Kodok tebu gergasi sebesar bayi manusia dijumpai di Queensland
SYDNEY: Renjer taman Australia percaya mereka menemui seekor kodok spesies 'Cane Toad' atau kodok tebu gergasi sebesar bayi manusi...
SYDNEY: Renjer taman Australia percaya mereka menemui seekor kodok spesies 'Cane Toad' atau kodok tebu gergasi sebesar bayi manusia yang mungkin terbesar di dunia, dalam hutan hujan di Taman Negara Conway di negeri Queensland, baru-baru ini.
Kodok tebu diberi gelaran 'Toadzilla' itu ditemui oleh renjer taman, Kylee Grey, semasa rondaan pada 12 Januari lalu dan didakwa boleh menimbulkan ancaman kepada ekosistem Australia.
![]() |
Kodok tebu diperkenalkan di Queensland pada 1935 untuk mengawal ancaman kumbang tebu. -Foto Twitter Queensland Environment |
Kodok tebu dibawa masuk dari Amerika Selatan ke Queensland pada 1935 untuk mengawal ancaman kumbang tebu tetapi kini menjadi punca kepupusan beberapa spesies endemik di Australia.
Gray dan rakan sekerjanya menangkap haiwan seberat 2.7 kilogram (kg) itu dan membawanya kembali ke pejabat mereka.
Sebelum ini, Rekod Dunia Guinness menyenaraikan kodok terbesar dengan berat 2.65kg pada 1991, rekod yang dicatat oleh haiwan peliharaan di Sweden.
"Kami mempertimbangkan untuk menamakannya 'Connie' sempena Taman Negara Conway tetapi nama 'Toadzilla' yang timbul," kata Gray.
Rakan sekerja Gray, renjer taman kanan, Barry Nolan, berkata haiwan itu lazimnya dibunuh kerana memberi 'kesan ekologi' yang serius terhadap haiwan asal Australia.
"Seekor kodok tebu betina seperti 'Toadzilla' berpotensi menghasilkan sehingga 35,000 biji telur.
"Jadi, keupayaan mereka untuk membiak agak mengejutkan dan semua bahagian kitaran pembiakan kodok tebu adalah beracun kepada spesies asli Australia, justeru pencegahan adalah antara kaedah utama menghapuskannya," katanya.
Badan 'Toadzilla' itu kemudian didermakan kepada Muzium Queensland untuk penyelidikan. - BH/REUTERS