2 Perdana Menteri guna logo PKR ketika bertanding PRU14
PENYOKONG PH dari PKR ketika Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sulaman Sentral, Sepanggar, Sabtu lalu.-...
![]() |
PENYOKONG PH dari PKR ketika Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sulaman Sentral, Sepanggar, Sabtu lalu.- Gambar Mohd Azrone Sarabatin |
Namun ramai terlupa, dua bekas Perdana Menteri menggunakan logo parti itu dalam kertas undi ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.
Dua pemimpin yang dimaksudkan adalah Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan logo PKR ketika bertanding di Parlimen Langkawi, begitu juga Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan logo parti sama ketika bertanding di Parlimen Pagoh dalam pilihan raya lalu.
Pada 27 Februari 2018, Pengerusi PH ketika itu, Dr Mahathir mengumumkan empat parti sekutu dalam gabungan itu akan bertanding menggunakan logo atau simbol PKR pada PRU14.
Pengumuman dibuat pada sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya.
Keputusan itu menyaksikan calon PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo atau simbol ‘mata’ (PKR).
Bagaimanapun, dalam PRU15, semua calon Harapan atau PH menggunakan logo Harapan bukan lagi PKR.
Ini diakui Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sulaman Sentral, Sepanggar, Sabtu lalu.
![]() |
ANWAR berucap di atas pentas diperbuat daripada meja makan pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sulaman Sentral, Sepanggar, Sabtu lalu.- Gambar Facebook PAKATAN |
Sepanjang tempoh Penggal Ke-14 Dewan Rakyat, Malaysia mencatat sejarah apabila tiga Perdana Menteri menerajui kerajaan Malaysia yang terakhir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15 pada 19 November 2022.
Ini menjadikan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah politik tanah air apabila hanya menyandang jawatan itu dalam tempoh 14 bulan.
Perkembangan itu secara tidak langsung meletakkan Ahli Parlimen Bera itu memecah rekod Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri paling singkat yang hanya berkuasa selama 17 bulan.
Terdahulu kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pada PRU14 pada 9 Mei 2018 selepas memerintah selama enam dekad mengubah landskap politik tanah air apabila parti pembangkang, PH buat pertama kali menerajui tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri.
![]() |
Calon PH dari PKR, Awang Husaini Sahari penyandang kerusi Parlimen Putatan. |
Dr Mahathir kemudian mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua pada usia 92 tahun pada 10 Mei 2018 menerusi tiket parti yang pernah menjadi musuh politiknya.
Bagaimanapun, kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bertahan 22 bulan apabila tumbang pada Februari 2020 kesan 'Langkah Sheraton'.
Susulan Langkah Sheraton, pada 24 Februaru 2020, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mengumumkan parti itu keluar PH dan lebih mengejutkan Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Bersatu pada hari sama sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri interim.
Pada 29 Februari 2020, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerajui kerajaan baharu Persekutuan, setelah mendapatkan pandangan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan pemimpin parti-parti politik.
Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020, sebelum membentuk kerajaan gabungan merangkumi BERSATU, BN (UMNO, MCA, MIC), PAS, STAR, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
Langkah Sheraton turut menyaksikan PKR memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin yang mengakibatkan sembilan lagi ahli Parlimen PKR keluar parti dan menjadi wakil Bebas sebelum menyertai BERSATU.
Sepanjang lapan bulan pertama pentadbirannya, Muhyiddin terpaksa menangkis pelbagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan PN, termasuk dakwaaan Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan meyakinkan di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu serta cadangan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri itu.
Selain itu, cadangan Muhyiddin berhubung kerjasama rentas parti untuk bersama-sama kerajaan PN menangani COVID-19 juga tidak diterima oleh parti-parti pembangkang serta penentangnya, sehingga beliau dilihat kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Susulan itu, beliau memutuskan untuk meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, sebelum Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, menggantikan Muhyiddin.
Jika sebelum ini hanya jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar yang beralih kepada parti kalah dalam pilihan raya seperti berlaku di Sabah, Perak, Johor, Melaka dan Kedah, dalam Penggal Ke-14 Dewan Rakyat peralihan kuasa tanpa proses pilihan raya menggemparkan dunia apabila ia melibatkan jawatan pemimpin nombor satu negara.
Itulah politik Malaysia, macam-macam boleh berlaku tanpa diduga. Dalam politik, musuh tidak kekal jadi seteru begitu juga kawan tidak selamanya jadi sahabat.