IPG Kent pemangkin perpaduan kaum dalam kalangan siswa guru
Anis Alisya Abdullah (barisan depan dua dari k anan ) , Dr Hamidah (dua dari kiri) , Datuk Philip (k anan ) dan Dr. Gerturude (kiri) ...
TUARAN: Masyarakat pluraliti di Sabah dan Sarawak membawa bersama-sama perbezaan kehendak dan kemahuan demi menjaga kepentingan kaum masing-masing.
![]() |
Pameran Jabatan Bahasa Kadazandusun. |
Pengarah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, Samarahan, Kuching, Anis Alisya Abdullah, berkata perbezaan itu bukan untuk memecahbelahkan, sebaliknya menjadi kekuatan untuk bersama-sama membangunkan negara.
Katanya, bagi sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, perpaduan adalah aset bernilai dalam menjamin keharmonian negara.
Beliau berkata, dalam hal ini, sebagai sebuah institusi penting dalam melahirkan bakal guru, pendedahan berhubung kemajmukan ras dalam kalangan masyarakat harus sentiasa terus dibugarkan.
![]() |
Anis Alisya Abdullah (tengah) bersama tetamu kehormat. |
“Ini merupakan satu keperluan untuk kita menelusuri ‘pandangan sarwa’ (worldview) masyarakat, saling mengenal akan adat, budaya dan amalan rakan-rakan serta masyarakat di sekitar kita.
“Justeru, saya percaya usaha seperti Program Karnival Bahasa Perpaduan Kent akan mampu menjadi pemangkin dan memberi gambaran, pengetahuan dan pengalaman kepada semua demi pelestarian akan keterampilan peranan IPG,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Bahasa Perpaduan di Dewan Serbaguna IPG Kampus Kent, di sini, Jumaat lalu.
![]() |
Anis Alisya Abdullah (kiri) tertarik dengan produk Kadazandusun yang dipamerkan Jabatan Bahasa Kadazandusun. |
Hadir sama, Penasihat Yayasan Bahasa Kadazandusun, Datuk Philip Lasimbang; Pengarah IPG Kampus Kent, Dr Hamidah Samsuddin; Pengarah IPG Kampus Gaya, Dr Gerturude Jock; Pengarah IPG Kampus Keningau, Doti Asing; Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent, Harun Sarail, dan Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun selaku Penyelaras Karnival Bahasa Perpaduan Kent Tahun 2023, Linah Bagu.
Seramai 450 peserta menghadiri majlis yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti tarian sambut tamu, persembahan ‘Medley Hiis’, ‘Choral Speaking’, Koir Malaysia Bangga, persembahan ‘Action Song’, Persembahan Juara bakat Kent, pameran setiap jabatan, gerai pameran dan jualan serta paluan gong.
Repositori Bahasa Kadazandusun turut dirasmikan dalam majlis tersebut dengan gimik montaj yang telah menayangkan laman dan intipati kandungan halaman Repositori tersebut. Penutupan Karnival Keusahawanan Kent 2023 turut dirasmikan dalam majlis tersebut.
Karnival Bahasa Perpaduan berkenaan berlangsung selama sebulan, iaitu sepanjang bulan Mac ini.
Pelbagai aktiviti yang telah, sedang dan akan berlangsung melibatkan lima bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa KadazanDusun, bahasa Arab dan bahasa Cina.
Anis Alisya berkata, Karnival Bahasa Perpaduan adalah manifestasi hasil sinergi beberapa jabatan dan unit yang bukannya satu tugas mudah, tetapi telah melalui proses perancangan, perbincangan, perkongsian idea dan komitmen daripada semua pihak.
![]() |
Kumpulan Hiis (puisi) berpakaian etnik Kadazandusun. |
Bersesuaian dengan kedudukan IPG Kampus Kent sebagai ‘Pusat Penataran Pedagogi Bahasa KadazanDusun’, beliau yakin ia adalah satu lagi insiatif dalam memperkasa dan meningkatkan peranan IPG Kampus Kent sebagai ikonik peneraju keunggulan pendidikan bahasa-bahasa etnik di Malaysia.
Beliau berkata, program berkenaan adalah apresiasi terhadap bahasa serta secara tidak langsung representasi terhadap budaya dan tamadun peradaban bangsa dan negara.
“Ini amat bertepatan kepimpinan dan konsep Malaysia Madani diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Membangun Malaysia Madani” telah menetapkan bahawa Konsep MADANI sebagai Garis Panduan Mengemudi Negara. MADANI adalah kerangka utama sebagai ikhtiar dalam memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan,” katanya.
INFO
PENGISIAN aktiviti setiap Jabatan berbeza mengikut perancangan masing-masing misalnya Jabatan Bahasa Kadazandusun adalah pertandingan menulis cerita (tangon) dan bercerita (Manangon), Wiki GAP bersama-sama Wikipedia Community User Group yang memuatkan artikel tentang tokoh-tokoh wanita, bengkel peristilahan dan kosa kata bersama Pakar Bahasa Bajau Sama, Dr Mark Miller dari Summer Institute Linguistic Malaysia, Ihumo Oku (Mencari harta karun) dan Perkongsian Inovasi Terbaik daripada guru bertaraf global, Dr Sirhajwan Idek.