Dr Amin Senin ketuai MPPK, lapan tokoh pendidikan turut dilantik

  Fadhlina  menyampaikan watikah pelantikan  Pengerusi MPPK 2023-2025  kepada Dr Amin Senin di Putrajaya.- Gambar Ihsan Facebook Dr Amin Sen...

 

Fadhlina menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi MPPK 2023-2025 kepada Dr Amin Senin di Putrajaya.- Gambar Ihsan Facebook Dr Amin Senin


KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk sesi 2023-2025, lapor Berita Harian.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sejurus menyampaikan amanat tahun baharu bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Amin akan dibantu Ketua Kluster Penyelidikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) & Islam, Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin sebagai Timbalan Pengerusi.

MPPK turut dianggotai Felo Akademi Profesor Malaysia, Prof Dr Omar Yaakob; Datuk Dr Mehander Singh Nahar Singh (Wakil rasmi di Malaysia, Program Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Oulu University, Teacher Training School, Finland); dan Prof Datuk Dr Inayah Ya'akub (Presiden dan Naib Canselor Infrastructure University Kuala Lumpur).

Selain itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang; Mohd Abd Aziz Mahmud (Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia 2019-2021); Rusilawati Mohd Salleh (Guru Cemerlang Matematik 2013-2021); dan Chee Poh Kiem (Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary, Kuala Lumpur 2015-2022).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, semua yang terpilih mempunyai kepakaran dan daripada latar belakang yang pelbagai dalam bidang masing-masing.

 

PENULIS (berdiri kiri) bersama Dr Amin (duduk, tengah) dan pensyarah cemerlang serta guru cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran pada Mei 2022.- Gambar Kutubkhanah Azrone

"Pengalaman luas beliau (Amin) dalam bidang pendidikan dengan dibantu gabungan mantap lapan ahli MPPK lain, diyakini dapat memikul amanah membantu mengemudi sektor pendidikan negara dengan mengemukakan idea bernas yang membuka laluan ke arah pembaharuan, kesepaduan dan pendemokrasian pendidikan," kata kenyataan itu.

Katanya, isu bebanan tugas guru menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik bagi menanganinya dikemukakan kepada Menteri Pendidikan untuk dipertimbangkan.

"MPPK berperanan menasihati menteri (Pendidikan) berhubung apa-apa isu pendidikan yang dirujuk oleh menteri kepada MPPK dengan mengemukakan syor berkaitan," katanya yang turut memberitahu, keanggotaan majlis itu berdasarkan lantikan Menteri Pendidikan.

MPPK yang ditubuhkan pada November 2010 mengikut Seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 atau Akta 550.

Pada 15 Disember lalu, Fadhlina mengumumkan MPPK diaktifkan semula untuk menjalankan peranan sebagai badan pemikir bagi menambaik baik hala tuju pendidikan serta kesinambungan pelan pendidikan negara yang akan berakhir pada 2025.

Keanggotaan majlis itu adalah berdasarkan lantikan Menteri Pendidikan dan turut dilantik bagi menganggotai MPPK sesi 2023-2025 ialah lapan tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan MPPK sesi 2023-2025 diarah menyediakan laporan sulung berhubung beban tugas dan kebajikan guru, yang perlu dikemukakan kepada Fadhlina  sebelum pertengahan bulan depan.



"Sebagai tindakan segera dan arahan pertama, saya arahkan laporan sulung MPPK adalah untuk memberikan perhatian kepada teras yang sering saya tegaskan berkali-kali, iaitu hal berkaitan beban tugas dan kebajikan guru," kata Fadhlina menerusi hantaran di laman Facebook, kelmarin.

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan Pengerusi MPPK 2023-2025 (Dr Amin) yang baharu dilantik, bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit di samping berkaitan dengan isu pendidikan negara, kelmarin.

Merujuk kepada barisan MPPK baharu, katanya enam daripada sembilan ahli MPPK dipilih dalam kalangan mereka yang berlatarbelakangkan profesion keguruan, manakala pengerusinya pula dipilih dalam kalangan mantan Ketua Pengarah Pendidikan bagi memastikan nasihat yang dikemukakan pasukan itu kelak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.

"Kriteria pemilihan kesemua ahli MPPK ini bukan berasaskan faktor bangsa tetapi atas dasar profesionalisme dan kepakaran tokoh-tokoh terbabit yang diperlukan ketika ini," katanya.

Fadhlina berkata ahli majlis MPPK akan mewujudkan jawatankuasa melibatkan setiap komposisi kaum, masyarakat Orang Asli, golongan rentan seperti Orang Kurang Upaya, pemegang taruh pendidikan dan wakil pemimpin pelajar.

Sementara itu, Dr Amin yang dipetik daripada Facebooknya berkata, peranan MPPK adalah untuk menasihati Menteri berhubung apa-apa isu pendidikan yang dirujuk oleh Menteri kepada Majlis dengan mengemukakan syor berkaitan perkara yang dirujuk untuk pertimbangan Menteri.

Katanya, MPPK bukan badan penggubal ‘Pelan Pembangunan Pendidikan, sebaliknya syor (nasihat) MPPK lebih kepada memberi input menangani isu-isu dihadapi KPM yang dirujuk Menteri Pendidikan kepada MPPK.

Beliau berkata, sebab itulah Menteri Pendidikan melantik gabungan ahli MPPK meliputi pengamal pendidikan yang berpengalaman dan mereka yang mempunyai kepakaran tertentu dalam pendidikan.

Saya menarik perhatian rakan-rakan kepada peranan tersebut kerana ada pihak yang meletakkan harapan yang tinggi tetapi di luar daripada peranan tersebut.

“MPKK berbeza dengan pengalaman saya sebelum ini (sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), yang dilantik mengetuai PMO (Project Management Office) dalam menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, peranannya lebih mendasar dan berbentuk jangka panjang.

“Bagaimanapun, kami amat menghargai harapan YB Menteri dan rakan-rakan guru yang memberi input untuk memastikan kami dapat menjalankan tanggungjawab tersebut. Insya-Allah kami akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Related

Terkini 1793998683339904137

Catat Ulasan

emo-but-icon

item