KTYS dan media berpisah tiada
KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menghargai peranan media dalam membantu mempromosi peluang pendidikan mencakupi akad...
KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menghargai peranan media dalam membantu mempromosi peluang pendidikan mencakupi akademik dan kemahiran yang ditawarkan kolej itu kepada generasi muda di negeri ini.
Ketua Eksekutifnya, Samin Ongki berkata, peranan media meliputi penyiaran, bercetak dan portal berita sentiasa memudahkan pihak kolej menyalurkan maklumat kepada masyarakat dari bandar besar sehingga ke desa terpencil.
![]() |
Majlis Iftar KTYS Bersama Media di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.- Foto Ihsan KTYS |
|
"Sokongan media membantu meningkatkan kesedaran mengenai KTYS yang berperanan memberi peluang kedua kepada pelajar yang gagal melanjutkan pengajian ke universiti awam.
"Di KTYS, kami komited untuk memberikan pendidikan berkualiti yang memenuhi keperluan pelajar dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.
"Kami percaya betapa pentingnya pendidikan akademik dan latihan kemahiran untuk sesebuah komuniti," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar KTYS Bersama Media di Tanjung Aru, di sini, semalam.
Samin berkata, pihaknya turut berbangga menjadi sebuah institusi dimiliki penuh Kumpulan Yayasan Sabah yang menyediakan peluang pendidikan di negeri ini khususnya kepada belia Sabah.
Beliau berkata, sejak dilantik sebagai Ketua Eksekutif KTYS pada Ogos tahun lalu, banyak perancangan dilakukan untuk membawa kolej ke tahap pencapaian yang lebih cemerlang.
![]() |
Samin Ongki.- Foto Ihsan KTYS |
Sebagai contoh, katanya, pada bulan ini, KTYS akan menjalankan Program Khas Persediaan ke Timur Tengah yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah selama lima bulan untuk 30 anak-anak Sabah yang berminat untuk melanjutkan pengajian di beberapa negara di Timur Tengah.
"KTYS juga mengadakan Hari Terbuka di Kampus Teknikal Likas, hari ini dan esok serta di Kampus Bandaraya Sembulan pada 13 dan 14 April ini untuk pengambilan pelajar baharu kemasukan Julai dan Ogos nanti," jelasnya.
Samin berkata, bagi melaksanakan tugas yang diberikan dengan cemerlang, setiap pihak hendaklah memahami apa yang perlu dilakukan.
Beliau berkata, faktor kekurangan sumber, pengetahuan dan kepakaran antara cabaran dihadapi pihak kolej dalam melaksanakan sesuatu program berimpak besar kepada pelajar.
"Saya percaya setiap ketua jabatan komited dan akan bersama saya melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan ke arah mencapai visi, misi dan objektif KTYS.
“Jika semua pihak berganding bahu dalam melaksanakan tugas dibantu dengan sokongan rakan media, ia pasti berjaya dilaksanakan,” katanya.