Program komuniti dekatkan UMS dengan masyarakat Kampung Bongkud
PROGRAM Komuniti UMS bersama M asyarakat K ampung B ongkud , R anau. PROGRAM Komuniti B ersama M asyarakat K ampung B ongkud , R anau ...
![]() |
PROGRAM Komuniti UMS bersama Masyarakat Kampung Bongkud, Ranau. |
PROGRAM Komuniti Bersama Masyarakat Kampung Bongkud, Ranau anjuran pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini berjaya mendekatkan pelajar dan masyarakat kampung berkenaan.
Program tiga hari itu disertai 38 pelajar Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, manakala penduduk kampung terbabit seramai 50 orang.
Pengarah Program, Echilis Ansie Anak Manggang, berkata aktiviti dijalankan meliputi tiga sesi ceramah, iaitu Pengenalan Kepada Kerja Sosial oleh pelajar tahun tiga, Kerja Sosial, Roger Vijay George.
Katanya, ini diikuti ‘Tiada Aedes, Tiada Denggi’ oleh Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Dr Filzah Atikah Johamin dan ‘Perkhidmatan Sosial dalam Setting Perubatan’ disampaikan Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Queen Elizabeth (QEH), Maisarah Hamdan.
Beliau berkata, antara pengisian program pula adalah khidmat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mengecat papan tanda dan luaran Mini Dewan Guntab Kampung Bongkud dan sesi Perbincangan Kumpulan Sasar (FGD) iaitu pengenalpastian isu atau masalah sosial dan infrastruktur yang dihadapi oleh komuniti Kampung Bongkud.
![]() |
Acara tarik tali antara pengisian program Komuniti UMS bersama Masyarakat Kampung Bongkud, Ranau. |
“Aktiviti majlis kebudayaan pula diisi dengan sub-aktiviti pertandingan karaoke, cabutan bertuah, persembahan tarian Magunatip daripada wakil belia Kampung Bongkud dan persembahan Tarian Igal-igal daripada wakil Pelajar UMS.
“Turut memeriahkan program ini adalah aktiviti sukaneka dan tarik tali bersama penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Gabungan Belia Ranau, Syukri Saradih.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program, Lhys Kathleen Justinus, berkata matlamat program adalah memenuhi keperluan kursus Praktis Kerja Sosial III: Komuniti dan Organisasi, memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepelbagaian suku kaum yang ada di Sabah khususnya Ranau dalam memupuk semangat kemasyarakatan.
![]() |
Pelajar yang menjayakan program Komuniti UMS bersama Masyarakat Kampung Bongkud, Ranau. |
Katanya, ia juga untuk mempraktikkan setiap kemahiran yang dipelajari dalam Praktis Kerja Sosial Komuniti dan Organisasi di lapangan serta mengenal pasti masalah atau isu-isu yang sering dihadapi oleh komuniti.
“Terima kasih Pensyarah Subjek Praktis Komuniti, Dr Wanda Kiyah Anak George Albert yang juga Ketua Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS yang sentiasa memberikan yang terbaik kepada kami untuk mencapai kejayaan,” katanya.