Ewon secara rasmi ambil alih jawatan Presiden UPKO
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi , Datuk Ewon Benedick, hari ini, secara rasmi mengambil alih jawatan P residen Per...
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini, secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) daripada Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang tidak mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2014.
![]() |
Ewon Benedick menyampaikan ucapan penggulungan secara dalam talian sempena Konvensyen Tritahunan Ke-16 UPKO di Penampang, hari ini.- Gambar Ihsan Portal FMT |
Majlis penyerahan dan penerimaan tugas itu dilaksanakan secara dalam talian pada persidangan perwakilan tritahunan UPKO di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang, lapor Free Malaysia Today.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden UPKO turut menyampaikan ucapan penggulungan secara dalam talian kerana menghadiri majlis pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden Kehormat kita (Madius) atas konsistensi kepemimpinan dan perjuangan beliau yang memastikan enam perkara utama berkaitan hak dan kepentingan Sabah dimasukkan dalam manifesto atau tawaran Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.
“Kini saya menggalas tanggungjawab untuk mengangkat manifesto ini ke meja pembuatan keputusan tertinggi negara kita iaitu mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan.
“Saya ingin mengulangi komitmen bahawa saya sedang memperjuangkan penyelesaian kepada perkara dinyatakan dalam manifesto tersebut, termasuk berkaitan perkara dibangkitkan oleh perwakilan sepanjang persidangan,” katanya.
![]() |
PERWAKILAN Konvensyen Tritahunan Ke-16 UPKO di Penampang,- Gambar Ihsan Facebook UPKO |
|
“Semangat dan jiwa perjuangan saya sentiasa bersama dengan semua rakan pimpinan dan ahli parti yang bersidang di Pusat Kebudayaan Sabah,” katanya.
Terdahulu Ewon berkata, pemukiman Jemaah Menteri antara lain membincangkan penyelarasan manifesto Kerajaan Perpaduan dan pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri.
Beliau berkata, dua perkara dibincangkan itu sangat berkait dengan perjuangan dan perkhidmatan UPKO, termasuk perkara yang dibangkitkan sepanjang persidangan parti itu.
Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan, pendekatan kepemimpinan berdiplomasi berteraskan ketegasan prinsip dan kematangan persahabatan politik dijadikan pendekatan utama UPKO bagi menghadapi cabaran semasa politik negara.
Aspek itu ditekankan Ewon dalam ucapan sulungnya sebagai presiden menggantikan penyandang, iaitu Madius yang menyerahkan secara rasmi amanah itu sempena Konvensyen Tritahunan Ke-16 UPKO, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata perkara itu mustahak di samping memastikan suara UPKO berkumandang dengan penuh berkualiti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
"Saya akan menggunakan pendekatan kepemimpinan berdiplomasi yang berasaskan kepada ketegasan prinsip dan kematangan persahabatan politik dalam mendepani perkara-perkara yang menjadi keprihatinan utama parti kita, rakyat kita dan negara kita.
"Ini termasuk syor berkaitan kepemimpinan PH Sabah, formula memperkasakan kepemimpinan akar umbi dan penyertaan kepemimpinan parti dalam tadbir urus Kerajaan Perpaduan di Persekutuan dan di Sabah," katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyampaikan ucapan secara persidangan video dari Kuala Lumpur petang tadi, kerana menghadiri Pemukiman Jemaah Menteri di ibu negara yang diadakan hari ini.
Katanya, program pemukiman itu antara lain membincangkan Penyelarasan Manifesto Kerajaan Perpaduan dan Pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Anggota Jemaah Menteri.
"Kedua-dua perkara itu sangat berkait dengan perjuangan dan perkhidmatan parti kita, termasuk perkara yang dibangkitkan sepanjang persidangan UPKO ini," katanya.
Mengulas mengenai peralihan kepemimpinan UPKO, Ewon berkata proses itu dilaksanakan mengikut prinsip demokrasi di semua peringkat parti
"Pendemokrasian parti kita berjalan di semua peringkat kepemimpinan parti pada tahun ini iaitu di Cawangan, Bahagian dan seterusnya Majlis Tertinggi.
"Proses demokrasi ini membawa kepada peralihan teraju kepemimpinan parti. Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada semua Cawangan dan Bahagian yang memastikan proses demokrasi parti sentiasa subur.
"Apabila kita menerima prinsip demokrasi sebagai asas penubuhan perjuangan dan perkhidmatan parti, maka sewajarnya kita harus menerima dengan jiwa progresif bahawa peralihan teraju kepemimpinan adalah 'outcome' demokrasi dan asas kesinambungan serta relevan parti," katanya.
Ewon berkata, beliau juga akan meneruskan pendekatan kepemimpinan parti selama ini dan memperkasakannya melalui pendekatan 'common-sense leadership' yang perlu didukung bermula dari UPKO.
Beliau kemudian merakamkan ucapan terima kasih kepada Madius atas sumbangan dan jasanya sepanjang menjadi Presiden UPKO sejak 2014.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran bagaimanapun dilantik sebagai Presiden Kehormat UPKO menggantikan pengasas parti itu, Tan Sri Bernard Dompok.
UPKO pada awalnya dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS) yang diasaskan pada 1994 sebelum diubah kepada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu pada 1999 dan kemudian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sejak 2019.