY @ Yunus Perin menerima anugerah penulis lirik terbaik daripada Pengarah Bahagian Program Radio RTM,  Nor'ain Bakir pada malam kemuncak ACLPB ke-8 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran.

Pada malam kemuncak ACLPB ke-8 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran, malam semalam, Yunus muncul penulis lirik terbaik menerusi lagu berjudul ‘Duyan Kasihku’ dendangan Awang Kamaluddin.

Ini mengulangi pencapaiannya pada ACLPB musim ke-7 yang berlangsung di Pentas Terbuka, Padang Pekan Tuaran pada 2018 menerusi lagu  ‘Niah Serasuk’ nyanyian Deboy @ Siti Anifah Sergan.

Komposer yang mesra dipanggil Ney mengutamakan penggunaan bahasa Bajau Sama asli dan klasik dalam lagu ciptaannya seperti ‘Nia’ Serasuk’, ‘Nia’ Sejomo’, ‘Rambang Motoon’ dan ‘Duyan Kasihku’.

Ketika ditemui Sabah Taim, Yunus berkata, beliau akan terus memperjuangkan lagu Bajau Sama terutama penggunaan bahasa ‘dengasal’ (asli) sebagai khazanah generasi masa kini dan masa depan.

“Soal kalah atau menang dalam pertandingan seperti malam kemuncak ACLPB bergantung kepada rezeki masing-masing, yang penting kita berusaha melakukan yang terbaik untuk kebaikan lagu-lagu Bajau Sama,” katanya.

Azhlina Amir.

Azhlina Amir yang mendendangkan lagu Kasih Sampai Atai Nu ciptaan Aziz Omar menjuarai malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Popular Bajau Sabah Vfm Musim ke-8. Azhlina turut dinobatkan anugerah vokal terbaik.

Tempat kedua disandang, Datin Saadiah Abdul Rashad dengan lagunya, Tobtob Lasaku dan ketiga, Rubisa Tiasin (Keroncong Kaa Limbangku).

Aslan Awang yang mendendangkan lagu Baya' Ni Aku Tio muncul artis paling popular menerusi undian peminat, manakala Awang Kamaluddin memenangi persembahan terbaik.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Program berkenaan anjuran bersama Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah menerusi  Sabah Vfm dan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah.

Anugerah Carta Lagu Popular Bajau Sabah Vfm adalah pertandingan dwitahunan yang bermula sejak 2006.

Penganugerahan musim ke-8 sepatutnya berlangsung pada 2020, namun tertangguh berikutan pandemik COVID-19.

Ambil aura penulis lirik terbaik malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Popular Bajau (ACLPB) Sabah Vfm Musim Ke-8 dan ke-7, Yunus Perin (kanan) dan penyanyi legenda Bajau Sama, Rablin Norbin di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran, malam semalam.


Berucap pada majlis itu, Hajiji berkata, penganjuran Anugerah Carta Lagu Popular Bajau, menggalakkan komposer dan penulis lirik membuat penyelidikan bahasa ibunda terutama bahasa klasik yang tidak lagi dituturkan kesan peredaran zaman.

Katanya, program itu juga menjadi momentum kepada generasi muda untuk fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Pemenang tempat kedua, Datin Saadiah Abdul Rashad (kiri) dan ketiga, Rubisa Tiasin (kanan). Di tengah adalah komposer Rosley Hajal, pencipta lagu ‘Tobtob lasaku’ dan ‘Keroncong Kaa Limbangku’.- Gambar Medsos

Sehubungan itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berharap langkah RTM memperkasakan lagu etnik seperti Bajau, Kadazan, Dusun, Murut dan etnik lain di Sabah, secara tidak langsung akan mengangkat dan memartabatkan bahasa sukuan di negeri ini.

Beliau berkata, muzik dan lagu sama ada Bajau, Kadazan, Dusun, Melayu, Cina atau India dapat membentuk dan mewujudkan identiti budaya yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik.


PENULIS (dua dari kanan) bersama pemimpin Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) pada malam kemuncak Anugerah Carta Lagu Popular Bajau (ACLPB) Sabah Vfm Musim Ke-8  di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran, malam tadi.


 

"Justeru, saya gembira melihat RTM mengambil beberapa langkah ke hadapan dalam usaha memartabatkan bahasa pelbagai etnik di Sabah.

“Ia bukan bermakna, kita membelakangkan atau menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua, sebaliknya kita berusaha agar generasi muda tidak melupakan bahasa ibunda yang akhirnya akan menjadi punca kepada kepupusan khazanah etnik masing-masing," katanya.

Related

Terkini 7047684641573673477

Catat Ulasan

emo-but-icon

item