Menginstitusikan Rumah Puisi Hasyuda Abadi
R UMAH P uisi Hasyuda Abadi (RupHA) di Kampung Gudon, Menggatal, Sepanggar sangat menginspirasikan bagi sesiapa mencintai ilmu dan dakwah. R...
RUMAH Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) di Kampung Gudon, Menggatal, Sepanggar sangat menginspirasikan bagi sesiapa mencintai ilmu dan dakwah.
RupHA menempatkan khazanah buku-buku Pustaka Iqbal Nazim dan rumah tempat pengajian al-Quran yang menghasratkan untuk memandaikan bangsa melalui al-Quran di Baitul Muqaddam.
![]() |
Wacana Sasterawan Sabah 2023 bertema ‘Apresiasi Sasterawan Negeri Sabah ke-3 Hasyuda Abadi’ di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA), Kampung Gudon, Menggatal, Sepanggar, Sabtu lalu. |
Sudah pasti RupHA sangat istimewa bagi sastera Sabah, kerana ia satu-satunya wadah ilmu, sastera, agama dan perubatan Homeopati yang berdiri dan wujud di Sabah.
RupHA tentu menyamai Rumah Puisi Taufik Ismail penyair tersohor Indonesia yang dibangunkan di pesisir Jalan Padang Panjang, Bukit Tinggi, Sumatera.
Dan mungkin juga persis rumah puisi Fadli Zon di ibu kota Jakarta, atau seperti mana yang diusahakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr Awang Sariyan dengan Rumah BETA di Taman Gombak, Selangor.
![]() |
Profesor Dr Abdul Halim Ali |
RupHA jika diperluaskan fungsinya boleh menjadi destinasi pelancongan sastera di Sabah dengan rangkaian destinasi dengan bandar raya Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu dan beberapa destinasi pelancongan lain di sekitar Sepanggar dan Tuaran.
Persinggahan pengungjung ke RupHA tidak sekadar untuk menziarahi Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya, Sukor Usin, tetapi yang lebih penting adalah menghidupkan sastera dalam bentuk institusi dan rangkaian pelancongan.
Hasyuda telah mengusahakannya dengan titik peluhnya RupHA yang tentu bukan semata untuk dirinya sendiri tetapi untuk kehidupan ilmu yang ada di dalamnya sastera, bahasa dan segala macam ilmu lagi.
Bagi diri Hasyuda, beliau telah dianugerah dengan gelaran tokoh Penyajak Terbaik Berita Sabah pada tahun 1997, diikuti Tokoh Penyair Islam Sabah, pada tahun 2008.
Anugerah berkenaan anjuran Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah; Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah.
Pada tahun 2022 Hasyuda diiktiraf pula sebagai tokoh Sasterawan Sabah Ke-3 daripada Kerajaan Negeri Sabah bersama DBP Cawangan Sabah.
![]() |
Moderator, Ony Latifah Osman.
|
Penokohan ini wajar diberi satu ‘tagline’ atau tanda masyhur misalnya `Penyair Islami`, `Sasterawan Kinabalu` sesuai dengan keberadaanya di Sabah dan bidang kepakaran sasteranya iaitu puisi bernuansa Islami.
Slogan ini harus dipromosikan dalam bentuk yang santai, mudah, mesra tetapi berinti ilmu yang memberi faham dan kebijaksanaan.
(Dipetik daripada ucap tama Profesor Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Abdul Halim Ali bertajuk ‘Ketokohan Hasyuda Abadi sebagai Sasterawan Negeri Sabah: Apresiasi Penulis dan Ahli Akademik’ sempena Wacana Sasterawan Sabah 2023 bertema ‘Apresiasi Sasterawan Negeri Sabah ke-3 Hasyuda Abadi’ di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA), Kampung Gudon, Menggatal, Sepanggar, Sabtu lalu).
Dr Abdul Halim juga adalah Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (Budiman).
INFO
Pada Disember tahun lalu, DBP Cawangan Sabah mengumumkan penulis prolifik, Sukor Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga.
Seramai 40 peserta menghadiri wacana anjuran DBP Cawangan Sabah, Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam mewakili persatuan penulis, pelajar institusi pengajian tinggi serta penulis dan seniman.
Program sehari itu dirasmikan oleh Pengarah DBP, Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar.
Hadir sama, Sasterawan Negeri Sabah Ke-2, Azmah Nordin.
Pemakalah pertama adalah Guru Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Sipitang, Ustazah Nazifatunnisa Salim dengan tajuk ‘Peranan Surah asy-Syuaraa dalam Memandu Sastera Sabah: Hasyuda Abadi sebagai Teladan’.
Ini diikuti Ketua Satu IPS, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin yang menyampaikan makalah bertajuk ‘Gagasan Malaysia Madani: Sudut Pandang Hasyuda Abadi dalam Konteks Sastera Islam di Sabah’.
![]() |
Hasyuda Abadi. |
Pemakalah seterusnya adalah Presiden PSBS, Norawi Kata dengan makalah bertajuk ‘Analisis Gaya dan Mutu Kepengarangan Hasyuda Abadi sebagai Sasterawan Negeri Sabah’.
Ketua Dua IPS, Fauziah Moksin, pula menjadi pemakalah terakhir dengan kertas kerja bertajuk ‘Sumbangan Hasyuda Abadi terhadap Pendidikan Kesusasteraan dan Kebudayaan di Sabah’.