Pengarang Sabah Taim menang Hadiah Sastera Sabah 2020/2021

SEPANGGAR:  Pengarang Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin antara penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2020/2021 bagi kategori Cerpen Eceran men...

SEPANGGAR: Pengarang Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin antara penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2020/2021 bagi kategori Cerpen Eceran menerusi karyanya berjudul Aini Tag An, Kekasih 14 Hari terbitan majalah Wadah, Disember 2020.

 


Kejayaan itu menjadikan penulis kelahiran Kota Belud itu memenangi HSS untuk kali ketiga selepas tahun penilaian 1996/1997 menerusi cerpennya berjudul Nembiluk dan Jelapang di Tengah Samudera pada 2014/2015.

Mohd Azrone Sarabatin penerima Hadiah Sastera Sabah kategori Cerpen sebanyak tiga kali.


Penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 akan diraikan dalam sebuah majlis yang dijangka diadakan di Kota Kinabalu,  awal tahun depan.

Sementara itu, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015, Datuk Jasni Matlani membuktikan keunggulannya apabila bukunya `Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di Dalam Gelas' terpilih sebagai pemenang Kategori Kumpulan Cerpen HSS 2020/2021. 

Selain itu, penyair utara Sabah yang berpangkalan di Lembah Klang, Indra Jokina pula terpilih sebagai pemenang kategori Kumpulan Puisi HSS melalui karyanya Dalam Mimpi yang Bermimpi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dalam satu kenyataan media hari ini, memaklumkan, penganugerahan kali ini mencipta sejarah tersendiri berikutan  kemunculan beberapa nama baharu sebagai penerima hadiah sastera berprestij di Negeri di Bawah Bayu itu.

Penulis Saindah Kanalam mengungguli Kategori Novel Dewasa melalui karyanya Cinta Ichiro di Lembah Padas’; Zainab Nawab Khan menang kategori Novel Remaja melalui Gema di Lembah Ayangan dan Mohd Firdaus Salam merai hadiah kategori Novel Kanak-Kanak melalui Rentak Tari Fatiha.

Kesemua karya berkenaan terbitan DBP.

Sementara itu, 10 cerpen terpilih untuk memenangi kategori Cerpen Eceran Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 termasuk ‘Cerita Burung yang Muncul di Jendela, Si Pemikat Burung dan Pemancing Aneh’ karya Jasni terbitan  Wadah, Oktober 2020.

Selain itu, ‘Cik Manis Lawan Daim’ karya Ruhaini Matdarin terbitan majalah Wadah, Oktober 2020; ‘Senja Paitan oleh Jamail Masador (Wadah, Disember 2020) dan ‘Bagaimana Aku Dapat Bersama Mayatmu’ hasil pena Rita Robert Rawantas (Berita Harian, Februari 2020).

Seterusnya, Aini Tag An, Kekasih 14 Hari’ hasil pena Mohd Azrone Sarabatin disiarkan majalah Wadah, Disember 2020; ‘Hujung Tepoh oleh Yatim Ahmad (Wadah, Jun 2020) dan ‘Matanya Berkaca-kaca’ karya Welin Ebal (Wadah, Jun 2020).

Turut menerima hadiah kategori Cerpen Eceran adalah Nur Fatina Muhammad menerusi karyanya, ‘Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah’ terbitan Tunas Cipta, Jun 2020), Ladang Anggur dan Sekeping Kertas Putih oleh Juri Durabi (Wadah, September 2020) dan ‘Jejak-jejak yang Tertinggaloleh Kathirina Tati (Antologi Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA, 2020).

Bagi kategori Drama Pentas, DK Mastura Pg Ismail dinobatkan sebagai penerima melalui naskhahnya Dengarlah Cerita yang diterbitkan di Dewan Sastera,  Julai  dan Ogos 2021.

Panel penilai juga memilih 10 puisi yang layak memenangi kategori Puisi Eceran daripada 345 buah puisi yang diterima untuk dinilai.

Puisi-puisi terbaik ialah Kota Kami Kekasih Terluka; Sepetang di Gat Prangin oleh Rita Robert Rawantas terbitan Wadah, Oktober 2020, Lidah yang Dirindui Ular’ karya Norawi Kata (Dewan Sastera, Julai 2021) dan ‘Melihat Mural di Tembok Jati Diri’ tulisan Saibil Madun (Utusan Borneo, 2021).

Turut tersenarai sebagai pemenang, Dayana Dian menerusi hasil penanya, ‘Tetamu’ diterbitkan Selangor Kini, Mac 2020, Seperti Engkau oleh Mabulmaddin Shaiddin (Media Cakra Bangsa, Jun 2021) dan ‘Pusara Adalah Ingatan oleh Siti Alimah Kamarudin (Kek Hari Jadi, Penerbit Kata Pilar, 2021).

Penulis dari Kota Belud, Siba Nita As turut memenangi hadiah kategori Puisi Eceran menerusi ‘Lorong Umar Lorong ke Muthmainnah’ terbitan Utusan Borneo,   September 2020; ‘Pusaka’ karya Hasyuda Abadi (Antologi Suara dari Satu Musim, Jom Sastera, Ogos 2020). ‘Perjalanan Merentas Waktuoleh Jed Stellarose (Wahyu Merah Ungu, Penerbit Kata Pilar, 2020) dan Perlawanan’ nukilan Ruhaini Matdarin (Wadah, Disember 2020).

Bagi kategori Esei Kritikan Sastera Ilmiah, sembilan buah karya dicalonkan namun semua karya berkenaan tidak dapat disenarai pendek kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk penilaian selanjutnya.

Bagi kategori Esei Kritikan Separa Ilmiah, karya yang layak diberikan hadiah ialah “Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam Kumpulan Puisi Nyanyian Kuda Sembrani”, tulisan Norawi Kata yang tersiar dalam Majalah e-Kreatif keluaran September 2021.

“Secara keseluruhan, Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 mengekalkan momentum peningkatan mutu karya dalam genre penulisan kreatif.

DBP Cawangan Sabah turut memaklumkan, dalam kategori eceran mahupun buku, perkembangan pengkaryaan penulis Sabah dalam karya kreatif berada pada aras yang baik.

Penulis mengemukakan idea yang relevan dengan situasi semasa dan ini menandakan mereka mengikuti perkembangan zaman.

 

FAKTA

Hadiah Sastera Sabah diwujudkan bertujuan menilai dan memberikan penghargaan kepada karya penulis Sabah yang dihasilkan mengikut tahun penilaian dalam beberapa kategori, iaitu Novel Kanak-kanak, Novel Remaja, Novel Dewasa, Puisi Eceran, Kumpulan Puisi, Kumpulan Cerpen, Cerpen Eceran, Esei Kritikan Sastera Separa Ilmiah dan Esei Kritikan Sastera Ilmiah.

 

Related

Terkini 7674881445280919868

Catat Ulasan

emo-but-icon

item