Maghribi ke separuh akhir selepas singkir Portugal
Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou menyelamatkan percubaan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo ketika aksi suku akhir Piala Dunia di Stadiu...
![]() |
Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou menyelamatkan percubaan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo ketika aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama, Doha. - Foto REUTERS |
DOHA: Youssef En-Nesyri meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 Maghribi ke atas Portugal pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama sebentar tadi.
En-Nesyri, yang dua kali tandukannya melepasi palang sebelum itu, melompat tinggi mengatasi penjaga gol Portugal, Diogo Costa dan pertahanan, Ruben Dias pada minit ke-42 untuk meletakkan Maghribi di depan.
![]() |
Pemain Maghribi, Youssef En-Nesyri menjaringkan gol pembukaan Magribi ketika aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama, Doha. - Foto REUTERS |
Cristiano Ronaldo, yang dimasukkan di awal babak kedua, mempunyai peluang di akhir permainan untuk menjaringkan gol untuk Portugal, namun Bounou sekali lagi pantas menyelamatkan keadaan.
Maghribi akan bertemu pemenang antara Perancis dan England yang akan beraksi selepas ini. - REUTERS
![]() |
Maghribi meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 selepas menewaskan Portugal 1-0 di di Stadium Al Thumama, Doha. |
Maghribi muncul pasukan pertama dari benua Afrika berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia.
Tandukan Youssef En-Nesyri di minit akhir babak pertama membawa skuad kendalian Redragui yang dibelenggu kecederaan ke pusingan empat terakhir, bertemu pemenang antara Perancis atau England.
"Kami menentang pasukan Portugal yang hebat. Kami mengeluarkan apa yang ada, kami masih ada pemain yang cedera.
![]() |
Pengendali Maghribi, Walid Regragui dijulang pemain selepas kemenangan ke atas Portugal pada aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama, Doha. - Foto REUTERS |
"Saya beritahu pemain-pemain sebelum perlawanan yang kita perlu merakam sejarah untuk Afrika. Saya amat gembira," kata Redragui.
Regragui, bekas pemain Maghribi kelahiran Perancis, sudah melakar sejarah sebagai jurulatih Afrika pertama membawa pasukan ke suku akhir.
Maghribi kini sudah menewaskan tiga pasukan terkuat Eropah di Qatar - menewaskan Belgium di peringkat kumpulan dan Sepanyol menerusi sepakan penalti di pusingan 16 terakhir - selepas seri 0-0 dengan naib juara 2008, Croatia pada perlawanan pembukaan.
Pemain sayap, Sofiane Boufal berharap mereka mampu melangkah lebih jauh.
"Ia gila. Kami sedang bermimpi dan tidak mahu terjaga. Bulu roma saya meremang.
"Apa yang kami capai, memang hak kami. Kami bekerja keras. Ia belum berakhir. Masih ada separuh akhir dan dengan Insya-Allah, final," kata Sofiane. - AFP
Sumber: BH Online / AFP.