Malaysia edar sejuta al-Quran di seluruh dunia
PUTRAJAYA : Malaysia akan mengeluarkan sejuta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden memb...
PUTRAJAYA: Malaysia akan mengeluarkan sejuta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskah al-Quran di Sweden, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
![]() | ||
Anwar ketika melancarkan Festival Seni Al-Quran Restu Global (RGQAF) iaitu pameran buku terbesar dunia (Haza Muhammad) di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. |
"Saya setuju supaya cara paling berfaedah menjawab semua kerja-kerja gila dan biadab (membakar al-Quran) ini ialah untuk teruskan usaha yang telah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat untuk cetak dan edar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.
"(Ia akan) disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej dengan risalah jelas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival Kesenian al-Quran Sejagat Restu di sini hari ini.
Yayasan Restu terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif.
Anwar berkata, tindakan mengedarkan naskah al-Quran itu juga akan dirujuk dengan negara-negara Islam lain untuk penyelarasan.
Paludan, ketua parti pelampau kanan Denmark Stram Kurs, dibenarkan membakar Al-Quran pada Sabtu lepas di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm dan insiden itu mencetuskan kemarahan dunia Islam.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat kilang percetakan al-Quran kedua paling besar di dunia yang terletak di Nasyrul Quran di sini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah RM2 juta kepada Nasyrul Quran. - BERNAMA