Lebih 40 tahun Hasyuda Abadi mencenderungi dunia sastera

JUMAAT  lalu, Pengarang prolifik, Sukor Usin atau nama penanya, Hasyuda Abadi secara rasmi dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sabah (ASNS)...

JUMAAT lalu, Pengarang prolifik, Sukor Usin atau nama penanya, Hasyuda Abadi secara rasmi dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) Ketiga  selepas menerima watikah penghargaan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena Malam Anugerah Pena Kinabalu di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan watikah Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) Ketiga kepada Hasyuda Abadi sempena Malam Anugerah Pena Kinabalu di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.- Gambar Ihsan Jabatan Penerangan


Ketika berucap pada sesi ‘Penerima ASNS Ketiga’, Hasyuda berkata, dalam berasa  asing oleh segelintir orang terhadap dunia sastera adalah hal biasa tetapi bagi beliau sastera itu adalah kehidupan kita seharian. Ketika kita berkomunikasi, berimaginasi, berfikir dan sebagainya saat inilah ‘dunia sastera’ bersama kita.

Namun lebih jauh daripada itu Hasyuda percaya bahawa ada suara dari alam sunyi membawa kita ke alam makna yang lebih bebas memancarkan pemikiran. Sudah tentu setiap patah kata itu mengandung makna tertentu yang boleh dimanfaatkan sewajarnya.

Beliau berterima kasih sebagai antara puluhan rakan seperjuangan di negeri Sabah berada di tempat ini.

Setelah melalui tempoh lebih 40 tahun mencenderungi dunia sastera, beliau  mempunyai peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahirkan puisi yang bagus. Bahkan puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang yang dituju dengan aman dan membahagiakan.

Dr Joachim Gunsalam menyampaikan Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/2021 kepada Dr Rashid Mail sempena Malam Anugerah Pena Kinabalu di Tanjung Aru, Kota Kinabalu. - Gambar Ihsan Jabatan Penyiaran



Sudah tentu bersama ujian-ujian yang tersendiri. Ruang fikir yang jitu. Mengajak masyarakat merenungi diri dan kemaslahatan untuk agama, bangsa dan negerinya.

ASNS adalah pengiktirafan tertinggi diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada tokoh sasterawan yang masih hidup yang dimulakan pada 1990 dengan penerima pertamanya adalah Allahyarham Datuk Ismail Abbas atau nama penanya Amil Jaya, diikuti Azmah Nordin pada 2020.

Pengiktirafan sebagai Sasterawan Sabah Ketiga melayakkan Hasyuda menerima hadiah RM30,000, watikah penghargaan serta kemudahan penerbitan karya dan penterjemahan karya terpilih ke dalam bahasa asing

Hadir sama pada majlis berprestij itu adalah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari dan Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Jasni Matlani.

Berikut wawancara BERNAMA bersama Hasyuda Abadi sempena penganugerahan berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan penulis sendiri amat diperlukan bagi mengatasi isu kesukaran memasarkan buku karya sastera kreatif terutama di negeri ini, kata penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga, Sukor Usin.

Sukor, 62, yang menggunakan nama pena Hasyuda Abadi berkata kesukaran memasarkan buku karya sastera kreatif adalah isu membimbangkan kerana buku berkenaan mudah diperoleh masyarakat secara dalam talian berbentuk e-buku namun buku fizikal yang dicetak masih banyak tidak dapat dijual di kedai buku.

Penulis sastera kreatif di Sabah masih menghadapi kesukaran untuk memasarkan buku karya mereka, malah buku nukilan penulis tempatan sangat berlambak di kedai buku seolah-olah tiada pembeli," katanya kepada BERNAMA di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Perkembangan teknologi pada masa ini membuatkan masyarakat terutama generasi muda memilih buku dalam bentuk digital namun beliau menjelaskan terdapat juga kepentingan untuk membeli buku dalam bentuk fizikal antaranya bagi kegunaan perpustakaan, koleksi dan kawasan luar bandar yang kekurangan akses Internet.

Bagi menyelesaikan isu itu, Sukor mencadangkan supaya penulis menghasilkan karya yang boleh memenuhi selera atau keperluan manyarakat terutama generasi muda.

"Mereka (penulis) perlu sensitif kepada keperluan pembaca, contohnya tema apa yang sering menjadi pililhan pembaca dan sasaran buku harus kepada siapa dan seterusnya.

Pendekatan lain seperti mewujudkan pusat pemasaran buku dengan kerjasama semua pihak.

Selain itu, perlu ada sinergi bersama dengan agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), persatuan penulis atau persatuan pelajar di pusat pengajian tinggi" katanya.

Sukor berkata pemimpin juga boleh membantu dari segi memberi peluang pemilikan buku dalam kalangan masyarakat dengan tujuan memajukan pemikiran melalui pengilmuan memandangkan buku merupakan keperluan bagi mengembangkan masyarakat itu sendiri.

"Mereka (pemimpin) mungkin boleh menggunakan sebahagian daripada dana tahunan mereka untuk membeli sebanyak mungkin buku tulisan pengarang tempatan untuk disalurkan kepada perpustakaan di kawasan masing-masing termasuk jabatan kerajaan dan premis swasta,” katanya.

Bagi meningkatkan usaha memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat, Sukor mencadangkan supaya lebih banyak dana pembiayaan percetakan diberikan kepada agensi berkaitan seperti DBP atau kepada penerbit persendirian.

Selain itu, Sukor berkata penganjuran peraduan penulisan perlu diadakan lebih kerap serta melaksanakan aktiviti apresiasi seperti bicara buku atau bedah karya kepada khalayak yang lebih besar.

"Di peringkat sekolah, apresiasi buku harus dilakukan lebih agresif lagi, bukan setakat membantu pelajar yang lemah dalam pembacaan tetapi memberikan galakan kepada mereka untuk terlibat dalam pembikinan sesebuah buku dan sebagainya.

"Persatuan-persatuan penulis juga harus bergerak aktif dalam membantu ahli yang memiliki buku mereka sendiri untuk memasarkan dan mempromosi melalui apa jua platform," katanya.

  Dr Hazami Jahari  (tengah) menyampaikan watikah penghargaan penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 kepada Siba Nita As di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.- Gambar Ihsan Jabatan Penyiaran 



Sukor yang diumum sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga pada Disember 2022 telah menghasilkan 50 cerpen, 1,454 puisi, 244 esei sastera dan 14 skrip drama, rata-ratanya berkisar kemanusiaan, dakwah, politik serta alam sekitar.

Anak jadi Beaufort itu yang mula aktif menulis dalam bidang penulisan kreatif pada 1979, pernah berkhidmat di beberapa jabatan kerajaan antaranya Jabatan Penyiaran Sabah pada 1979 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah pada 1985 sebelum bersara pada 2015.

Beliau juga mengasaskan Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) di Kampung Gudon, Menggatal, yang turut menempatkan Pustaka Iqbal Nazim dan  Rumah Ngaji Baitul Muqaddam.

Related

Terkini 1016808156451963317

Catat Ulasan

emo-but-icon

item