Program Majalah Dalam Kelas di tebing Sungai Ulu Kukut

KOTA BELUD:  Arus Sungai Ulu Kukut, Kota Belud di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut yang ‘ tenang ’  pada waktu pagi bertukar ‘gana...

KOTA BELUD: Arus Sungai Ulu Kukut, Kota Belud di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut yang tenang pada waktu pagi bertukar ‘ganas’ sebelah petang, namun tidak menjejaskan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang berlangsung di sekolah itu.

 

Program Majalah Dalam Kelas (MDK) berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut, Kota Belud.



Mujur tidak berlaku banjir yang dibimbangi menghalang program sehari anjuran SK Ulu Kukut dengan kerjasama Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DBP Cawangan Sabah.

Program berjalan lancar mengikut jadual dan mencapai matlamat penganjurannya.

Haji Razali ketika merasmikan program MDK di SK Ulu Kukut, Kota Belud.



Program sehari itu disertai 70 murid dan 10 guru mewakili lima sekolah di sekitar daerah ini dan Kota Marudu, iaitu SK Ulu Kukut, SK Taun Gusi, SK Lasau Tintapon, SK Jawi-Jawi, SK Timbang dan SK Tandek.

Peserta MDK di SK Ulu Kukut, Kota Belud.


Program MDK sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM), iaitu untuk melibatkan murid dalam proses pembudayaan ilmu, di samping memastikan mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang akademik.

Peserta juga dibimbing untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu tambahan yang bermanfaat daripada bahan yang bermutu khususnya menerusi majalah terbitan DBP, iaitu Dewan Pelajar.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sesi taklimat mengenai kandungan majalah Dewan Pelajar dan panduan penulisan dalam majalah, aktiviti permainan bahasa secara dalam kumpulan serta sesi pembentangan karya murid.

MDK lahirkan murid cakna bidang penulisan di SK Ulu Kukut, Kota Belud.


Murid berpeluang menonjolkan potensi dan bakat mereka dalam bidang penulisan dan pada masa sama dapat meningkatkan minat dalam mata pelajaran bahasa Melayu melalui aktiviti bersifat didik hibur.

Bengkel bersama-sama guru juga diadakan untuk berkongsi maklumat berkenaan penggunaan majalah dalam kelas sebagai sokongan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Bengkel tersebut juga bertujuan memberikan galakan kepada guru untuk  memangkin kecemerlangan murid dalam pelbagai cabang ilmu.

Aninah (tengah) bersama Norawi (kiri) dan Ramli di pekarangan SK Ulu Kukut, Kota Belud.



Selain itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan jualan dan pameran buku yang diadakan di kawasan pekarangan sekolah berhampiran sempadan Kota Belud dan Kota Marudu itu oleh Unit Pemasaran dan Pengedaran DBP Cawangan Sabah.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Haji Razali Che Mat, berkata peserta adalah penulis pelapis yang diyakini mampu menghasilkan karya dalam bidang kepakaran masing-masing pada masa depan mencakupi kejuruteraan, perubatan dan astrofizik.

Norawi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada peserta MDK di SK Ulu Kukut, Kota Belud.





Katanya, penulisan berpaksikan kepakaran pengkarya memastikan tidak berlaku rencatan penyebaran ilmu kepada dunia luar, selain ketajaman tulisan mereka berlandaskan fakta tepat yang bersumberkan pengetahuan masing-masing.

"Apa juga cita-cita yang kita miliki pada masa hadapan, kemahiran menulis sangat diperlukan bagi memastikan kita dapat berkongsi ilmu kepada orang ramai.

Sebagai contoh, seorang jurutera yang mencintai bahasa boleh menulis dalam bidang kepakarannya untuk berkongsi maklumat dengan semua lapisan masyarakat bukan saja di negara kita malah di peringkat global,” katanya.

Haji Razali, berkata program di SK Ulu Kukut juga sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang menginginkan murid terlibat dalam proses pembudayaan ilmu.

Hal ini bermakna, di samping memastikan murid mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, guru juga dapat melatih dan membimbing mereka untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu tambahan bermanfaat daripada bahan bermutu dan diperakui Kementerian Pendidikan. 

Editor Dewan Pelajar, Fansurina Ramli  pada sesi ‘Ada Apa Dengan Majalah Dewan Pelajar?’ di SK Ulu Kukut, Kota Belud.

Dalam hal ini, kami berpendapat bahawa Majalah Dewan Pelajar menepati kriteria tersebut. Tambahan pula majalah DBP ini bersifat semasa dan bersesuaian dengan aras murid,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Sektor Pembelajaran, Mokilau Rudin; Guru Besar SK Ulu Kukut, Norawi Haji Kata; dan Timbalan Ketua Editor, Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka,  Aninah Janang.

Hadir sama, Ketua Penasihat Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang juga Sasterawan Negeri Sabah, Sukor Usin atau nama penanya, Hasyuda Abadi; Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin; Timbalan Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Mabulmaddin Shaiddin dan Munsyi Dewan (Sastera), Ramli Jusoh.

Dalam pada itu, Norawi yang juga Presiden PSBS, berkata, pendidik yang menyertai program berkenaan perlu memainkan peranan dengan menggalakkan murid untuk terus berkarya dan kekal membaca majalah terbitan DBP sebagai kesinambungannya penyertaan dalam aktiviti MDK.

Sesi  ‘Taklimat Majalah Dalam Kelas Bersama-sama Guru’ sempena program MDK di SK Ulu Kukut, Kota belud.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak DBP, guru dan murid yang terlibat kerana telah menunjukkan komitmen dan maklum balas yang baik sepanjang program berlangsung di sekolah itu.

Katanya, guru dan murid perlu merebut peluang menghasilkan karya kreatif dan artikel bermutu untuk dihantar kepada editor majalah DBP yang menjayakan program berkenaan.

“Pengisian program mencakupi, ‘Ada Apa Dengan Majalah Dewan Pelajar?’, ‘Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa (ByB,ByB)’, ‘Karya Saya’,  ‘Interaktif Bahasa’, ‘Kuiz Menara Belon’ dan ‘Taklimat Majalah Dalam Kelas Bersama-sama Guru’.

Sungai Ulu Kukut  hampir melimpah berikutan hujan lebat ketika program MDK berlangsung di SK Ulu Kukut, Kota Belud di tebing sungai berkenaan pada waktu petang.



"Harapan saya agar program ini dapat diteruskan dan tidak berhenti setakat ini sahaja. Penyertaan murid dan guru amat saya hargai dan semoga MDK ini dapat melahirkan penulis yang hebat pada masa depan,” katanya.

 FAKTA

Tayar dan besen terpakai dijadikan sinki air di pekarangan SK Ulu Kukut antara kreativiti warga sekolah.

Program MDK yang dilaksanakan oleh DBP bertujuan membantu guru Bahasa Melayu, khususnya bagi mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas. 

Related

Terkini 9034480137095552402

Catat Ulasan

emo-but-icon

item