Sukor Usin Sasterawan Sabah Ke-3

  Hasyuda Abadi.   PENGARANG  prolifik, Sukor Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi terpilih sebagai penerima Anugerah Saster a Neg...

 

Hasyuda Abadi.

 

PENGARANG prolifik, Sukor Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi terpilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3 daripada Kerajaan Sabah yang membawa gelaran Sasterawan Sabah. 

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar, berkata penilaian berdasarkan pencapaian karya dan kepengarangan Hasyuda Abadi dari aspek kesan pemikiran kepada masyarakat.

Selain itu katanya, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan pengarang kelahiran Beaufort itu khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di Sabah bahkan kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata, kepengarangan Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi sehingga merai banyak anugerah sastera peringkat negeri dan kebangsaan khususnya Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan Hadiah Sastera Malaysia yang kemudian dijenamakan semula kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

“Ini menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang prolifik peringkat kebangsaan dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan media, di Sepanggar, hari ini.

Dalam pada itu, portal berita, Sabah360online melaporkan, sejak tersiarnya puisi Hasyuda yang berjudul ‘Mengapa Oh Mengapa’ dalam Sabah Times bertarikh 13 Disember 1980, bakatnya terus berkembang apabila sejumlah besar puisinya diterbitkan dalam pelbagai medium penerbitan.

Sehingga kini, beliau menghasilkan lebih daripada 400 puisi yang tersiar dalam akhbar dan majalah.

Sejumlah puisi beliau turut diterbitkan dalam lapan kumpulan puisi perseorangan dan lebih daripada 60 antologi puisi, bersama-sama dengan pengarang lain, justeru tidaklah menghairankan jika dikatakan forte Hasyuda Abadi adalah puisi.

Di samping itu, Hasyuda Abadi menghasilkan kira-kira 45 cerpen, 300 esei sastera dan 15 skrip drama pentas dan radio. Cerpen Hasyuda Abadi telah diterbitkan dalam beberapa antologi dan kumpulan cerpen, antaranya Rantau Utara (1989), Ibrah (2003), Sepasang Sayap Jelita (2004), Ega (2008) dan Aki Sompoton 2 (2008).

 HASYUDA Abadi (barisan depan, tengah) dan pakar sastera dalam genre puisi semiotik, Dr Mohammad Shahidan (barisan depan, dua dari kanan) bersama pegawai kanan DBP Sabah serta penulis Sabah yang menjayakan penerbitan kumpulan puisi semiotik  di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Kota Kinabalu. 



Esei beliau diterbitkan dalam pelbagai buku dan prosiding, antaranya, Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya (2005), Kumpulan Esei Kritikan Penulis Sabah (2010) dan Bahasa-Sastera Negara Serumpun dalam Perspektif Sejarah dan Masa Depan (2015).

Skrip drama beliau diterbitkan secara bersama dalam buku Unduk Ngadau (2005). Hasyuda Abadi ternyata memiliki bakat kepengarangan yang cukup ampuh dalam pelbagai genre.

Hasil karya beliau sering tersiar dalam media tempatan di Sabah seperti Harian Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo.

Karyanya turut termuat dalam media nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sejak karyanya mula diterbitkan pada tahun 1980, Hasyuda Abadi terus prolifik apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar dalam media di Sabah. Ketekalan pengkaryaannya, pencapaian karya dan ketokohannya sepanjang lebih empat dekad, memberikan kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah.

Kejayaan Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera peringkat kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Malaysia yang kemudian dijenamakan kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia, menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang-pengarang nasional yang lain.

Sepanjang penglibatan Hasyuda Abadi dalam ranah sastera, kecemerlangan pencapaian karyanya dalam pelbagai kegiatan pengiktirafan sastera membuktikan daya pengucapan seninya yang bermutu tinggi.

Empat tahun selepas tersiar puisi pertamanya pada tahun 1980, puisi ‘Salam Buat Kekasih’ memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 1984/1985. Pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang penulis muda ketika itu.

Kemenangan ini disusuli pula dengan kejayaan puisinya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005 melalui puisinya ‘Tsunami Bukan Hanya Namamu’. Pencapaian ini turut dirai melalui puisinya ‘Pada Hari-hari yang Berharga’ dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun penilaian 2017/2018.

Tokoh ini memiliki dimensi kreativiti puisi yang menyeluruh, yang turut sedar akan hubungan vertikalnya dengan Maha Pencipta dan pada masa yang sama mampu mentafsir hubungan horizontalnya dengan sesama manusia, alam, flora dan fauna, memanfaatkan bakatnya bagi menanjakkan karya bermutu yang sarat dengan pesan demi kemanusiaan.

Justeru, selayaknyalah Hasyuda Abadi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3.

 

Related

Terkini 5843459294191697279

Catat Ulasan

emo-but-icon

item