Pengarang Sabah Taim terima Anugerah Pena Kinabalu
PENGARANG portal berita, Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin antara penerima Anugerah Pena Kinabalu yang dijangka diadakan di Tanjung Aru, Kot...
PENGARANG portal berita, Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin antara penerima Anugerah Pena Kinabalu yang dijangka diadakan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 3 Mac ini.
Penyampaian anugerah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, dijangka disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Majlis meraikan penulis itu menghimpunkan tiga anugerah, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Sabah, Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2020/2021 yang turut menobatkan Mohd Azrone sebagai penerima dan Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah.
Pengarang Sabah Taim itu adalah penerima HSS tahun penilaian 1996/1997, diikuti 2014/2015 dan 2020/2021 kesemuanya kategori Cerpen Eceran.
Penulis berpangkalan di Sepanggar itu adalah penerima tiga kali Hadiah Sastera Sabah setakat ini.
Mengikut pemakluman daripada DBP Cawangan Sabah, turut diraikan adalah penerima Hadiah Sastera Sabah 2018/2019.
Majlis penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2018/2019 yang sepatutnya diadakan pada 2020 tidak dapat dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kesan pandemik COVID-19.