SMK SANZAC cungkil bakat muda dalam bidang penulisan kreatif dan kewartawanan

  Oleh Hanisah Batrisyia Durahman @ Ramlee  (Pelajar SMK SANZAC)   KOTA KINABALU: Pelbagai aktiviti menarik mewarnai M inggu B ahasa M elayu...

 Oleh Hanisah Batrisyia Durahman @ Ramlee (Pelajar SMK SANZAC)

 

KOTA KINABALU: Pelbagai aktiviti menarik mewarnai Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SANZAC, di sini, awal bulan ini.

 

Bengkel penulisan kreatif antara pengisian Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC, Kota Kinabalu.


Antara aktiviti tersebut adalah jom baca, program sepatah kata, persembahan pidato, sajak, syair dan bicara berirama.

Semua pelajar terlibat menjayakan program berkenaan termasuk  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Aktivit-aktiviti yang dipertandingkan pula ialah pertandingan berbalas pantun, deklamasi sajak, penyampaian syair, teka silang kata, projek Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan  peminjam buku terbanyak meliputi kategori untuk Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).

 

Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC, Kota Kinabalu.


Pada 6 Disember diadakan bengkel penulisan kreatif untuk 30 pelajar dengan penceramah jemputan ialah Mohd Hilmi Ismail @ Mohillis, seorang penulis, pendeklamator dan pendidik yang menganggotai Pemuisi D’Bayu dan Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Ini disusuli bengkel kewartawanan pada 7 Disember yang turut  disertai oleh 30 pelajar yang menampilkan penceramah yang tidak asing lagi dalam bidang kewartawanan di peringkat negeri dan kebangsaan iaitu Mohd Azrone Sarabatin.

Mohd Azrone adalah Pengarang Portal Berita, Sabah Taim dan bekas wartawan kanan Berita Harian serta Ketua Penerangan IPS.

 

Guru dan pelajar yang menjayakan Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC, Kota Kinabalu



Pihak sekolah juga menjemput Pegawai Cemerlang Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Bahasa Melayu, Angela Tundim  sebagai penilai untuk projek Bahasa Melayu yang dilaksanakan pelajar Tingkatan 4.

Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber bertujuan meningkatkan kemahiran dan penguasaan murid dalam Bahasa Melayu selain dapat mencungkil bakat  dalam pelbagai aktiviti koakademik.

Pengetua SMK SANZAC, Ajmal Jumah, berkata program berkenaan membantu meningkatkan prestasi diri peserta khususnya dalam bidang akademik dan pengetahuan luar mencakupi penulisan kreatif dan kewartawanan.

 

Pertandingan berbalas pantun antara pengisian Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC, Kota Kinabalu.



Katanya, ini memberi nilai tambah kepada pelajar untuk menerokai ilmu baharu khususnya berkaitan sastera dan media menerusi penceramah jemputan yang berkepakaran dalam bidang berkenaan.

Katanya, program bermanfaat itu membolehkan pelajar menimba pengalaman dan menyerlahkan bakat, selain memperoleh sijil dan memenangi pelbagai hadiah.

Walaupun program berjalan di minggu akhir sebelum cuti penggal persekolahan, saya memberikan sokongan padu atas usaha Panitia Bahasa Melayu dan Jawatankuasa Pusat Sumber yang berkolaborasi menjayakan program ini,” katanya merasmikan program berkenaan di Dewan Sri Gemilang SMK SANZAC, baru-baru ini.

 

Guru dan pelajar yang menjayakan Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC, Kota Kinabalu.


Majlis perasmian penutupan telah diadakan pada 9 Disember lalu dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah,  Rusdi Awang, mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar.

Rusdi mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana menjemput pihak DBP Cawangan Sabah dan beliau sangat menghargai usaha yang dijalankan oleh SMK SANZAC.

 

Pengetua SMK SANZAC, Ajmal Jumah (barisan depan, kanan) dan Timbalan Pengarah 1 DBP Cawangan Sabah, Rusdi Awang (barisan depan, kiri) pada majlis penutupan Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC, Kota Kinabalu.


Beliau yang juga alumni sekolah itu berharap, SMK SANZAC akan kekal cemerlang dan meneruskan usaha murni memartabatkan Bahasa Melayu serta aktiviti akademik khususnya menjurus kepada pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan teknologi bertaraf dunia.

Katanya, hubungan DBP dengan SMK SANZAC dan sekolah-sekolah lain akan terus terjalin dalam usaha pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula di alam persekolahan.

Beliau turut menyerahkan sumbangan buku daripada DBP Sabah kepada pihak sekolah.

Antara yang hadir pada majlis penutupan ialah Ketua  Satu IPS, Abdul Muizz Awang Marusin.

 

Pengetua SMK SANZAC, Ajmal Jumah menerima buku sumbangan DBP daripada Rusdi di SMK SANZAC, Kota Kinabalu.

 


Majlis penutupan diserikan dengan persembahan syair oleh Nur Fadhilah Selius dari kelas 3 Mawar, deklamasi sajak oleh Aniq Azaheen dari kelas 4 Bougainvillea dan  Muhammad Khairani Fauzan dari kelas PPKI.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber SMK SANZAC 2022.

Jhesster Justin dari kelas 1 Semarak telah mencatatkan rekod sebagai peminjam buku terbanyak, iaitu sebanyak 198 buah buku bermula Mac 2022 sehingga 7 Disember 2022.

Kategori NILAM pula dimenangi oleh Noreda Nafasya Saibi dari kelas 2 Anggerik yang  telah mencatatkan rekod tertinggi, iaitu sebanyak 400 bahan bacaan dalam tempoh 10 bulan bagi tahun 2022.

Rusdi Awang.



Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK SANZAC, Fauziah Moksin yang juga Ketua Dua IPS sangat bersyukur kerana dapat berkolaborasi dengan Jawatankuasa Pusat Sumber yang diketuai oleh Nur Syafiqah Sandra Abdullah.

Penyampaian cendera kenangan kepada Mohammad Hilmi Ismail, penceramah bengkel penulisan kreatif oleh Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK SANZAC, Fauziah Moksin di SMK SANZAC, Kota Kinabalu.

 



Menurut beliau, kerjasama dan sokongan daripada pihak pentadbir, rakan-rakan guru, pelajar-pelajar dan warga sekolah menjadi aspek utama kepada kelancaran program berimpak tinggi itu.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber SMK SANZAC, Nur Syafiqah menyampaikan cendera kenangan kepada penceramah kewartawanan, Mohd Azrone Sarabatin sambil disaksikan Fauziah di SMK SANZAC, Kota Kinabalu. 



Minggu Bahasa Melayu dan Hari Pusat Sumber peringkat sekolah ini telah memberi impak positif kepada warga SMK SANZAC khususnya pelajar kerana telah dapat memupuk amalan membaca, menambah perbendaharaan kata, sekali gus meningkatkan pengetahuan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan telah menyerlahkan bakat mereka dalam bidang koakademik Bahasa Melayu,” katanya.

 

 

Related

Terkini 4430717182378301693

Catat Ulasan

emo-but-icon

item