Sistem kawasan pilihan raya kita masih relevan
DARI KUTUBKHANAH AZRONE Grafik Ihsan RTM. JIKA dibandingkan dari segi keluasan, Kinabatangan di Sabah yang berkeluasan 70,000 kilometer (km...
DARI KUTUBKHANAH AZRONE
![]() |
Grafik Ihsan RTM. |
JIKA dibandingkan dari segi keluasan, Kinabatangan di Sabah yang berkeluasan 70,000 kilometer (km) persegi jauh lebih besar daripada negeri terbesar di Semenanjung, iaitu Pahang yang berkeluasan 35,515 km persegi.
Namun, dari segi jumlah pengundi, kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang jauh lebih besar, iaitu seramai 825,636 pengundi mencakupi 14 kerusi Parlimen dan 42 DUN. Kinabatangan hanya ada satu kerusi Parlimen dan dua DUN bersama 28,730 pengundi, jauh lebih rendah berbanding pengundi DUN Tras dalam Parlimen Raub seramai 28,912.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada desakan daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya kedudukan kerusi dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan kawasan Parlimen atau DUN.
Ambil kira pelbagai faktor
Namun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menolak cadangan berkenaan selepas mengambil kira pelbagai faktor dan risiko bahawa ia hanya sesuai dilaksanakan di bandar besar yang mempunyai ramai pengundi, tetapi tidak adil kepada masyarakat luar bandar.
![]() |
Kutubkhanah Azrone. |
Beliau memberi contoh, kerusi Parlimen Sabak Bernam dan Sungai Besar di Selangor yang masing-masing mempunyai 40,000 dan 48,739 pengundi perlu digabung untuk menyamai Parlimen Seputeh di Kuala Lumpur yang mempunyai 81,290 pengundi jika cadangan itu dilaksanakan.
Ia akan menyaksikan jumlah kerusi Parlimen di kawasan bandar meningkat kerana populasi penduduk yang tinggi, sebaliknya berkurangan di luar bandar kerana taburan penduduk rendah, antaranya disebabkan faktor bentuk muka bumi dan penghijrahan penduduk ke bandar.
“BERSIH ketika itu tidak setuju dengan sistem sedia ada kerana di bandar ada kerusi mempunyai pengundi lebih 100,000, sedangkan di luar bandar ada yang hanya di bawah 28,000 orang, mereka mahu sesebuah kerusi Parlimen dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan,” kata Abdul Aziz.
Beliau mendedahkan demikian ketika menjadi ahli panel Wacana Intelektual Reformasi Pilihan Raya: Impak Terhadap Demokrasi Di Malaysia di Serdang, baru-baru ini, yang turut menampilkan Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Persempadanan kawasan pilihan raya cara BERSIH pastinya tidak adil kepada Ahli Parlimen dan ADUN di luar bandar yang terpaksa menjaga kawasan luas, misalnya penggabungan Parlimen Kinabatangan dan Beluran di Sabah, mengatasi keluasan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Persempadanan pilihan raya ikut pengundi tidak sesuai
Sama ada setuju atau tidak, cadangan mengubah sistem persempadanan pilihan raya mengikut jumlah pengundi, tidak sesuai dilaksanakan di negara ini, terutama di luar bandar dan pedalaman. Apa tidaknya, di sesetengah kawasan, jarak sebuah rumah dengan rumah lain ada yang lebih tiga kilometer.
![]() |
Parlimen Beaufort antara kawasan pilihan raya yang luas dan beberapa kali terbabit persempadanan semula. |
Pengalaman penulis membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 1999, pernah sekali SPR menggunakan helikopter untuk ke kawasan terpencil di Inanam untuk memastikan seorang pengundi di kawasan lembah dapat menunaikan tanggungjawabnya.
DUN Inanam yang terletak berhampiran Kota Kinabalu, cukup unik kerana terbahagi kepada kawasan bandar dan luar bandar, bagaimana pula Parlimen Kudat yang mempunyai kawasan perairan sehingga sempadan Filipina, begitu juga Gua Musang di Kelantan dan Padang Besar di Perlis.
Fakta ini sudah cukup untuk mempertahankan sistem kawasan pilihan raya berdasarkan keluasan masih relevan dan tidak perlu berdasarkan jumlah pengundi.
Dalam pada itu, sistem ‘first past the post’ atau majoriti mudah yang diamalkan di Malaysia juga masih sesuai untuk negara mempunyai penduduk berbilang kaum, berbanding ‘proportionate representation’ (kesaksamaan perwakilan).
Begitu juga sistem pelbagai parti yang menjadi tradisi negara kita sejak PRU pertama, masih lagi relevan dan tidak perlu diubah kepada sistem dua parti yang hanya memberi peluang kepada rakyat memilih antara A atau B seperti dipraktikkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia.
Sistem pelbagai parti jadikan pilihan raya unik
![]() |
Grafik Ihsan SPR. |
Pada PRU-14, walaupun persaingan tertumpu kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), masih ada blok ketiga, iaitu PAS, selain parti politik kecil seperti Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Keunikan sistem pelbagai parti diakui Dr Shamsul Amri yang juga Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), yang menyifatkan pilihan raya di negara kita amat unik dan tidak sama dengan negara maju yang mengamalkan sistem dua parti dan kekal menganggotai parti yang sama sepanjang hayat, sedangkan di Malaysia, pemimpin parti ‘A’ boleh ‘menyeberang’ ke parti ‘B’ dan sebaliknya.
Faktor lain bagi sistem dua parti ialah bekas Presiden atau Perdana Menteri mereka juga tidak akan kembali memegang jawatan berkenaan dalam parti berlainan.
Di negara kita, pemimpin yang sudah bersara dari politik pun boleh kembali aktif, sama adamelalui penubuhan parti baharu atau menyertai parti yang dulu musuh.
Sumber:
Mohd Azrone Sarabatin - November 27, 2018 @ 11:02am
BH Online