Aura Pele berjaya hentikan Perang Biafra
SAO PAULO: Satu daripada catatan penghormatan dalam Instagram di profil Pele selepas kematiannya pada Khamis lalu merujuk kepada salah sat...
SAO PAULO: Satu daripada catatan penghormatan dalam Instagram di profil Pele selepas kematiannya pada Khamis lalu merujuk kepada salah satu cerita yang kurang diketahui umum dalam kehidupan legenda bola sepak Brazil itu, lapor Berita Harian.
![]() |
Seorang peminat Pele mengibarkan bendera yang mempunyai wajah raja bola sepak itu di Tres Coracoes, bandar tempat kelahirannya, Minas Gerais, Brazil. - REUTERS |
Di tengah-tengah peperangan itu, kelab gergasi bola sepak Brazil, Santos mendarat di Benin City untuk menentang Central West State.
"Lampu di tengah kota tidak dinyalakan pada sebelah malam," kata bekas pemain Santos, Edu kepada akhbar harian Brazil, Folha.
"Hanya hotel dan rumah kediaman menyalakan lampu masing-masing. Saya masih ingat bertanya kepada pengurus kenapa dan beliau memberitahu saya ia untuk mengelak serangan bom musuh."
Bekas rakan sepasukan Pele, Ramos Delgado mengimbau bagaimana peperangan itu dihentikan bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan.
"Kuasa Pele amat menakjubkan," kata Delgado.
"Saya masih ingat apabila kami pergi ke Nigeria dan negara itu sedang berperang, mereka menghentikan peperangan itu selama sehari jadi Santos boleh turun beraksi."
Majalah Amerika Syarikat, Time melaporkan pada 2005, kerajaan Nigeria dan Republik Biafra bersetuju dengan gencatan senjata selama tiga hari.
"Diplomat dan utusan gagal selama dua tahun untuk menghentikan pertempuran dalam perang saudara paling berdarah di Afrika ketika itu, namun ketibaan legenda bola sepak Brazil, Pele pada 1969 mencetus gencatan senjata selama tiga hari," menurut artikel Time.
"Kedua-dua kerajaan Nigeria dan Republik Biafra bersetuju dengan gencatan senjata untuk membenarkan pasukannya, Santos bermain dua perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan. Selama 72 jam, bola sepak lebih penting daripada peperangan."
Dua tahun lalu, Pele membuat ciapan di Twitter dan melabelkan gencatan senjata semasa Perang Saudara Nigeria sebagai salah satu "kebanggaan terbesarnya."
"Saya belajar ketika zaman kanak-kanak, menerusi bapa saya Dondinho bahawa bola sepak adalah instrumen untuk kebaikan," ciap Pele.
"Beliau memberitahu saya pengajaran itu apabila melihat saya menggelecek lawan yang lebih lemah tanpa belas kasihan dan meminta saya untuk sentiasa menghormati lawan. Saya menyematnya dalam hati, sentiasa menggunakan bakat saya demi cinta dan keamanan.
"Saya sentiasa cuba menghantar mesej ini, sebagai pemain bola sepak dan sebagai seorang lelaki. Salah satu kebanggaan terbesar saya adalah dapat menghentikan perang di Nigeria pada tahun 1969 dalam satu daripada banyak lawatan bola sepak yang dilakukan Santos ke seluruh dunia.
"Kami diminta untuk bermain perlawanan persahabatan di Benin City, di tengah-tengah Perang Saudara, tetapi Santos sangat disayangi hingga mereka bersetuju untuk melakukan gencatan senjata pada hari perlawanan. Ia dikenali sebagai hari 'Santos menghentikan perang'," ciapnya.
Legenda bola sepak dunia yang muncul satu-satunya pemain dengan tiga pingat kejuaraan Piala Dunia, meninggal dunia di hospital Sao Paulo pada Khamis lalu ketika berusia 82 tahun selepas bertarung dengan penyakit kanser kolon.