Siswa UPSI tanam 3,000 anak pokok bakau

KAB UPSI proaktif laksana program penghijauan Malaysia menerusi penyertaan dalam kempen penanaman 100 juta pokok mencakupi penanaman 3,000 a...

KAB UPSI proaktif laksana program penghijauan Malaysia menerusi penyertaan dalam kempen penanaman 100 juta pokok mencakupi penanaman 3,000 anak pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor.- Gambar UPSI

KUALA SELANGOR: Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim proaktif melestarikan alam menerusi penananaman 3,000 anak pokok bakau sempena Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta pokok, di sini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap usaha 300 siswa KAB itu dapat membantu misi menghijaukan kampus selaras hasrat kerajaan mengadakan kempen menanam 100 juta pokok dalam tempoh 2021 hingga 2025.

“Setiap mahasiswa harus memiliki komitmen untuk melihat kampus UPSI berada dalam ekosistem kelestarian alam yang memberi keselesaan dan pemandangan menarik apa lagi kampus UPSI dilatari Banjaran Titiwangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Prof Madya Dr Syed Ismail Syed Mohamad berkata, program tersebut dilaksanakan bagi menyahut seruan UPSI dalam merealisasikan kempen ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ menerusi Projek Kelestarian KAB 2.0.

 

Warga Kolej Aminuddin Baki menanam anak pokok bakau di sekitar kolej kediaman KAB.- Gambar UPSI.




Katanya, program itu juga dilaksanakan untuk jangka panjang bagi mewujudkan kelestarian kehijauan kolej ‘Green KAB’ ke arah memastikan penghuni kolej kediaman itu mampu menghirup udara dalam kualiti yang terbaik pada masa hadapan.

Beliau berkata, mahasiswa UPSI seronok dapat berbakti dengan mengikuti aktiviti menanam anak pokok demi kelestarian kolej.

“Program ini dilaksanakan di dua kawasan berbeza melibatkan warga kolej dan komuniti setempat, malah mahasiwa bertindak menyokong komitmen kerajaan dalam mengekalkan kehijauan kawasan tropika di Malaysia.

Ketua Felo Kolej Aminuddin Baki, Datin Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak berharap program itu disambut baik pelaksanaannya oleh segenap lapisan mahasiwa UPSI serta seluruh mahasiswa di universiti awam lain.

Katanya, dalam memastikan setiap warganegaranya menikmati udara yang segar, program sebegini amat bermanfaat dalam mewujudkan sebuah ekosistem kehijauan pada masa depan.

 

Mahasiswa UPSI seronok dapat berbakti dengan mengikuti aktiviti menanam anak pokok demi kelestarian KAB.- Gambar UPSI




Menerusi program ini, mahasiwa secara automatik bertindak menyokong komitmen kerajaan dalam mengekalkan liputan kawasan tropika,” katanya.

Related

Terkini 253440648453344165

Catat Ulasan

emo-but-icon

item