Bajet 2023: Rakyat Sepanggar mahukan penyelesaian tuntas isu banjir kilat

  Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (dua dari kanan) melawat projek tebatan banjir di DUN Darau. SEPANGGAR:  Parlimen Sepanggar memer...

 

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (dua dari kanan) melawat projek tebatan banjir di DUN Darau.

SEPANGGAR: Parlimen Sepanggar memerlukan keprihatinan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tebatan banjir serta penyelenggaraan parit dan saliran bagi mengatasi banjir kilat yang sering melanda beberapa lokasi khususnya perkampungan Bumiputera di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud, berkata, beliau akan  menemui jabatan dan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung perancangan dan perlaksanaan projek pembangunan dalam menangani isu banjir kilat yang sering melanda sekitar Sepanggar.

Katanya, kekerapan banjir kilat adalah isu yang sentiasa dibangkitkan masyarakat di kawasan Sepanggar sebelum beliau menjadi wakil rakyat dan ia memerlukan penyelesaian tuntas demi kepentingan awam.

 

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud melawat SK Rampayan, Manggatal yang terjejas akibat banjir kilat.

 

Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen baharu di kawasan itu, beliau mengharapkan kerjasama dari semua pihak khususnya pemimpin masyarakat untuk bersama memberikan  input dan cadangan untuk disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Cadangan itu juga akan saya bawa ke Persidangan Dewan Rakyat, selain berusaha menyampaikannya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kementerian terbabit,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sesi lawatan ke Kampung Rampayan Ulu dan Kampung Rampayan Laut di Manggatal sebaik saja tiba dari Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin; Ketua-ketua kampung dan Pimpinan Cabang PKR Sepanggar yang diketuai oleh Timbalan Ketua Cabang, Ramlan Naim.

 

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud melawat kawasan terjejas akibat banjir kilat di kawasan Sepanggar.

Mustapha turut meminta  semua ADUN di kawasan Parlimen Sepanggar yang akan menerima peruntukan RM3 juta untuk tahun depan agar dapat membantu usaha mengurangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat mengikut prioriti DUN masing-masing.

Masa untuk kita bekerja untuk rakyat dan redakan suhu politik negara. Luluh hati saya melihat keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal ini. Setiap kali banjir kilat dipenuhi lumpur.  Tahniah YB Darau (Azhar) yang sudah memulakan idea untuk mendapatkan lokasi baru untuk sekolah ini.

 Anak-anak tidak dapat ke sekolah sehingga keadaan pulih. Kawasan sekolah memang tidak lagi sesuai dan memerlukan kawasan baharu yang lebih selesa. Insya-Allah akan dimasukkan dalam inisiatif Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha yakin Bajet 2023 yang dibentangkan  Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Hajiji  Noor di sidang DUN Sabah,  Jumaat lalu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya di Parlimen Sepanggar.

Bajet yang menganggarkan perbelanjaan RM5.138 bilion dengan kutipan hasil RM5.268 bilion adalah  rekod tertinggi dan sejarah baharu belanjawan negeri dengan lebihan RM130.47 Juta.

Katanya, bajet tersebut yang bertemakan Ekonomi Perkasa Rakyat Sejahtera diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat.

“Saya akan meminta kerjasama semua ADUN di Parlimen Sepanggar agar berganding bahu  meminta peruntukan kepada kerajaan negeri untuk tebatan banjir dan penyelenggaraan parit dan saliran  untuk meminimumkan banjir kilat yang sering melanda beberapa lokasi dan kampung-kampung sekitar Sepanggar.

Tidak guna jika hanya Bajet besar tetapi tidak menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi oleh rakyat. Kerajaan perlu cakna kepada penyelesaian isu dibangkitkan rakyat,” katanya.

Related

Terkini 8255664362843800052

Catat Ulasan

emo-but-icon

item