Jagung bakar dimakan panas-panas di Kampung Manggaris
Mairis Ling. MAIRIS Ling, 50, tidak pernah jemu membakar jagung menggunakan kayu api di gerai Kampung Manggaris, Kota Marudu yang terlet...
![]() |
Mairis Ling. |
MAIRIS Ling, 50, tidak pernah jemu membakar jagung menggunakan kayu api di gerai Kampung Manggaris, Kota Marudu yang terletak di tepi jalan menghubungkan Kota Kinabalu ke Kudat dan Pitas sejak 30 tahun.
Ketika ditemui Sabah Taim, anak jati Kota Marudu itu mahu mengekalkan kaedah tradisional membakar jagung menggunakan kayu api yang diwarisi daripada moyangnya.
Katanya, walaupun boleh menggunakan dapur gas, namun mereka memilih penggunaan kayu api untuk mengekalkan aroma jagung.
![]() |
Jagung bakar tarikan pelancong di Kampung Manggaris, Kota Marudu. |
“Membakar jagung menggunakan kayu api dan menjualnya ketika panas menjadi kepuasan kepada kami. Kami mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.
“Ramai pelanggan kami dari Semenanjung dan daerah luar suka makan jagung panas dan aromanya yang dibakar menggunakan kaedah tradisional amat mereka kagumi.
"Ini menjadi daya tarikan untuk mereka datang kembali, Ada pelanggan kami dari Semenanjung dan Sarawak yang tidak jemu singgah di gerai kami sejak 20 tahun lalu,” katanya.
![]() |
Gerai tepi jalan Kampung Manggaris, Kota Marudu. |
Lima tongkol jagung pulut dan jagung manis dijual RM10.
Selain jagung bakar, gerai berkenaan turut menjual jagung mentah dan serbuk, selain pelbagai buah-buahan tempatan seperti terap, bambangan, rambutan, langsat dan buah nona.
Bagi penggemar tongkat ali, tumbuhan herba itu yang diperoleh dalam hutan berhampiran Kampung Manggaris turut dijual peniaga yang berbangsa Kadazandusun di gerai berkenaan termasuk yang berbentuk gelas.
![]() |
Tongkat ali turut dijual di gerai tepi jalan Kampung Manggaris, Kota Marudu. |
Selain itu, ada gerai menjual kraf tangan seperti tampi, bubu dan beg galas dikenali wakid dan jagung bakar.
![]() |
Gelas 'tongkat ali'. |
Bagi penggemar beras bukit, gerai berkenaan menjual pelbagai varieti padi huma termasuk beras bukit hitam dan pulut.
Singgah di gerai tepi jalan Kampung Manggaris adalah kegiatan wajib bagi pelancong yang bercuti di utara Sabah pada musim sekolah ini.