Sabah yakin kepemimpinan PM selesai isu tertunggak MA63
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dala...
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sabah secara baik, lapor Berita Harian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penyelesaian itu adalah untuk faedah bersama kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha membawa kemajuan dan kemakmuran di seluruh negara untuk rakyat.Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri berhubung isu tertunggak dalam MA63 yang kini dalam peringkat pelaksanaan.
Katanya, satu-satunya isu yang dihadapi dalam perkara yang sudah melepasi proses perbincangan itu ialah mengenai aspek teknikal.
"Kita berharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua tuntutan kita diselesaikan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) di Kuching, Sarawak, hari ini.
Mesyuarat bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg itu dipengerusikan Perdana Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Turut mengiringi Ketua Menteri Sabah ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.
Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Hajiji berkata Kerajaan Sabah juga mengalu-alukan pengiktirafan Perdana Menteri bahawa Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu seperti yang dinyatakan dalam MA63.
Katanya, satu lagi berita baik dalam tuntutan MA63 ialah pengumuman Perdana Menteri bahawa MTPMA63 bersetuju dengan formula pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Pada mesyuarat itu, Hajiji turut meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula Artikel 112D berkaitan tuntutan 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas kepada Sabah.
Hajiji juga menyatakan bahawa Sabah mengekalkan pendiriannya menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada tiga batu nautika sahaja.
"Akta itu menghalang keupayaan Sabah untuk mengenakan undang-undangnya sendiri ke atas perkara yang melangkaui tiga batu nautika.
"Contohnya, mengenai kes yang membabitkan cukai jualan negeri Sabah dan kuasa pihak berkuasa Sabah dalam isu imigresen.
"Sabah berpendapat bahawa sempadan lautnya hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Pengubahan Sempadan) dalam Majlis 1954," katanya.
Mengenai penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, Hajiji berterima kasih atas sensitiviti Perdana Menteri yang mahu memuktamadkannya pada 1 Januari 2024.
Selain itu, Sabah juga meminta supaya pembinaan kemudahan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) serta jalan raya di sempadan Malaysia - Indonesia di Bantul (Pensiangan) dan Serudong (Kalabakan) diberi pertimbangan khusus untuk mengambil kesempatan daripada perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.
"Perdana menteri menjelaskan bahawa peruntukan RM1 bilion diberikan untuk menjalankan kerja-kerja awal," katanya.