Sabah kini ada kuasa kawal selia bekalan gas

SEPANGGAR: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, secara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas...

SEPANGGAR: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, secara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023, berikutan pengembalian kuasa kawal selia bekalan gas kepada negeri ini, lapor Berita Harian.

RUU berkenaan dibentang dan diluluskan selepas satu lagi RUU berkaitan iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah bagi mewujudkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commision of Sabah) atau singkatannya ECoS, diluluskan pada persidangan DUN berkenaan.

 

BANGUNAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Sepanggar, Kota Kinabalu.- Gambar Kutubkhanah Azrone


ECoS bertanggungjawab mentadbir dan menguatkuasakan Enakmen Bekalan Gas 2023 setelah RUU itu dilulus dan diwartakan nanti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika membentangkan RUU itu, berkata ia perlu diluluskan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas merangkumi bekalan gas daratan, iaitu pengimportan gas ke terminal penggasan semula, pemprosesan gas, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan atau penghantaran gas, pengagihan gas, peruncitan gas dan penggunaan gas.

 "Penyerahan kuasa kawal selia gas kepada kerajaan Sabah adalah salah satu isu tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Beberapa siri perbincangan diadakan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dan akhirnya pada 21 Disember 2022, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan meluluskan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas.

"Ia dibuat melalui perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas).

"Perintah itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022 dan berkuat kuasa pada hari ini, 10 Januari 2023," katanya.

RUU baharu yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia bekalan gas itu mengandungi tujuh bahagian dan 81 fasal.

"Dengan adanya RUU ini, ia akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia sektor pembekalan gas di Sabah agar segala aktiviti sektor pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisyen," katanya.

Related

Terkini. 2955666339785963912

Catat Ulasan

emo-but-icon

item