Siapa Aini Tag An yang menjadi kekasih 14 hari pemenang Hadiah Sastera Sabah 2020/2021?

  DR Hazami (tengah) menyampaikan watikah penghargaan penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 kepada Mohd Azrone sambil disaksikan Aminah di...

 

DR Hazami (tengah) menyampaikan watikah penghargaan penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 kepada Mohd Azrone sambil disaksikan Aminah di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.- Gambar Ihsan DBP


Oleh Muhammad Azamuddin Mohd Azrone

“DUA minggu saja percintaannya sahabat?,”.

Pertanyaan secara berseloroh itu diungkapkan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari kepada Pengarang portal berita Sabah Taim, Mohd Azrone Sarabatin ketika menyampaikan watikah penghargaan selaku penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 sempena Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA) di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, malam semalam.

Mohd Azrone memenangi hadiah kategori Cerpen Eceran.

MOHD Azrone (kanan) bersama Sasterawan Sabah Ke-3, Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin (tengah) dan penerima Hadiah Sastera Malaysia 1988/1989, Soibil Madun.

‘Aini Tag An’ atau sebutan sebenarnya ‘ai nitagan’ bahasa Bajau Sama bermaksud ‘kena tanda’ yang merujuk kepada pemakaian gelang berwarna merah jambu kontak rapat mangsa  COVID-19 dalam cerpen berkenaan.

Cerpen berkenaan mengisahkan anak jati Kota Belud itu dikuarantin 14 hari sekembalinya ke Subang Jaya selepas balik ke kampung halamannya, Kampung Labuan ketika musim Pandemik COVID-19 pada September 2020.

Mulai 27 September 2020 individu tiba dari Sabah wajib menggunakan aplikasi MySejahtera, jalani saringan dan ujian COVID-19 serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Cerpen berkenaan bertema ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang’ yang amat penting dihayati dan diamalkan untuk melandaikan keluk COVID-19.

Individu yang dijangkiti atau menjadi kontak rapat ‘Coronavirus’ perlu mempertahankan undang-undang negara untuk memutuskan rantaian virus membawa maut itu.



Walaupun ‘dipenjara’ (dikuarantin) dalam penjara ‘pisuk’ (bilik rumah sendiri) selepas bebas pesakit atau kontak rapat bukan banduan tetapi wira dan wirawati negara kerana mempertahankan Perlembagaan dan Rukun Negara.

MAPENA bertujuan meraikan penyampaian anugerah serta hadiah kepada penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3, Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 dan Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/2021.

Majlis berprestij itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

MAPENA dapat memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan selain memberikan pengiktirafan kepada penulis dan penggiat sastera Sabah.

Malam Anugerah Pena Kinabalu menggabungkan tiga pengiktirafan tertinggi dengan hadiah dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Tiga pengiktirafan tersebut ialah Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS), Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah, dan Hadiah Sastera Sabah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Jasni Matlani; dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar.



Pada majlis itu, Tun Juhar menyempurnakan penganugerahan Sasterawan Sabah Ke-3 kepada pengarang prolifik, Sukor Usin atau nama penanya, Hasyuda Abadi.

Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2020/2021 disampaikan  Dr Joachim, manakala Dr Hazami menyampaikan Hadiah Sastera Sabah 2020/2021.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, dalam perutusannya berkata, Kerajaan Sabah sentiasa memberikan komitmen dan memandang tinggi terhadap pembangunan kesusasteraan serta kebahasaan melalui penghasilan buku bermutu tinggi di negara ini.

Katanya, anugerah ini merupakan cerminan komitmen tinggi kerajaan negeri terhadap pembangunan kesusasteraan, di samping mengalu-alukan kehadiran golongan sasterawan yang turut memberikan sumbangan dalam pembangunan negara khususnya Negeri di Bawah Bayu.

Beliau berharap, usaha berkenaan dapat memberikan inspirasi kepada penggiat sastera dan penulis buku Sabah untuk terus mengangkat martabat kesusasteraan tanah air di persada serantau dan antarabangsa serta pada masa sama membina kecemerlangan bahasa dan sastera kebangsaan.

“Saya harap melalui Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah, lebih ramai terpanggil menggali kepelbagaian khazanah Sabah daripada aspek budaya, adat resam, flora dan fauna dalam bentuk penulisan.

 “Bahan bacaan sebegini bukan sahaja wadah mengangkat citra negeri Sabah, malah mampu menjadi bahan penyelidikan di seluruh dunia dan menyuntik semangat semua penulis di Sabah untuk terus berkarya dalam pelbagai genre demi pembangunan masyarakat di negeri ini ke arah mendukung hasrat kerajaan melahirkan masyarakat madani,” katanya.


Related

Terkini 5230194979126230851

Catat Ulasan

emo-but-icon

item