Hannah memanah bersama pemanah cilik di Menggatal

SEPANGGAR:   Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa terharu melihat kesungguhan seorang pemanah cilik sukan memanah tradisional...

SEPANGGAR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa terharu melihat kesungguhan seorang pemanah cilik sukan memanah tradisional dari Kampung Darau, Menggatal, di sini, yang menunjukkan minat tinggi terhadap sukan itu walaupun baru berusia lapan tahun.

Menerusi perkongsian pada akaun Facebook miliknya, Hannah menyifatkan kanak-kanak itu, Adszraa Adhawiyah Mohd Aszrul yang ditemuinya ketika lawatan kerja di Sabah baru-baru ini, sebagai seorang wira kecil dalam sukan memanah tradisional.

 

Hannah Yeoh (kiri) bersama Adszraa Adhawiyah Mohd Aszrul ketika mencuba sukan memanah tradisional di Kampung Darau, Menggatal, dekat Sepanggar. - Foto ihsan Facebook Hannah Yeoh

Katanya, jadual lawatannya ke Sabah terpaksa disusun semula bagi memenuhi permintaan kumpulan pemanah yang disertai Adszraa Adhawiyah agar beliau dapat melawat tempat latihan memanah di Kampung Darau.

"Bermula dari saat saya sampai, beliau berdiri dekat dengan saya dan sedaya upaya cuba untuk menerangkan mengenai sukan memanah tradisional. Untuk kanak-kanak yang berusia lapan tahun, beliau begitu berkeyakinan tinggi.

"Ketika saya sudah mula mahu beredar dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepadanya, tiba-tiba beliau memeluk saya dengan kuat dan saya beritahu kepadanya yang saya mahu melihat beliau menjadi juara dunia suatu hari nanti. Jujurnya, ketika itu saya berasa terharu semasa saya berjalan ke kereta," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Ketika lawatannya ke Sabah awal minggu ini, Hannah berkesempatan meninjau tapak latihan memanah tradisional di Kampung Darau selain melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan perkara yang berkaitan pembangunan sukan di negeri ini.

Sementara itu, Hannah berkata ia adalah keistimewaan dan tanggungjawab buat mereka yang mempunyai kuasa eksekutif di Putrajaya untuk memperbaiki kehidupan rakyat dalam negara ini.

"Setiap hari saya di Putrajaya sesekali tidak akan dibazirkan. Walaupun berada dalam portfolio baharu, setiap hari saya rasa bersyukur kepada Tuhan kerana diberi peluang bekerja dengan anak-anak Malaysia," katanya.

 

Related

Terkini 8993429307028099701

Catat Ulasan

emo-but-icon

item