Ahmad Zahid, Mohamad Hasan tidak akan dicabar
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersalaman dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas menyampaikan Ucapan Dasar ...
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin, sebelum sesi penggulungan perbahasan dimulakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Usul tambahan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diluluskan melalui undian kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan pada jam 4.55 petang, hari ini.
Usul itu diluluskan selaras dengan Fasal 30, Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, lapor Berita Harian.
![]() |
DR Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Mohamad Hasan (kanan) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) , Kuala Lumpur. - FOTO BERNAMA |
'Majoriti perwakilan UMNO bangun, angkat tangan sokong'
KUALA LUMPUR: Majoriti perwakilan UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, hari ini, menyokong usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti, tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata undian dijalankan pada jam 4.52 petang tadi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, mendapati majoriti perwakilan bangun serta mengangkat tangan menyokong usul berkenaan.
"Majoriti perwakilan UMNO bangun serta angkat tangan sokong Usul Ucapan Dasar Presiden dengan satu tambahan, iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.
"Yang tidak sokong pun diminta berdiri dan angkat tangan, tapi bilangan sangat sedikit," katanya dalam hantaran menerusi Twitter, hari ini.
Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menerusi hantaran dalam Facebook, mengesahkan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan serta tidak dicabar pada pemilihan tahun ini, diterima dan disokong hampir kesemua perwakilan, selain semua usul yang dibawa oleh perwakilan.
Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang, dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, semalam.
Pemilihan UMNO perlu dilaksanakan sebelum 19 Mei tahun ini, iaitu enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – BERNAMA