IPS, DUN Membakut bakal terbitkan 5 buku
KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah , Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Mohd Arif bersetuju menyumbangkan RM5,000 kepada I...
KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Mohd Arif bersetuju menyumbangkan RM5,000 kepada Ikatan Penulis Sabah (IPS) untuk penerbitan lima buah buku, tahun ini.
![]() |
DR Mohd Arifin (tengah) menerima kunjungan hormat daripada Ikatan Penulis Sabah (IPS) di Bilik Madani, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. |
Sumbangan berkenaan disalurkan menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, kawasan yang diwakili Mohd Arifin.
Antara buku dicadangkan untuk diterbitkan adalah kumpulan puisi bertema Malaysia Madani, kumpulan puisi pelajar dan guru menganggotai IPS serta kumpulan cerpen.
![]() |
DR Mohd Arifin (kiri) berbincang sesuatu dengan Hasyuda ketika kunjungan hormat IPS di Bilik Madani, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. |
Turut dicadangkan adalah penerbitan buku ‘Wira Tidak Didendang’ sempena 60 tahun pembentukan Malaysia pada 16 September ini dengan memfokuskan anggota pasukan keselamatan yang berjuang menuntut kemerdekaan dan mempertahakan kedaulatan negara khususnya berpangkalan di Sabah, namun tidak pernah didedahkan menerusi laporan media, jurnal atau buku.
Penerbitan buku berkenaan antara dibincangkan ketika kunjungan hormat IPS ke atas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di Bilik Madani, Wisma MUIS, di sini semalam.
![]() |
ENAM pimpinan tertinggi IPS mengadakan kunjungan hormat terhadap Dr Mohd Arifin di Wisma MUIS, Kota Kinabalu. |
Turut disentuh adalah usaha IPS dan Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHa) untuk kekal memartabatkan bahasa dan sastera di Sabah serta membantu Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah mengangkat gagasan Malaysia Madani dan hala tuju Sabah Maju Jaya.
Kunjungan berkenaan diketuai Ketua Majlis Penasihat IPS, Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya, Sukor Usin yang juga Sasterawan Sabah Ke-3.
Turut serta adalah Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin; Ketua Dua, Fauziah Moksin; Setiausaha, Juliah Matnoor; Bendahari, Roslan Sohasto dan Ketua Penerangan, Mohd Azrone Sarabatin.