Aini Tag An, Kekasih 14 hari
CERPEN KEKASIH 14 hari. Ini kisah percintaan Atag dan Tag. Itu antara bait lagu nyanyian seekor burung Kakak Tua yang hinggap di jendela ka...
CERPEN
KEKASIH 14 hari. Ini kisah percintaan Atag dan Tag.
Itu antara bait lagu nyanyian seekor burung Kakak Tua yang hinggap di jendela kamar penjara pisuk menempatkan pasangan kekasih yang tidak sehati jiwanya di pinggir bandar Anting Jaya pesat membangun yang menunggu masa diisytiharkan menjadi bandaraya ketiga negeri Kertagama terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa di negara Permata Nilam.
Kisah bermula, selepas menunggu selama sembilan jam 30 minit yang menguji kesabaran dan ketahanan mental, Atag Darag Beliabas akhirnya dipertemukan dengan gerit bernama Aini Tag An mesra disapa Tag yang mungkin pusaka boneka kencana dalam filem epik Melayu.
Pada pengamatan Atag, gadis misteri yang pendiam serta sentiasa berpakaian sedondon merah jambu itu tidak boleh dipugai dengan ilmu nisa. Itulah temannya selama 336 jam dalam lokap dikenali penjara pisuk, tatakala detik larut malam 27 September 2020.
Penjara pisuk khusus untuk orang baik dan menjunjung Keluhuran Perlembagaan, manakala mereka yang anti Kedaulatan Undang-Undang seperti termaktub dalam lima prinsip Rukun Negara pasti keluar sebelum tiba masanya kerana tiada polis penjara yang mengawal lokap berkenaan.
Dan yang menghormati undang-undang negara, apabila bebas daripada penjara pisuk bukan banduan gelarannya, sebaliknya boleh dianggap wira dan wirawati pertiwi yang mendukung tinggi Perlembagan Persekutuan dan Rukun Negara.
Ketika Atag diulit tekanan menanti keputusan ujian calitan COVID-19, Tag tidak pernah bimbang dengan pandemik yang mengorbankan hampir 1.1 juta jiwa di seluruh dunia sehingga 1 Oktober 2020, semenjak wabak itu muncul di China pada penghujung tahun 2019, menurut laporan rasmi Pusat Sumber Coronavirus, University John Hopkins, Amerika Syarikat yang dipetik agensi berita antarabangsa, Agence France-Presse (AFP).
“Jangan bimbang, Insya-Allah semuanya baik belaka dan dalam tempoh dua minggu lagi bolehlah kalian menjalani rutin kehidupan seperti sediakala bebas dari penjara pisuk tanpa waran tangkap untuk orang baik yang mematuhi lunas undang-undang negara,” kata Pengarah Kesihatan, Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Bua Leboh, Dr Irsyad Faruqi kepada beberapa penumpang yang sedang menunggu giliran melakukan ujian calitan.
Dr Irsyad yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika itu sedang memantau pasukan barisan hadapan diketuainya menunaikan amanah mengekang penularan COVID-19.
Inikah norma baharu dunia? Orang baik yang tidak pernah melakukan jenayah malah langsung tiada rekod jenayah lampaupun dijatuhi hukuman penjara mandatori 14 hari tanpa perbicaraan di mahkamah dan tiada waran tangkap bermatlamat untuk melandaikan lengkung penularan COVID-19.
“Sungguh pelik dunia ini….hrmmm… Untungnya kau cengkerik dan kelip-kelip di rimba sentiasa bebas,” bisik hati kecil Atag sambil berharap dibebaskan awal tanpa menunggu ujian calitan kali kedua dan ketiga.
Beberapa malam lalu, sebelum kembali ke Anting Jaya, Atag sempat menikmati dondang rimba, hilaian cengkerik yang sesekali diganggu oleh suara menyeramkan, sayup-sayup seakan-akan suara gadis mengilai di kampung halamannya, Desa Lebak Bongkol nun di daerah Kubu Bukit.
Seram juga dibuatnya kerana pada masa silam hilaian cengkerik tidak pernah dicemari bisikan makhluk mengilai.
Mustahil juga cengkerik dijangkiti virus korona baru, SARS-CoV-2 yang dikaitkan dengan pandemik COVID-19 menyebabkan genetiknya berubah 180 darjah.
Jika ada yang mengesahkan dakwaan itu pasti saintis seluruh dunia menempelaknya dan menganggap kajian berkenaan sepatutnya ditongsampahkan.
Sudah tentu Saintis dan Pakar Genetik hebat dunia seperti Eric Topol dari Amerika Syarikat juga akan membantah kerana ia tidak berpaksikan penyelidikan saintifik.
Ketika menikmati simfoni alam, dendangan syair cengkerik, tiba-tiba Atag menerima khidmat pesanan ringkas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa:
“Individu tiba dari negeri Awana Bayu, mulai 27 September 2020 wajib menggunakan aplikasi MySejahtera, jalani saringan dan ujian COVID-19 serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO)”.
Bermakna mulai tarikh berkenaan penumpang seperti Atag yang tiba dari negeri Awana Bayu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bua Leboh akan melalui ujian calitan dan kemudian menjalani kuarantin kendiri keseluruhannya mengambil masa hampir 1.3 juta saat.
Berbalik kepada cerita desa dihiasi kehidupan masa silam nan damai tanpa pencemaran bunyi yang mungkin hanya berlaku di desa Lebak Bongkol.
Selepas Fajar sadiq menghilang, sementalahan beburung bersiul girang, hening pagi pula diwarnai oleh suara itik mengakak-ngakak di tebing kolam ikan rumah jiran sekampung berebut dedak gamaknya.
Kalau dulu suara ngakak amat digeruni kerana dikaitkan dengan hilaian balan-balan atau mangat, namun tiada siapa gerun mendengar suara itik mengakak-ngakak waima bayi dalam buaian sekali pun.
Kira-kira pukul 10 pagi, penternak itik mengutip telur burung akuatik berkenaan untuk dibuat telur asin dan dijual di sekitar kampung dan pekan.
Malang nasib itik, ada telur dibuat telur asin dan jika pun dibiarkan ia akan buruk kerana haiwan keluarga anatidae itu tidak pandai mengeram telur menyebabkan zuriatnya dieramkan ayam.
Ini sudah tercatat dalam bait lagu klasik kanak-kanak Melayu:
Pokok bunga melur, tanam tepi pagar, itik bertelur, ayam mengeram.
Walaupun hanya gubahan lagu, sebenarnya telur itik dieram ayam betina adalah realiti bukan fantasi pencipta lagu kanak-kanak berkenaan.
Teknologi inkubator iaitu sebuah mesin untuk mengeramkan telur itik menggunakan teknologi moden belum sampai ke desa kelahiran Atag menyebabkan kaedah tradisional kekal diguna pakai.
“Mungkin suatu hari nanti teknologi itu boleh dibawa masuk ke kampung halamanku,” katanya dalam hati sambil meneka berapa biji telur itik dikutip tuannya hari ini, mungkin 60 biji atau lebih semuanya bergantung kepada faktor kesuburan ternakannya.
Biarpun kawanan itik lebih 100 ekor itu sepanjang hayatnya tidak pernah keluar dari dalam kandang seluas 0.1 hektar dilengkapi sebuah reban besar dan dua kolam ikan laksana hidup dalam kawasan perintah berkurung, namun unggas akuatik itu tidak pernah memberontak, malah terus memberi sumber pendapatan kepada penternaknya, walaupun sesekali air kolam ikan cetek ketika musim kemarau panjang.
“Mungkin juga perasaan bosan membelenggu sang itik sama dengan penduduk negara Permata Nilam yang berkurung dalam rumah, ketika kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020 lalu, untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19,”. Atag cuba berimaginasi sambil tersenyum sendirian.
Selepas berada empat hari di desa kelahiran akhirnya sudah tiba masanya lelaki berusia lingkungan 45 tahun itu kembali ke Anting Jaya meneruskan rutin kehidupan bersama keluarga tercinta, dan buat kali pertama dalam tempoh 540 purnama sejarah hidupnya, inilah julung kalinya tidak dapat mencium tangan dan dahi serta memeluk bondanya kesan pandemik COVID-19 yang mengubah norma kehidupan makhluk bernama manusia.
Awal pagi lagi Atag bertolak dari kampung halamannya memandu berseorangan merempuh kabus tebal di Bukit Penebaan Pipit daerah Kubu Bukit serta singgah sekejap di rumahnya di Teluk Berpagar di bandaraya Kubu Kina Pituanun sebelum dihantar adik lelakinya yang dikenali Delah Temon ke Lapangan Terbang Antarabangsa Torong Guh.
Sebelum tiba ke lapangan terbang, anak sulung daripada tiga beradik itu sempat singgah di Pasar Besar Kubu Kina Pituanun membeli lodo porok untuk diproses sebagai perisa utama produk sambal kicapnya, selain membeli kuih-muih tradisional Sabah seperti penjaram, penganan dan jala untuk dibawa balik ke Anting Jaya.
Ketika melangkah memasuki pintu utama pasar, kedengaran beberapa ekor merpati sedang berdekut mungkin kekenyangan, manakala yang lain gelojoh mematuk makanan yang mengingatkannya akan hilaian cengkerik di kampung halaman. Kedua-dua makhluk itu, begitu juga sang burung akuatik di desa langsung tidak takut dengan pandemik COVID-19.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Torong Guh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bua Leboh mengambil masa dua jam 30 minit dan dalam tempoh sekitar sejam 30 minit hingga dua sejam selepas mendarat dan proses menunggu bagasi, biasanya Atag sudah sampai di rumahnya di Anting Jaya.
Jika tidak menunggu bagasi biasanya akan sampai ke rumah kurang sejam bergantung kepada keadaan lalu lintas, sama ada lancar atau sesak. Namun, kali ini lain dari yang lain kerana penumpang dibawa ke bilik khas sementara menungu giliran untuk ujian calitan yang menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi saringan COVID-19.
Pada awalnya, pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan penumpang terpaksa menunggu sehingga enam jam sebelum tiba giliran membuat ujian calitan. Namun tempoh berkenaan berlarutan sehingga 10 jam bagi sesetengah penumpang mengikut giliran kedudukan mereka dalam barisan panjang umpama gerabak kereta api, sama ada berada pada bahagian depan atau belakang.
Mungkin tertekan, seorang penumpang lelaki berusia lingkungan 50-an memekik melolong kononnya penumpang dilayan laksana banduan sambil merakamkan gambar penumpang menggunakan telefon pintar secara panggilan video mungkin dengan keluarganya di kampung halaman.
Walaupun cuba ditenangkan oleh polis bantuan lapangan terbang, lelaki panas baran itu terus berkaok-kaok. Atag memberanikan dirinya menegur dan menasihati lelaki berkenaan supaya bertenang seperti penumpang lain, apatah lagi beliau menggunakan bahasa ibunda etnik di utara Awana Bayu yang sama dengannya. Tidak perlulah sebut nama etnik berkenaan kerana hanya memalukan bangsa sendiri.
Rupa-rupanya keadaan itu berlaku hanya berpunca daripada sebatang pen yang kononnya beliau tidak dimaklumkan lebih awal sebelum masuk pesawat sehingga terpaksa meminjam pen orang lain seperti pengemis untuk mengisi Borang 14B.
Borang 14B diperuntukkan mengikut Garis Panduan Kementerian Kesihatan yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras Subseksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dalam dunia digital dan semua menggunakan sistem dalam talian rupanya pen masih lagi amat berguna. Belum hilang lagi rupa-rupanya peribahasa Melayu Mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Keadaan kembali tenang dan polis bantuan berterima kasih kepada Atag kerana membantu menenangkan lelaki berkenaan.
“Alhamdulillah, selesai juga aku menjalani ujian calitan COVID-19, selepas menunggu giliran selama sembilan jam 30 minit. Semoga aku dan keluargaku dijauhi daripada pandemik berbahaya ini,” hati kecil Atag berdoa.
“Minta maaf Encik sekiranya terkasar ketika saya melakukan ujian calitan tadi,” kata Dr Ahmad Malik sebaik prosedur berkenaan selesai dan ini menyebabkan lamunan Atag terhenti.
“Biasa saja Dr, waktu kecil-kecil dulu arwah ayah menggunakan pucuk daun nipah bersaiz kecil untuk mengeluarkan serangga yang masuk dalam lubang hidung saya dan kaedahnya hampir sama,” jawab Atag dan Dr Ahmad hanya mengangguk kepala.
Sebelum melangkah meninggalkan ruang ujian calitan, Dr Ahmad memperkenalkan Atag dengan teman baharu yang berbaju sedondon merah jambu. Detik itu tidak ubah seperti mempelai diijabkabulkan tok kadi.
“Inilah temanmu sepanjang 14 hari dalam penjara pisuk nanti, jika ia meninggalkanmu awal bermakna cepatlah kamu dibebaskan dari lokap yang bukan untuk penjenayah tetapi orang baik-baik belaka,” katanya sambil tersenyum laksana Laut madu berpantaikan sakar.
Ketika berada dalam Grab, mungkin kerana keletihan Atag terlelap dan bermimpi seorang gadis berbaju sedondon merah jambu memperkenalkan namanya, Aini Tag An dan hanya mahu disapa Tag dari Negeri Kokok.
Tag sentiasa berada di sebelah kiri Atag, selepas memperkenalkan diri, gadis itu diam seribu bahasa serta tidak pernah berbicara walau sepatah, tetapi bak kata Dr Ahmad seandainya ujian calitan negatif dan keputusannya awal diperolehi, maka cepatlah kami akan berpisah, sebaliknya jika positif atau ujian makmal lambat diperoleh maka lamalah usia perhubungan kami.
Jika pasangan kekasih lain mahukan hubungan percintaan yang panjang tetapi Atag mahu cepat berpisah dengan Tag, bukan kerana tiada perasaan cinta tetapi makin cepat berpisah, bermakna awallah bebas dari penjara pisuk untuk orang baik yang menghormati perundangan negara.
Setiap detik Atag memerhatikan kekasih dua minggunya, mungkin tidak sampai tempoh itu bergantung kepada keputusan ujian calitan. Setiap kali memandangnya kebimbangan mengenai pandemik COVID-19 sentiasa ada, kadang tekanannya seperti paku di ketuk di ubun-ubun. Hanya kesabaran dan doa penenang hati gelisah.
Di negeri kelahiran Atag jumlah pesakit COVID-19 dilaporkan mencanak dari hari ke hari, malah menjadi perdebatan di laman sosial konon negerinya menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di negara Permata Nilam. Biasalah pada era digital semua boleh menjadi wartawan jelmaan dan menyebarkan berita palsu.
Hari pertama dalam penjara pisuk Atag memilih sarapan dengan makanan tradisi etniknya, etnik Bajau iaitu penjaram, penganan dan jala yang dibeli di Pasar Besar Kubu Kina Pituanun bersama secangkir kopi Tenom. Bagus penjara pisuk kerana penghuni boleh memilih makanan sesuka hati tetapi bayaran tanggung sendiri.
Untuk menghilangkan kebosanan, selain beribadah dan riadah ringan, hari demi hari Atag membaca laporan kenyataan media Kementerian Kesihatan Permata Nilam berhubung stasistik terkini pesakit COVID-19 termasuk kes pesakit baharu sama ada positif atau negatif, sembuh dan kematian.
Terkejut juga kerana ada kalangan mereka yang positif COVID-19 yang dilaporkan media adalah kalangan pemimpin utama negeri dan negara termasuk berstatus ketua menteri dan menteri Kerajaan Persekutuan.
Namun, Kementerian Kesihatan tidak pernah mendedahkan nama mereka mengikut SOP ditetapkan, sebaliknya pemimpin terbabit yang mendedahkannya kepada media, sama ada secara terus menerusi laman sosial masing-masing atau kenyataan akhbar melalui Pejabat Media dan Penerbitan.
Sebagai pengamal media, Atag turut memilih tidak mendedahkan nama ketua menteri dan menteri terbabit di media sosial dan karya kreatifnya, mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan, selain akur dengan Akta Rahsia Rasmi yang menjadi sebahagian etika kewartawanan.
Saban hari Atag berdoa semoga dijauhi daripada pandemik yang mengorbankan 141 rakyat negara ini pada hari ke-10 beliau dalam penjara pisuk kuarantin kendiri.
Seperti insan lain, bekas wartawan akhbar arus perdana itu turut bersedih membaca laporan kes kematian ke-140 iaitu bayi perempuan warga negara berusia setahun yang mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tongtalun di Pantai Timur negerinya, Awana Bayu.
Mengikut kenyataan media Kementerian Kesihatan pada pukul 12 tengah hari pada hari ke 13 Atag dalam penjara pisuk sebanyak 354 kes baharu dilaporkan menjadikan 14,722 kes serta kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 3,863 kes dengan mereka diasingkan dan diberi rawatan.
Daripada pecahan itu, Awana Bayu mencatatkan 274 kes atau 77.4 peratus susulan lebih banyak aktiviti saringan di lapangan terbang, bimbang juga ada kalangan mereka menggunakan pesawat sama dengannya.
Agak pelik juga kerana keputusan ujian Atag lewat dimaklumkan kepadanya dan sejak hari kelima sehingga kesepuluh belum ada sebarang berita lagi, sedangkan rakan yang sama-sama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bua Leboh sudah memperolehnya selewat-lewatnya empat hari selepas ujian calitan dilakukan.
Ini menimbulkan kerisauan yang tiada tembok penghadang antara pisuk dengan tungkus. Tekanan membuatkan peluh jantan pun menitis membasahi badan.
Dalam situasi yang mencengkam seperti ini perlu mengelak bermain dengan pedang psikologi yang boleh menikam diri sendiri. Dalam hidup setiap manusia mahukan sesuatu yang positif, namun berbeza dengan keputusan ujian calitan, semua mahukan yang negatif, negatif COVID-19.
Setiap hari, mulai hari kelima dalam penjara pisuk, Atag berusaha menghubungi Jabatan Kesihatan Kederang dan jawapannya adalah sama, keputusan masih di makmal Kementerian Kesihatan dan belum diperoleh lagi.
Seorang sahabat menghantar aplikasi WhatsApp cuba menenangkan keadaan kononnya jika ujian calitan lewat diperoleh bermakna ia negatif seperti dimaklumkan doktor yang membuat ujian calitan kepadanya.
“Jangan bimbanglah Atag, kalau keputusan ujian calitan lewat maknanya negatiflah tu, kalau positif ada sudah ambulans datang menjemputmu hantar ke Hospital Suang Boh,” kata Ricardo Emmanuel sahabatnya yang dulu sama-sama bertugas sebagai wartawan akhbar nasional berpangkalan di Kubu Kina Pituanun menerusi aplikasi WhatsApp.
Ini membuatkan Atag lega dan menadah tangan tanda kesyukuran. Benar ajal dan maut di tangan Tuhan tetapi sebagai hamba-Nya tidak salah berdoa memohon keampunan, dipanjangkan usia dan dijauhi daripada musibah.
![]() |
Gelang merah jambu inilah Aini Tag An, Kekasih 14 hari dalam cerpen penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021. |
Berada dalam penjara pisuk orang baik-baik juga seolah-olah dekat tapi jauh dengan anak dan isteri kerana hanya berkomunikasi secara maya menggunakan telefon pintar sama ada panggilan suara, panggilan video atau aplikasi WhatsApp.
Bagaikan dipisah Tembok Berlin, jikalau pun boleh berkomunikasi secara fizikal dengan keluarga, ia hanya di sebalik pintu pada jarak satu meter dengan memakai pelitup muka mengikut garis panduan penjarakan fizikal ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Makanan juga dihantar di depan pintu, yang sekali gus menghilangkan satu lagi nikmat iaitu makan bersama keluarga.
Ini semua norma baharu dunia yang perlu dipatuhi demi kebaikan keluarga. Sebelum pandemik COVID-19 menggegarkan dunia, tiada siapa yang menduga detik mencabar ini akan terjadi kepada keluarga mereka.
Hidup perlu diteruskan dan percayalah bahawa semua yang berlaku sudah tertulis di Loh Mahfuz. Sebagai manusia biasa Atag tidak dapat lari daripada suratan takdir dan beliau reda menempuhnya tanpa sedikit pun perasaan menyesal balik kampung yang akhirnya membawanya ke dalam penjara pisuk untuk orang baik walaupun sesekali menyeksakan.
“Alhamdulillah aku negatif COVID-19. Selepas menunggu 11 hari akhirnya keputusan swab test (ujian calitan) bagi saringan Covid-19, aku peroleh petang tadi selepas menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Kederang.
“Esok iaitu pada hari ke-12 dalam tahanan, bolehlah aku dipisahkan dengan Tag,” tulis Atag dalam status Facebooknya yang disambut komen positif rakan media sosialnya dengan ramai berkongsi kegembiraan dengannya dan tidak kurang mendoakan kesihatannya berkekalan.
Peliknya, perpisahan sepatutnya ditangisi, bukan diraikan seperti dilakukan Atag bersama Tag kekasih 14 harinya, walaupun sebenarnya tempoh menjadi singkat kepada 12 hari mengikut lunas undang-undang termaktub dalam Akta 342.
“Alhamdulillah, Tag sudah meninggalkanku. Walaupun aku disahkan negatif COVID-19 dan mendapat pelepasan daripada menjalani pemerhatian dan pengawasan seperti termaktub dalam Akta 342, namun aku memilih untuk meneruskan kuarantin kendiri sehingga 14 hari berakhir 10 Oktober 2020,” tulis Atag lagi seraya memandang ke arah pintu yang sebelum ini seperti Die Berliner Mauer memisahkannya dengan keluarga, bakal runtuh dua hari lagi.
Dalam kelegaan sebenarnya bimbang juga akan dipertemukan semula dengan Tag, kekasih 14 hari yang tidak pernah dirindui selepas berpisah pada hari ke-12 , iaitu detik Tag dibebaskan dari dalam penjara pisuk dan Atag sendiri menghantarnya ke Pejabat Kesihatan Kelonak Jaya untuk dikembalikan kepada keluarganya.
Alhamdulillah, pada hari ke-14 wakil Pejabat Kesihatan Daerah Kelonak Jaya mengesahkan Atag tiada gejala COVID-19 dan secara rasminya dibebaskan dari penjara pisuk.
“Demikianlah kisah percintaan 14 hari Atag dan Tag, berjumpa tiada keghairahan dan berpisah tanpa kegelisahan,”. Itu nyanyian sayu burung Kakak Tua yang hinggap di jendela kamar penjara pisuk menutup bicara sebelum terbang serta terus hilang dan selepas itu tidak pernah berkunjung lagi.
Glosari
Dipugai – Dialek Sabah yang bermaksud terpikat dengan seseorang akibat terkena ilmu pengasih.
Pisuk – Bahasa etnik Bajau/Sama bermaksud bilik.
Gerit – Dialek Melaka yang bermaksud getah berbentuk gelang yang digunakan untuk mengikat sesuatu.
Balan-balan atau mangat – Dialek Sabah bermaksud penanggal biasanya dituturkan etnik Bajau/Sama dan Iranun di Kota Belud.
Ngakak - Dialek Sabah yang bermaksud hilaian penanggal.
Lodo porok – Dialek Bajau/Sama bermaksud cili padi bara.
Penjaram – Kuih tradisional Sabah yang berbentuk seperti cucur jawa.
Penganan – Kuih tradisional etnik Bajau/Sama mirip dengan kuih cincin.
Jala – Kuih tradisional Sabah, Sarawak dan Brunei berbentuk serupa kuih karas yang popular di Kedah.
Berkaok-kaok – Berteriak-teriak, berseru-seru, memekik-mekik mengikut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat.
Tungkus – Bahasa Bajau/Sama bermaksud kain kapan.
Die Berliner Mauer – Bahasa Jerman bermaksud Tembok Berlin yang memisahkan antara Jerman Barat dan Jerman Timur.
![]() |
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari menyampaikan watikah penghargaan penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 kepada Pengarang portal berita Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin sambil disaksikan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar sempena Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA) di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Jumaat lalu.- Gambar Ihsan DBP
Cerpen ini disiarkan Majalah eWadah DBP, edisi Disember 2020.