Tragedi 'Double Six': Tiada sabotaj, letupan

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat ter...

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat terhempas pada 6 Jun 1976, yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain.

Penemuan itu adalah berdasarkan laporan akhir nahas pesawat terbabit yang dinyahklasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), lapor Berita Harian, semalam.

 

Tiada bukti sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain, menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi.- Gambar Google


 

Laporan akhir nahas pesawat itu dikeluarkan oleh pasukan penyiasat diketuai Kol (U) Omar Saman yang juga Pengarah Operasi Pesawat di Jabatan Penerbangan Awam.

Mengikut laporan itu, pesawat malang terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, laporan itu juga mendedahkan kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan kapal. Buritan adalah bahagian paling belakang pesawat.

"Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu juga tidak mengikut standard profesional," kata laporan itu lagi.

Berdasarkan penemuan laporan itu yang disiapkan pada Januari 1977, juruterbang bertugas dikesan hilang kawalan terhadap pesawat berkenaan.

Laporan itu turut menyebut bahawa tiada bukti bahawa adanya kerosakan sebelum nahas pesawat itu, atau enjinnya menjadi faktor penyebab nahas.

Ujian patologi terhadap juruterbang pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976 membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

Laporan akhir nahas udara itu juga mendedahkan juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

Kesimpulan pasukan penyiasat nahas 'Double Six' adalah kerana pesawat itu hilang keseimbangan, kemungkinan disebabkan kedudukan pusat graviti di luar had buritan (bahagian belakang pesawat) yang menyebabkan kolum kawalan tidak boleh lagi ke depan, dengan bahagian depan pesawat terangkat ke atas apabila sayap melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat.

Laporan itu menganggarkan terdapat 325 lbs (147.4kg) muatan di bahagian bagasi buritan, melepasi had yang dibenarkan iaitu 198 lbs (89.8 kg).

Maka walaupun kiraan berat berlepas 435 lbs (197.3kg) adalah di bawah hak maksimum, pusat graviti telah lari.

Laporan itu turut membangkitkan perihal juruterbang Gandhi Nathan yang digambarkannya sebagai ada rekod yang buruk.

Laporan itu menyatakan buku log penerbangan juruterbang didakwa terbakar pada Jun 1969, dan buku log ganti dicuri pada November 1975.

Juruterbang ada sejarah prestasi buruk

Ia juga menyatakan berdasarkan rekod yang ada, juruterbang ada "sejarah prestasi buruk" dalam penerbangan dan rekod latihannya dengan Sabah Air adalah marginal.

Selain itu, laporan itu juga mendapati syarikat penerbangan tidak tegas dalam memastikan prosedur dipatuhi.

"Maka semua keadaan ini menyebabkan ia berlaku, di mana juruterbang, tanpa kelaziman memenuhi banyak keperluan atau prosedur yang digariskan syarikat, sekadar berjalan secara bersahaja mengelilingi pesawat di Labuan, dan duduk di kokpit ketika semua muatan berada dalam pesawat, tanpa sedar yang taburan muatan (distribution of load) adalah salah," kata laporan itu.

 

PENULIS bersama keluarga di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan, Kota Kinabalu. pada 6 Jun 2016.- FOTO Kutubkhanah Azrone

Laporan itu turut menyatakan juruterbang juga mungkin tidak cukup tidur dan dia ada memberitahu kenalan yang dia letih dan sakit perut yang tidak teruk.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menyiarkan laporan penuh nahas pesawat terhempas pada 1976 menerusi sesawangnya.

Menterinya, Anthony Loke, berkata proses nyahklasifikasi laporan terbabit selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum ia dimuat naik untuk dilihat oleh orang awam menerusi sesawang, https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad.

Beliau berkata, proses untuk menyahklasifikasi laporan itu telah selesai pada 6 April lalu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan laporan tragedi 'Double Six' itu dinyahklasifikasi pada 5 April.

Laporan siasatan akhir kemalangan udara itu disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke Jemaah Menteri pada Mac 1977.

Pada 5 April lalu, media melaporkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai "Tragedi Double Six".

Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Selain Fuad, turut terkorban Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).

Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).

Selain itu, Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Anwar pada 5 April lalu berkata, keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi 'Double Six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris, selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.

Dalam kejadian itu, pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan yang dalam perjalanan dari Labuan terhempas di Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Pada 8 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk dinyahklasifikasi berhubung insiden berkenaan.

 

 

Related

Terkini 1839981241280032767

Catat Ulasan

emo-but-icon

item