KDMRS Muslim perlu RM4 juta cetak al-Quran terjemahan bahasa 4 etnik Sabah
PERTUBUHAN Kadazan Dusun Murut Muslim Malaysia (KDMRS Muslim) melancarkan inisiatif untuk mengumpulkan dana kira-kira RM4 juta bagi membiaya...
PERTUBUHAN Kadazan Dusun Murut Muslim Malaysia (KDMRS Muslim) melancarkan inisiatif untuk mengumpulkan dana kira-kira RM4 juta bagi membiayai kos penterjemahan dan penerbitan naskhah al-Quran kepada empat bahasa etnik iaitu Murut, Rungus, Sungai dan Kadazan di Sabah.
Sehubungan itu, KDMRS Muslim mengalu-alukan sumbangan individu mahupun institusi bagi membantu membiayai kos penterjemahan tersebut yang dianggarkan RM4 juta.
NICHOLAS Sylvester menunjukkan terjemahan al-Quran dalam bahasa Dusun di Kota Kinabalu.
Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KDMRS Muslim, Nicholas Sylvester berkata, untuk permulaan, pertubuhan ini mencetak 20,000 naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun.
Katanya, pihaknya telah memulakan inisiatif berkenaan pada Januari 2019 sehingga dapat disiapkan sepenuhnya hujung tahun lalu.
Beliau berkata, realitinya, Dusun adalah etnik majoriti penduduk di Sabah dengan jumlah lebih 869,000 orang, namun minoritinya Islam iaitu kira-kira 22 peratus dan belum ada naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun diedarkan untuk keperluan masyarakat tersebut.
“Naskhah al-Quran terjemahan bahasa Dusun telah diedarkan ke seluruh negara dengan tumpuan di Sabah terutama di semua surau, masjid, perpustakaan awam dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan.
“Kitab suci terjemahan itu disiapkan pasukan penterjemah yang menguasai Bahasa Arab dan bahasa Dusun.
“Selepas terjemahan itu disiapkan, naskhah tersebut disemak dan diluluskan oleh panel khas dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam satu kenyataan media, di Sepanggar, hari ini.
Individu dan institusi yang mahu mendukung inisiatif ini boleh menyalurkan sumbang kepada KDMRS Muslim menerusi akaun Bank Islam no: 1005 2010 1170 95.
Keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi pegawai KDMRS Muslim menerusi 011-1497 9037 (Fitrie).
Nicholas berkata, ketika ini, KDMRS Muslim sedang mengambil inisiatif menyediakan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Rungus, Murut dan Sungai sebelum menyusul terjemahan bahasa Kadazan.
Katanya, semua inisiatif ini memerlukan dana yang besar dan pihaknya memohon sumbangan individu serta organisasi dermawan untuk menjayakannya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menerbitkan kitab Tafsir Ibnu Kathir dengan terjemahan bahasa Dusun yang memerlukan kos lebih RM1 juta.
“Selain itu, pertubuhan ini giat melaksanakan pelbagai program bagi membina persefahaman serta hubungan baik antara etnik Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Sungai (KDMRS).
“Untuk 2023, KDMRS Muslim memfokuskan sekurang-kurangnya tujuh kegiatan utama kemasyarakatan melalui platform kebajikan dan pendidikan melibatkan masyarakat serta saudara baharu yang memerlukan bimbingan dalam pelbagai aspek.
“Antaranya, menaja pelajar KDMRS Muslim yang memerlukan pembiayaan untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Nicholas berkata, pihaknya juga akan menganjurkan program sempena Ramadan termasuk iftar di pedalaman dan menyambut Tadau Kaamatan versi patuh syariah di seluruh Sabah selain menyalurkan bantuan makanan dan perlindungan termasuk membaik pulih atau membina rumah, membangunkan ekonomi asnaf mualaf serta program pembangunan sahsiah.
Katanya, turut dirancang oleh pertubuhan adalah program sembelihan ibadah korban di pedalaman serta kampung terpinggir selain membina surau terutama untuk komuniti mualaf di pedalaman yang belum mempunyai tempat ibadah dan pusat komuniti.
“Banyak lagi program akan dianjurkan sepanjang 2023 dan memerlukan dana yang besar. Justeru selain kewangan, kami turut memerlukan sokongan tenaga kerja, doa serta sumbangan daripada masyarakat mahupun institusi,” katanya.